Skip to main content

Singapura

Doktor, kumpulan sokongan seru wanita utamakan pemeriksaan berkala barah payudara

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor, kumpulan sokongan seru wanita utamakan pemeriksaan berkala barah payudara

(Gambar hiasan: Shutterstock)

Diterbitkan : 04 Oct 2023 08:34PM Dikemas Kini : 04 Oct 2023 08:47PM

SINGAPURA: Para doktor dan kumpulan-kumpulan sokongan menyeru agar lebih ramai wanita kerap menjalani pemeriksaan bagi mengesan barah payudara.

Kaum lelaki juga mempertingkat kesedaran tentang kesihatan payudara orang-orang yang mereka mereka sayangi.

Hanya kira-kira 38 peratus wanita dalam kalangan umur 50 hingga 69 tahun sudah menjalani pemeriksaan mamogram dalam tempoh dua tahun lalu, menurut Tinjauan Nasional Kesihatan Penduduk 2022.

Walaupun lebih sembilan dalam 10 daripada mereka yang ditinjau menyedari perlunya untuk menjalani mamogram, sebab-sebab utama yang dipetik bagi mereka yang tidak pernah menjalani saringan adalah: "Tidak perlu kerana saya sihat", "Ia pemeriksaan yang menyakitkan", dan "Tidak pernah memikirkannya".

Dengan Oktober sebagai bulan kesedaran bagi barah payudara, pertubuhan bukan untuk keuntungan Yayasan Barah Payudara (BCF) dan rakan-rakannya menganjurkan pelbagai aktiviti dan inisiatif untuk mewujudkan kesedaran tentang penyakit itu serta menggalakkan lebih ramai wanita melakukan pemeriksaan secara berkala.

Penyakit barah payudara bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan wanita di Singapura. Satu dalam 13 wanita akan terjejas oleh penyakit ini sepanjang hidup mereka.

Lebih 2,000 wanita - iaitu purata enam setiap hari - didiagnosis menghidap barah payudara setiap tahun dan lebih 400 meninggal dunia disebabkan penyakit itu, menjadikannya barah utama yang menyerang wanita dan menjadi penyebab kematian, menurut laporan 2018 oleh Singapore Cancer Registry.

Namun, pengesenan awal dapat mengurangkan kematian.

PENTINGNYA KESEDARAN DALAM WANITA LEBIH MUDA

Dengan jumlah wanita muda yang didiagnosis dengan barah payudara semakin meningkat - satu daripada lima pesakit berumur bawah 45 tahun - doktor menekankan pentingnya membuat pemeriksaan kendiri dan menjalani pemeriksaan awal.

Dr Choo Bok Ai, perunding kanan dan pakar onkologi klinikal di Icon Cancer Centre, berkata: “Dalam tempoh lima tahun yang lalu, saya melihat wanita hamil dan mereka yang menyusu bayi – seorang daripadanya semasa hamil antara empat hingga enam bulan – yang mendapati ketulan barah pada payudara mereka. Pada mulanya mereka menyangka bahawa ia hanya mastitis, sedikit pembengkakan payudara, tetapi ia ternyata barah."

"Ia sesuatu yang meluluhkan hati bagi mereka."

Beliau memetik tinjauan BCF pada 2017 yang menunjukkan 60 peratus responden wanita di bawah umur 45 tahun mempunyai pengetahuan yang terhad tentang barah payudara.

"Ramai yang fikir ini adalah satu penyakit yang hanya dihidapi orang tua dan ia tidak akan menjejas mereka," kata Dr Choo, yang juga ahli panel perubatan BCF di Yayasan Barah Payudara, kepada CNA938 Asia First pada Isnin (2 Okt).

"Tetapi apabila anda sudah mencapai usia akil baligh, anda harus mengetahui tentang tubuh anda. Anda perlu melakukan pemeriksaan kendiri setiap bulan supaya anda boleh memahami tubuh anda dan perubahannya, serta melihat tanda dan gejala.”

Beliau juga menekankan bahawa pengesanan awal bermakna kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi, sambil menambah bahawa kemajuan perubatan hari ini membawa kepada peluang yang lebih cerah kebah daripada penyakit ini.

“Pada tahun 1970-an, kadar kelangsungan hidup untuk barah payudara hanya kira-kira 50 peratus. Tetapi kini, kadar kelangsungan hidup telah meningkat kepada 80 peratus. Secara keseluruhan, terdapat perbezaan besar dalam ketersediaan rawatan dan ini bermakna, kadar kelangsungan hidup meningkat,” kata Dr Choo.

"Kadang-kadang, barah itu didiagnosis pada peringkat paling awal. Ini bermaksud kita masih boleh mengesan barah sebelum ia mula merebak. Para pesakit hanya perlu menjalani sesi lumpektomi atau mastektomi, mereka tidak perlu melalui sesi kemoterapi langsung."

SIAPA PATUT JALANI MAMOGRAM DAN BERAPA KERAP?

Wanita berumur antara 40 dan 49 biasanya digalakkan untuk menjalani pemeriksaan mamogram untuk mengesan kemungkinan barah payudara sekali setahun. Kekerapan yang disyorkan berkurangan kepada sekali dalam dua tahun untuk wanita berumur 50 tahun ke atas.

Bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas, bayaran pemeriksaan mamogram boleh dituntut daripada Medisave.

Mereka yang berumur di bawah 40 tahun tidak perlu menjalani pemeriksaan mamogram, tetapi wanita dari semua peringkat umur digesa untuk memeriksa payudara sendiri sebulan sekali dan memerhatikan sama ada terdapat sesuatu yang tidak normal seperti ketulan baharu, kesakitan, perubahan pada penampilan kulit ataupun cecair pada bahagian puting, menurut BCF.

Rakyat Singapura yang daftar di bawah inisiatif SG Lebih Sihat – iaitu strategi jagaan kesihatan negara yang ditumpukan kepada usaha jagaan pencegahan – akan mendapat manfaat daripada pemeriksaan kesihatan yang disyorkan secara percuma, termasuk barah payudara.

Program 'Screen for Life' Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) juga menawarkan subsidi bagi pemeriksaan untuk wanita berumur 40 tahun dan ke atas.

CARA LELAKI BOLEH MEMBANTU

Tahun ini, BCF juga melibatkan kumpulan yang kurang berkemungkinan memperjuangkan kesedaran tentang barah payudara - iaitu kaum lelaki.

Tujuan inisiatif "Dear Men" adalah untuk meningkatkan pengetahuan tentang kesihatan payudara dalam kalangan lelaki dan menggalak mereka supaya menjaga wanita-wanita dalam kehidupan mereka.

“Kebanyakan orang menganggap barah payudara sebagai penyakit wanita, tetapi sebenarnya ia adalah sesuatu yang menjejas hubungan, keluarga dan masyarakat kita,” kata Cik Natalie Lau, ketua sokongan dan komunikasi yayasan itu.

"Inisiatif ini berfungsi untuk menggalak lelaki bersuara tentang kesihatan payudara, dalam menggesa wanita yang mereka sayangi - ibu, kakak, anak perempuan dan orang tersayang lain - untuk mengutamakan pemeriksaan barah payudara."
 

Sumber : CNA/EV/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita