Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor dipenjara 3 tahun kerana rakam lebih 3,000 video bawah skirt wanita guna kamera dalam kasut

Chu Ben Wee mula merakam video bawah skirt wanita dan menonton video itu untuk memuaskan nafsunya sendiri ketika menuntut di sebuah maktab rendah utama di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor dipenjara 3 tahun kerana rakam lebih 3,000 video bawah skirt wanita guna kamera dalam kasut

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 12 Dec 2020 12:00AM Dikemas Kini : 12 Dec 2020 12:01AM

SINGAPURA: Chu Ben Wee mula merakam video bawah skirt wanita dan menonton video itu untuk memuaskan nafsunya sendiri ketika menuntut di sebuah maktab rendah utama di sini.

Dia berhenti melakukan demikian ketika menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS), namun menyambung semula perbuatannya itu apabila dia mula bekerja di hospital-hospital awam.

Chu menggunting lubang pada bahagian depan kasutnya, menyembunyikan sebuah kamera GoPro dan meletakkan kakinya di bawah skirt yang dipakai oleh para doktor dan jururawat.

Dia juga menceroboh masuk ke acara pameran kerjaya yang dianjurkan di sebuah maktab rendah dengan memakai seragam sekolah itu yang dibeli dari wadah e-niaga Carousell. Chu merakam 97 video di sana sebelum perbuatannya dilihat oleh seorang pelajar.

Chu mengaku bersalah pada Jumaat (11 Dis) atas empat tuduhan menghina kehormatan wanita.

13 lagi tuduhan serupa, termasuk pencerobohan, diambil kira dalam menentukan hukuman. Dia dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun, dengan tarikhnya berkuat kuasa bermula tarikh dia ditahan reman pada 9 Jan lalu.

Pihak berkuasa menemui sekitar 3,260 rakaman video bawah skirt yang disimpan dalam beberapa cakera keras apabila dia ditangkap.

Ini merupakan antara lebih daripada 16,000 rakaman video yang disimpan dalam peranti elektroniknya.

Dia memuat naik video-video yang lain dari pelbagai laman, termasuk rakaman video wanita dalam tandas atau sedang mandi.

Dia melakukan lebih banyak kesalahan ketika sedang di bawah siasatan polis atau dibebaskan dengan ikat jamin.

PAKAI 'KASUT KHAS'

Mahkamah diberitahu apabila dia ingin merakam video bawah skirt wanita, dia memakai apa yang dia sifatkan sebagai "kasut khas" dan mengekori wanita yang memakai skirt dan dress pendek yang dia merasakan kelihatan cantik.

Antara 2009 dengan Januari 2018, dia merakam sekurang-kurangnya 2,945 video bawah skirt menggunakan helah ini.

Kebanyakannya dirakam antara 2017 dengan 2018, sementara dia mengenal pasti 666 video yang dirakam ketika dia sedang menuntut di maktab rendah pada 2009 dan 2010.

Dia mendakwa berhenti merakam video antara 2010 dengan 2017.

RAKAN KERJA DI HOSPITAL JADI SASARAN

Ketika bertugas sebagai seorang pegawai perubatan di sebuah hospital antara September dengan Disember 2017, dia merakam sekurang-kurangnya 48 video bawah skirt para jururawat, doktor atau anggota kakitangan yang bertugas bersamanya.

Ketika bekerja di sebuah lagi hospital antara Januari dengan April 2018, dia merakam sekurang-kurangnya 89 video di sana.

Pada Januari 2018, dia ditangkap di sebuah cawangan Daiso di pusat beli-belah Novena Square.

Mangsa merasakan sesuatu menyentuh buku lalinya dan melihat Chu berdiri dekat dengannya sambil memegang telefon bimbit yang diletakkan pada bahagian perutnya.

Apabila mangsa mencangkung dan berpura-pura membelek barangan yang diletakkan di rak bawah, dia ternampak kamera yang disembunyikan pada kasut Chu.

Mangsa kemudian menegur Chu sebelum memekik meminta bantuan. Chu cuba meminta maaf kepadanya sebelum polis tiba.

Semasa disiasat, Chu mengaku mengambil rakaman video rakan-rakan kerjanya sebelum ini dan juga merakam video di kedai-kedai lain dalam pusat beli-belah yang sama pada hari tersebut.

Meskipun sedang di bawah siasatan, Chu tetap meneruskan perbuatannya merakam video bawah skirt wanita.

Dia didiagnos oleh Institut Kesihatan Mental menghidap gangguan parafilia dan gangguan kemurungan teruk. Bagaimanapun para doktor tidak menemui sebarang kaitan antara penyakit yang dihidapi dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagi setiap tuduhan menghina kehormatan wanita, Chu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau didenda, atau dijatuhkan kedua-dua hukuman. 

Sumber : Today/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa