Doktor dipenjara 7 bulan kerana serah lebih 150 tuntutan palsu CHAS
Wong Choo Wai dipenjara kerana menyerahkan lebih 150 tuntutan palsu di bawah skim bantuan pemerintah. (Gambar fail: TODAY/Raj Nadarajan)
Wong Choo Wai, 53 tahun, mempunyai dua klinik - Bedok Day & Night Clinic dan Jurong Day & Night Clinic.
Tuntutan palsu dilakukan pada 2015 dan 2016 di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS), yang membolehkan rakyat Singapura menerima subsidi perubatan dan pergigian di klinik-klinik yang mengambil bahagian dalam skim tersebut.
Pesakit akan membuat bayaran pada kadar bersubsidi dan pemerintah akan membayar balik klinik-klinik yang mengambil bahagian.
Wong memperdaya Kementerian Kesihatan (MOH) yang membayar balik subsidi CHAS berjumlah lebih S$11,700, dengan menyerahkan 157 tuntutan palsu, menurut polis.
Pesakit dalam tuntutan palsu itu antara lain tidak datang ke klinik pada tarikh yang dinyatakan, tidak mengalami sebarang keadaan kronik rumit tertentu atau tidak menjalani siasatan perubatan seperti yang didakwa.
Wong juga memalsukan rekod perubatan sebilangan pesakit untuk menyokong tuntutan palsu CHAS yang dibuatnya.
Dia didapati bersalah atas dua tuduhan menipu MOH dan satu tuduhan membuat penyertaan palsu ke dalam rekod perubatan pesakitnya.
Lima lagi dakwaan menipu dan pemalsuan lain dipertimbangkan sebelum memutuskan hukuman bagi Wong.
Dia sudahpun mengembalikan semua wang yang diperolehi menerusi tipu helahnya.
Bagi kesalahan menipu untuk mendapatkan harta, Wong boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Bagi kesalahan membuat kenyataan palsu pula, Wong boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan/atau didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.