Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor, pembantu berkait kumpulan Healing the Divide ditawarkan ikat jamin

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor, pembantu berkait kumpulan Healing the Divide ditawarkan ikat jamin

(Gambar: Facebook/Jipson Quah)

SINGAPURA: Seorang doktor dan pembantunya yang dituduh bersubahat untuk menipu Kementerian Kesihatan (MOH) dengan menghantarkan data palsu vaksinasi diberikan ikat jamin hari ini (31 Jan). 

Doktor Jipson Quah, 33 tahun, dan pembantunya, Thomas Chua Cheng Soon, 40 tahun, sudah pun ditahan reman sejak 21 Januari. 

Mereka dituduh saling bersubahat antara satu sama lain dan juga dengan seorang pesakit bernama Mehrajunnisha untuk membuat kenyataan palsu kepada MOH, dengan menipu bahawa pesakit tersebut sudah divaksin dengan dos Sinopharm, sedangkan dia tidak menerima sebarang vaksin. 

Hari ini (31 Jan), pihak pendakwa menyatakan Quah tidak lagi perlu ditahan untuk siasatan. Beliau meminta mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak S$20,000 dan meminta kes ditundakan selama enam minggu, atas sebab siasatan yang masih dijalankan. 

Penolong Pendakwa Raya Samuel Yap meminta mahkamah supaya memberi arahan kepada Quah agar tidak berkomunikasi dengan individu-individu lain yang terlibat dalam kes tersebut, termasuk Chua dan Iris Koh, pengasas kumpulan Healing the Divide. 

Quah menggugurkan peguam-peguamnya daripada firma Withers KhattarWong. Peguam barunya, Encik Anand Nalachandran, mengambil alih kes itu hari ini (31 Jan). 

Encik Nalachandra mengatakan bahawa anak guamnya perlu berkomunikasi dengan beberapa saksi yang juga merupakan kakitangan pekerja kliniknya. 

Hakim memberi arahan bahawa Quah tidak boleh berkomunikasi dengan saksi-saksi pihak pendakwa, namun, membenarkannya untuk berbuat sedemikian dengan kakitangan klinik atas sebab-sebab kerja. 

Pihak pendakwa juga meminta kes Chua ditunda dan ditawarkan ikat jamin sebanyak S$15,000. 

Sebelum itu, Chua berkata dia berasa dia tidak "patut" menerima dakwaan tersebut dan hanya merupakan "orang tengah", mematuhi arahan Quah. 

Jika disabit kesalahan memberi kenyataan yang palsu, Quah dan Chua boleh dipenjara sehingga 20 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Iris Koh, yang juga berkait dengan kes tersebut dan berdepan dakwaan yang serupa, membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan ikat jamin pagi tadi (31 Jan). 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan