Doktor digantung tiga tahun, palsukan sijil cuti sakit di SGH
Seorang doktor digantung daripada amalan perubatan kerana memalsukan dua sijil cuti sakit (MC) bagi menutup ketidakhadirannya sendiri ketika dia bertugas sebagai pegawai perubatan (house officer) di Hospital Besar Singapura (SGH).
Seorang doktor digantung daripada amalan perubatan kerana memalsukan dua sijil cuti sakit. (Gambar hiasan: iStock)
Penggantungan Dr Cherida Yong Chun Yin akan berkuat kuasa selama tiga tahun dari 3 September tahun ini hingga 2 September 2028, menurut satu notis yang diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada Selasa (9 Sep).
Semasa berkhidmat di SGH, Dr Yong tidak hadir ke tempat kerja tanpa alasan perubatan yang sah pada 1 Julai 2022 dan 12 September 2022.
Untuk membenarkan ketidakhadirannya, dia menyerahkan dua MC palsu kepada SGH. Kedua-dua MC itu, yang kononnya dikeluarkan oleh sebuah klinik, sebenarnya dihasilkan sendiri oleh Dr Yong tanpa kebenaran klinik tersebut.
Nama dan nombor pendaftaran seorang lagi doktor turut digunakan dalam MC berkenaan untuk memberi gambaran seolah-olah ia dikeluarkan oleh klinik tersebut.
Penipuan Dr Yong terbongkar berikutan semakan pentadbiran di SGH yang mendedahkan percanggahan dalam MC yang dikemukakan.
MC pada bulan Julai itu didapati palsu selepas pasukan sokongan di klinik berkenaan mengesahkan bahawa Dr Yong tidak mendapatkan rawatan di sana pada 1 Julai 2022.
MC pada bulan September pula disahkan sebagai palsu menerusi proses pentadbiran SingHealth.
Kes itu kemudian dirujuk kepada Majlis Perubatan Singapura (SMC) selepas siasatan dalaman SGH dijalankan.
Dr Yong, yang mengatakan bahawa beliau memalsukan MC tersebut kerana tekanan peribadi, pada mulanya menafikan perkara itu tetapi kemudian, mengakui perkara tersebut sebelum perbicaraannya. Dia memohon agar digantung sebagai pengamal perubatan selama 20 bulan.
Namun, SMC berhujah bahawa Dr Yong sepatutnya dikeluarkan daripada daftar pengamal perubatan atau dikenakan tempoh penggantungan maksimum.
Tribunal disiplin, yang menolak hujah bahawa salah laku Dr Yong bersifat impulsif atau berpunca daripada tekanan emosi, menggantung beliau selama 36 bulan, iaitu tempoh penggantungan maksimum.
Walaupun tiada pesakit yang terjejas, salah laku Dr Yong “menjejaskan kewajipan etika asas profesion perubatan”, menurut tribunal itu sebagai alasan bagi keputusannya.
Pemalsuan dua MC tersebut secara sengaja, masing-masing menggunakan nama dan nombor pendaftaran seorang doktor, merupakan “perbuatan penipuan berulang yang menjejaskan reputasi profesionalnya, menghakis kepercayaan institusi dan merosakkan kewibawaan proses pengesahan perubatan,” tambahnya.
Penggantungan Dr Yong bermula 40 hari selepas perintah itu dikeluarkan. Beliau juga diarahkan untuk membayar kos perbicaraan, termasuk kos peguam SMC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.