Doktor patut guna pertimbangan profesional beri surat cuti sakit, kata Lam Pin Min
Seorang doktor sepatutnya menggunakan pertimbangan profesional bagi menentukan keperluan mengeluarkan surat cuti sakit dan tempohnya.

Menteri Negara Kanan Kesihatan Lam Pin Min semasa di Parlimen pada 26 Feb.
SINGAPURA: Seorang doktor sepatutnya menggunakan pertimbangan profesional bagi menentukan keperluan mengeluarkan surat cuti sakit dan tempohnya.
Menteri Negara Kanan Kesihatan Lam Pin Min memberitahu Parlimen bahawa garis panduan umum disediakan bagi para doktor namun ia mungkin sukar dijadikan rujukan dalam keadaan-keadaan berbeza.
Encik Lam berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan tentang garis panduan bagi para doktor untuk mengeluarkan surat cuti sakit atau menentukan jika pesakit boleh menjalankan tugas-tugas ringan.
Isu tersebut dibahaskan selepas satu insiden melibatkan seorang pekerja binaan yang tidak diberikan sebarang cuti sakit tetapi disahkan boleh menjalankan tugas-tugas ringan selepas tulang selangkanya patah.
Encik Lam berkata, seupaya mungkin, para doktor perlu memastikan tugas-tugas ringan sememangnya ada dilakukan di tempat kerja pesakit.
"Kedua-dua keadaan perubatan dan sekitaran bukan perubatan pesakit perlu dipertimbangkan. Ini termasuk jenis dan tahap masalah kesihatan atau kecederaan yang dihadapi pesakit, masa yang diperlukan untuk menjalani rawatan dan pemulihan, serta keadaan dan keperluan di tempat kerja," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.