Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor keluarga sokong langkah MOH kurangkan penduduk tukar-tukar doktor; skim insurans timbulkan cabaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan lebih banyak keluarga yang akan ada doktor keluarga sendiri mulai 2023 di bawah program pendaftaran nasional di bawah Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), doktor-doktor keluarga (GP) memberitahu Mediacorp langkah itu akan membantu mereka memberi rawatan lebih baik kepada pesakit dan ia merupakan satu langkah yang baik. 

Namun, mereka juga berkata beberapa isu, termasuk sama ada skim insurans kesihatan boleh dipindah milik, harus dihuraikan supaya program itu dapat menarik lebih ramai pesakit. 

Tambahan lagi, mungkin terdapat juga insentif-insentif jangka pendek, seperti  subsidi untuk janji temu, yang boleh menarik lebih ramai pesakit. 

Respons doktor-doktor tersebut menyusuli pengumuman MOH pada Rabu (9 Mac) bahawa program pendaftaran nasional mungkin bermula dengan penduduk berusia 40 tahun ke atas, iaitu usia apabila petanda penyakit kronik mungkin mula timbul. 

"Kajian antarabangsa dan tempatan menunjukkan bahawa mereka yang berjumpa doktor keluarga yang sama, secara amnya lebih sihat dan kurang perlu pergi hospital dan jabatan kecemasan," menurut MOH lagi. 

Setakat ini, hanya 60 peratus penduduk Singapura mempunyai doktor keluarga, tambah MOH. 

Bagi program akan datang ini, penduduk boleh berdaftar dengan seorang doktor penjagan utama di poliklinik atau klinik GP dan doktor itu akan menjadi kontak pertama yang dihubungi untuk sebarang keperluan jagaan kesihatan.

Seorang GP di Klinik Edinburgh di Chua Chu Kang, Dr Tan Tze Lee, berkata kira-kira 20, 30 tahun yang lalu, kebanyakan orang akan mempunyai doktor keluarga yang mereka akan kerap kunjungi untuk janji temu. 

"Kini anda mula ada pakej insurans dan faedah syarikat, dan kemudian mereka memerlukan anda untuk melawat klinik tertentu," tambah Dr Tan.

"Tidak begitu pada waktu dulu." 

Dr Tan juga berkata akibat kebiasaan insurans perubatan di tempat kerja, apabila pesakit menukar kerja, mereka akan mempunyai syarikat insurans yang berbeza. Oleh itu, mereka akan menukar klinik agar terus mendapat faedah atau subsidi bayaran perubatan.

Faktor insurans menimbulkan cabaran kepada program baru MOH, yang sepatutnya memastikan pesakit terus mengunjungi doktor yang sama. 

BAGAIMANA PROGRAM INI AKAN BANTU PESAKIT

Doktor keluarga yang dihubungi Mediacorp juga akur bahawa program baru ini akan memperbaiki kehidupan pesakit dengan memastikan mereka menerima jagaan kesihatan yang lebih baik sekiranya mereka jumpa doktor yang sama, serta memastikan proses runding lebih berkesan. 

Seorang lagi GP dari Klinik Perubatan Healthway di Tampines, Dr Philip Koh, berkata penting bagi setiap doktor untuk menjalin hubungan profesional bersama pesakit mereka. 

"Apabila anda menjalin hubungan dengan pesakit, bukan sahaja anda dapat mengenal pasti penyakit, tetapi anda juga akan dapat menguruskannya dengan lebih menyeluruh lagi," katanya. 

Tambah Dr Koh lagi, pesakit juga tidak perlu mengulangi sejarah perubatan dan penyakit mereka apabila mereka pergi ke doktor baru. 

Menyokong pandangan itu, Dr Adidah Hassan dari Klinik Keluarga Adidah Tampines berkata dengan mempunyai doktor keluarga sendiri bermakna pesakit mempunyai "jagaan yang berterusan". 

Kesemua doktor yang dihubungi juga bersetuju mereka tidak mempunyai masalah dengan tugas tambahan untuk menjaga pesakit biasa mereka. 

Dr Tan berkata: "Ini bukan tentang menjalankan lebih banyak tugas, ini tentang membolehkan individu memilih doktor supaya mereka yakin bila pergi doktor dan klinik yang sama.

Memang tugas setiap doktor untuk menjaga pesakit mereka." 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan