Skip to main content

Singapura

Doktor keluarga digantung khidmat 3 tahun kerana secara tidak wajar berikan ubat penenang kepada pesakit

Selama tempoh lebih sedekad, seorang doktor GP di sebuah klinik Marine Parade secara tidak wajar memberikan preskripsi ubat penenang jangka panjang kepada tujuh pesakit dan tidak merujuk sebilangan besar daripada mereka kepada seorang pakar psikiatri atau mendapatkan khidmat pakar untuk pemeriksaan lanjut.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor keluarga digantung khidmat 3 tahun kerana secara tidak wajar berikan ubat penenang kepada pesakit

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 11 Jan 2024 09:30PM
SINGAPURA: Selama tempoh lebih sedekad, seorang doktor GP di sebuah klinik Marine Parade secara tidak wajar memberikan preskripsi ubat penenang jangka panjang kepada tujuh pesakit dan tidak merujuk sebilangan besar daripada mereka kepada seorang pakar psikiatri atau mendapatkan khidmat pakar untuk pemeriksaan lanjut.

Akibat perbuatannya itu, para pesakit Dr Maninder Singh Shahi - yang mana tiga daripadanya merupakan warga emas - mula bergantung kepada ubat-ubatan itu, yang termasuk pil tidur untuk merawat insomnia atau keadaan sukar tidur.

Dia juga gagal mencatit sebab dia memberikan ubat tersebut berkali-kali kepada salah seorang pesakitnya.

Atas tindakannya itu, doktor yang berpengalaman selama 35 tahun itu telah digantung daripada memberi khidmat perubatannya selama tiga tahun oleh sebuah mahkamah pengadilan disiplin.

Dalam alasan keputusan yang diterbitkan pada Selasa (9 Jan), mahkamah pengadilan yang dianggotai tiga individu itu menerima penyerahan Majlis Perubatan Singapura (SMC) bagi penggantungan itu, namun ia menolak hujahan Dr Singh supaya hukumannya diringankan disebabkan pendakwaan ditangguh.

APA YANG BERLAKU

Dr Singh, kini berusia 61 tahun, berkhidmat di 81 Family Clinic di Marine Parade Central pada ketika itu. Klinik itu telahpun ditukar namanya kepada Legacy Clinic.

Dia mengaku bersalah di mahkamah pengadilan atas 14 tuduhan salah laku profesional berhubung tindakannya daripada 2002 hingga 2016.

Tuduhan-tuduhan itu termasuk memberikan preskripsi ubat benzodiazepines, zopiclone atau zolpidem secara tidak wajar; gagal merujuk para pesakit atau merujuk mereka tepat pada masanya kepada seorang pakar psikiatri atau pakar perubatan; dan gagal memastikan terdapat butiran mencukupi dalam rekod perubatan para pesakit.

Pesakit yang paling lama dirawat oleh Dr Singh, yang hanya dikenal pasti sebagai P3, berjumpa dengannya sebanyak 300 kali untuk merawat insomnia yang dihidapinya.

Selain daripada digantung khidmat, mahkamah pengadilan itu mengarahkan supaya Dr Singh dicela.

Dia juga perlu memberikan surat akuan janji kepada SMC bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatannya dan membayar kos prosiding mahkamah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita