Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor jagaan utama akan tentukan jika pesakit COVID-19 boleh jalani pemulihan di rumah: MOH

Doktor jagaan utama seperti doktor GP, akan menentukan sama ada pesakit COVID-19 mereka boleh menjalani pemulihan dalam masyarakat atau perlu dirujukkan ke kemudahan jagaan berdasarkan keadaan mereka, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (5 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Doktor jagaan utama seperti doktor GP, akan menentukan sama ada pesakit COVID-19 mereka boleh menjalani pemulihan dalam masyarakat atau perlu dirujukkan ke kemudahan jagaan berdasarkan keadaan mereka, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (5 Jan).

Langkah itu dilaksanakan di bawah protokol kesihatan awam COVID-19 yang disemak, berkuat kuasa "secara beransur-ansur" mulai Khamis (6 Jan), kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19.

Beliau menarik perhatian bahawa langkah itu dibuat untuk "memperkasakan lagi" rakan-rakan kongsi jagaan utama untuk menjaga pesakit mereka, dengan membolehkan mereka "mencetuskan" lebih banyak protokol.

"Protokol 1-2-3" sedia ada menentukan apa yang harus dilakukan seseorang jika mereka berasa kurang sihat atau diuji positif COVID-19.

Di bawah Protokol 1, individu yang kurang sihat akan disuruh menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (PCR). Jika diuji positif, individu itu akan menjalani pemulihan di rumah atau dihantar ke sebuah kemudahan pengasingan, berdasarkan "tahap risiko dan kecenderungan mereka", kata Encik Ong.

Di bawah Protokol 2, pesakit yang lazimnya tidak bergejala atau mengalami simptom ringan, akan melakukan ujian pantas antigen (ART) dan menjalani pengasingan kendiri selama 72 jam jika diuji positif.

"Kami akan memperkasakan doktor jagaan utama untuk mencetuskan bukan sahaja Protokol 1, tetapi juga Protokol 2," kata Encik Ong.

"Kami sudah berbincang dengan rakan-rakan jagaan utama kami dan saya gembira mereka mengalu-alukan perkembangan ini."

Langkah itu juga dibuat memandangkan pesakit yang mengalami gejala ringan dan menjalani pemulihan di rumah "lazimnya sembuh dengan cepat" apabila berada di rumah tanpa memerlukan rawatan perubatan lanjut, menurut MOH.

Pada masa yang sama, hasil kajian menunjukkan bahawa meskipun varian Omicron lebih mudah berjangkit, ia kurang serius, tambah MOH.

TENTUKAN LALUAN PEMULIHAN PESAKIT

MOH menyatakan bagi individu berisiko rendah yang mengalami gejala ringan, doktor jagaan utama boleh melakukan "diagnosis segera" menerusi ujian ART yang dikendalikan khidmat jagaan kesihatan dan terus merawat mereka di bawah Protokol 2.

Individu itu juga perlu menjalani pengasingan kendiri di rumah selama tempoh sekurang-kurangnya 72 jam. Jika mereka berasa sihat selepas itu dan diuji negatif menggunakan ART yang diambil sendiri, mereka boleh berhenti menjalani pengasingan kendiri.

"Mereka yang masih diuji positif menerusi ujian ART perlu terus menjalani pengasingan kendiri dan menguji sendiri setiap hari sehingga mereka mendapat keputusan negatif bagi ujian ART, atau sehingga hari ke-10 bagi individu yang lengkap divaksin atau hari ke-14 bagi individu yang belum divaksin atau baru sahaja menerima satu dos vaksin, yang mana lebih awal," menurut MOH.

Individu berkenaan juga akan diberi cuti sakit lima hari, atau tempoh lebih lama jika perlu, untuk berehat. Namun jika gejala yang dialami bertambah buruk atau tidak beransur baik, individu itu harus berjumpa doktor atau hubungi talian 995, tambahnya.

Namun bagi individu yang dinilai oleh doktor sebagai berisiko tinggi, atau mengalami -simptom berat seperti sakit dada atau demam berpanjangan, mereka akan terus dikendalikan di bawah Protokol 1. Mereka perlu menjalani ujian ART dan PCR, dan jika diuji positif, mereka akan diberikan Perintah Pengasingan selama 10 atau 14 hari, bergantung pada status vaksinasi mereka.

Individu berisiko rendah yang sihat, dan/atau tidak bergejala, akan terus diuruskan mengikut Protokol 2 sedia ada jika diuji positif menerusi ujian ART, menurut MOH.

MOH menambah ia akan memantau keadaan dalam beberapa minggu akan datang dan membuat penyesuaian lanjut supaya secara bertahap-tahap boleh membenarkan lebih ramai pesakit menjalani pemulihan di bawah Protokol 2 selepas berjumpa dengan doktor jagaan utama.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan