Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor dikaitkan 'Healing the Divide' didakwa kenakan bayaran S$1,500 untuk beri suntikan palsu COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor dikaitkan 'Healing the Divide' didakwa kenakan bayaran S$1,500 untuk beri suntikan palsu COVID-19

(Gambar: Facebook/Jipson Quah)

SINGAPURA: Doktor yang dikaitkan dengan kumpulan 'Healing the Divide' didakwa dibayar sehingga S$1,500 untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 palsu, iaitu 15 hingga ke 30 kali ganda harga dos sebenar.

Berikutan itu, doktor keluarga (GP) Jipson Quah digantung selama 18 bulan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC). Keputusan itu diumumkan pada 23 Mac pada Isnin (11 April).

Quah, 33 tahun, dituduh memberi suntikan larutan garam dan bukannya vaksin COVID-19 kepada pesakit serta memuat naik status vaksinasi palsu kepada Kementerian Kesihatan (MOH).

Jawatankuasa Perintah Sementara (IOC) SMC menjelaskan bagaimana Quah didakwa dibayar antara S$1,000 dengan S$1,500 oleh tiga pesakit yang tidak divaksin untuk menggunakan suntikan larutan garam sebagai vaksin COVID-19.

Dia kemudian memuat naik status vaksin palsu mereka ke dalam pangkalan data pemerintah.

Quah didakwa berbuat demikian terhadap 15 pesakit, kata IOC, sambil menambah bahawa kebanyakan klinik akan mengenakan bayaran antara S$50 dengan S$100 bagi setiap satu dos.

Selain itu, Quah juga dituduh terbabit dalam membuat akaun pesakit palsu dan memuat naik keputusan palsu ujian pantas antigen (ART) COVID-19 ke dalam portal MOH bagi seorang pesakit yang tidak divaksin.

Dia juga dituduh membantu memuat naik keputusan ujian praacara (PET), yang diperolehi melalui ujian yang tidak dijalankan dalam masa sebenar. Quah didakwa mengenakan bayaran langganan S$125 sebulan bagi setiap ujian harian PET atau S$12 bagi ujian secara ad hoc.

PERLU DIGANTUNG UNTUK MELINDUNGI ORANG AWAM: SMC

Jawantankuasa "berpandangan bahawa tempoh Quah digantung tugas 18 bulan adalah wajar," sambil menambah bahawa tuduhan terhadap Quah adalah "sangat serius".

Tempoh maksimum itu juga dibenarkan di bawah Akta Pendaftaran Perubatan sebagai "perlu demi melindungi kepentingan orang awam", memandangkan Quah didakwa melanggar pelbagai langkah pemerintah serta perancangan yang dibuat untuk melakukan kesalahan tersebut, menurut IOC.

Jawatankuasa juga menyatakan keyakinan awam dalam integriti sistem ujian COVID-19 adalah penting sedang pandemik masih melanda negara ini.

Sekiranya pelanggaran oleh profesional perubatan tidak ditangani dengan serius, keyakinan orang ramai akan terjejas, tambahnya.

Jawatankuasa itu juga mengambil pertimbangan bahawa prosiding terhadap Quah akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan.

Ini termasuk masa yang diperlukan polis untuk menyelesaikan siasatan, prosiding jenayah, kemungkinan ada permohonan rayuan, serta sebarang prosiding disiplin terhadapnya.

Secara berasingan Quah juga menghadapi tuduhan jenayah kerana bersubahat untuk menipu Kementerian Kesihatan dengan mengemukakan data vaksinasi palsu.

Penolong Quah, Thomas Chua Cheng Soon, juga telah didakwa bersubahat untuk menipu MOH. Pengasas Healing the Divide Iris Koh menghadapi dua tuduhan - satu kerana bersubahat dengan Quah dan satu lagi kerana menghalang inspektor polis menjalankan tugasnya dengan enggan menandatangani dan mengoyakkan salinan kenyataan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan