Doktor, jururawat imbau keadaan getir rawat mangsa tragedi River Valley
Hanya beberapa jam selepas syifnya bermula pada pagi 8 April, jururawat Lim Zi Ying di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) ditarik daripada tugas rutinnya untuk bertindak balas terhadap satu kecemasan dengan skala luar biasa dalam 21 tahun perkhidmatannya.
Orang awam membantu menyelamatkan beberapa individu daripada kebakaran rumah kedai di River Valley pada 8 April 2025. Sebahagian daripada mangsa dihantar ke Hospital Besar Singapura. (Gambar: Chan Teck Hock, Lan Yu)
Sebuah rumah kedai di River Valley Road, hanya 1.8km dari hospital tersebut, telah terbakar. Di dalamnya, beberapa individu – termasuk kanak-kanak – terperangkap.
Rakaman video operasi menyelamat yang memaparkan mangsa berdiri dalam keadaan berbahaya di atas pelantar sempit di tingkat dua, tular dengan pantas dan menarik perhatian seluruh negara.
Menjelang lewat pagi, seramai 22 orang – 16 kanak-kanak dan enam dewasa – telah dihantar ke hospital. Antara mereka termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Australia, berusia 10 tahun, yang kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya.
KKH, yang terletak di sepanjang Bukit Timah Road, dan Hospital Besar Singapura (SGH) di Outram merupakan antara hospital yang menerima mangsa daripada kejadian kebakaran tersebut.
PROSES KECEMASAN DIAKTIFKAN
Cik Lim, seorang jururawat kanan klinikal di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak KKH, mempersiapkan dirinya untuk menghadapi beberapa jam yang terbukti amat mencabar.
Beliau dan pasukannya bergegas menyediakan bilik rawatan bantuan pernafasan di jabatan kecemasan, mengaktifkan peralatan dan menyediakan ubat-ubatan.
Mangsa kebakaran mula tiba dengan menggunakan ambulans sekitar pukul 10.45 pagi.
Pihak hospital tidak boleh mendedahkan jumlah mangsa yang diterima atau tahap kecederaan mereka, namun menurut Profesor Madya Sashikumar Ganapathy, ketua jabatan perubatan kecemasan KKH, mangsa tiba secara berperingkat sehingga melepasi waktu tengah hari.
“Tetapi itu sebahagian daripada latihan kami, bukan? Kami memang dilatih untuk bersedia,” kata Profesor Madya Ganapathy, yang juga merupakan timbalan pengerusi bahagian perubatan hospital berkenaan.
Beliau turut mengatakan bahawa ia merupakan kali pertamanya menerima pesakit pediatrik akibat kebakaran berskala besar seperti itu.
Sepanjang beberapa jam berikutnya, lebih daripada sembilan jabatan perubatan diaktifkan, termasuk pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), pakar bius pediatrik dan pakar bedah plastik.
Kecederaan akibat kebakaran boleh menyebabkan trauma pernafasan yang serius dalam kalangan kanak-kanak, menjadikan pengurusan saluran pernafasan keutamaan utama. Bagi kanak-kanak, pasukan bius pediatrik bertanggungjawab memastikan fungsi pernafasan berjalan lancar dan tiada halangan pada saluran udara pesakit.
Rawatan termasuk pemberian ubat melalui topeng muka, pemasangan saluran IV, pengurusan kesakitan dan penstabilan pernafasan.
Walaupun ia merupakan kali pertama beliau menjadi jururawat utama dalam kejadian berskala sedemikian, Cik Lim mengatakan bahawa beliau bersyukur kerana segala-galanya berjalan dengan lancar.
“Latihan saya dalam kejururawatan kecemasan serta pengalaman menghadapi kejadian dengan mangsa yang ramai membolehkan saya kekal tenang dan fokus dalam situasi sebegini,” tambahnya.
Antara yang turut diaktifkan ialah Dr Gale Lim, ketua jabatan pembedahan plastik, rekonstruktif dan estetik, yang pernah menguruskan jumlah mangsa yang ramai ekoran kejadian letupan gas di sebuah kedai kopi sedekad lalu.
Beliau tahu dengan tepat apa yang perlu dilakukan – “menilai setiap pesakit dengan teliti dan secara sistematik.”
Pasukannya mengikut prosedur rapi: menanggalkan balutan sementara, menilai dan mendokumentasi setiap luka, sebelum melakukan “scrubbing down” – di mana lapisan kulit mati pesakit dibuang dan kawasan tersebut dibersihkan sebelum dibalut semula.
Doktor biasanya menilai peratusan permukaan badan yang terbakar dan kedalaman luka, sebelum merangka pelan rawatan. Bagi luka yang lebih serius, pembedahan seperti pemindahan kulit mungkin diperlukan, di mana tisu mati digantikan dengan kulit sihat dari bahagian badan lain.
SIAP SEDIA HADAPI KEADAAN YANG TIDAK DIKETAHUI
Di SGH, ketibaan pesakit pediatrik — sesuatu yang jarang berlaku di hospital yang menumpukan rawatan bagi pesakit dewasa — memerlukan penyesuaian yang pantas.
Jururawat klinikal Muqtasidatum Mustaffa berkata keadaan menjadi lebih rumit kerana mereka tidak mengetahui berapa ramai pesakit yang akan tiba.
“Terlalu banyak ketidaktentuan. Kami perlu bersiap sedia dari segi sumber dan tenaga kerja,” katanya.
Pihak hospital tersebut menukar beberapa kawasan dalam zon rawatan kritikal bagi memberi ruang kepada mangsa yang akan tiba, sambil memindahkan pesakit sedia ada ke bahagian lain. Kakitangan turut menyediakan peralatan dan dos ubat bagi kanak-kanak, serta mengerahkan pasukan saluran pernafasan, pakar bedah plastik dan pasukan neonatologi sebelum ambulans pertama tiba.
Menurut Cik Muqtasidatum, jumlah mangsa akibat kebakaran tersebut adalah yang terbesar pernah diuruskannya sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di SGH.
“Dalam hati, saya tahu ini akan menjadi situasi yang sangat mencabar dan penuh tekanan, di mana kami perlu memastikan semua sumber digunakan dengan betul,” katanya. “Kami perlu membuat keputusan dengan pantas.”
Bagi melancarkan rawatan, seorang doktor kanan dan seorang jururawat kanan ditugaskan untuk mengendalikan kes-kes tertentu, dengan seorang jururawat tambahan ditugaskan untuk membantu mengikut keperluan. Setelah distabilkan, pesakit pediatrik dipindahkan ke KKH untuk rawatan lanjut.
Walaupun tumpuan klinikal kekal sebagai keutamaan semasa kecemasan, kesan emosi mula dirasai selepas itu.
“Merawat sejumlah besar pesakit pediatrik yang kritikal amat mencabar dari segi mental, terutamanya kerana ramai dalam kalangan kakitangan kami juga adalah ibu bapa kepada anak-anak kecil,” kata Dr Fua.
Pihak hospital mengadakan sesi rumusan (debrief) bagi membantu kakitangan memproses kejadia tersebut. Dr Fua menggambarkan perasaan sayu yang melanda selepas syifnya berakhir, apabila beliau menonton video kebakaran tersebut yang tular.
“Semasa kami sedang bekerja ... kami hanya anggapnya sebagai satu kejadian kebakaran,” katanya. Namun, kesannya terhadap mangsa menjadi nyata kemudian, dan beliau “terasa kepiluan yang amat mendalam terhadap semua yang terjejas”.
Beliau bersyukur pasukannya dapat memberikan yang terbaik kepada setiap mangsa, dan turut berterima kasih kepada orang awam yang membantu dalam operasi menyelamat.
“Kalau bukan kerana orang ramai dan para pekerja hijrahan, saya rasa jumlah mangsa mungkin akan jadi lebih ramai.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.