Doktor dibebaskan tuduhan cabul setelah wanita mengaku bohong di mahkamah
Dr Yeo Sow Nam, 52 tahun, pada Isnin (16 Ogos) dibebaskan dari semua tuduhan terhadap empat dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 32 tahun di Mount Elizabeth pada 9 Oktober 2017, setelah wanita berkenaan mengaku telah berbohong semasa perbicaraan di mahkamah.

(Petikan skrin: Laman Mount Elizabeth)
SINGAPURA: Seorang pakar bius yang juga pengarah sebuah klinik di Hospital Mount Elizabeth pada Isnin (16 Ogos) dibebaskan daripada semua tuduhan mencabul seorang wanita, setelah wanita berkenaan mengaku telah berbohong semasa perbicaraan di mahkamah.
Dr Yeo Sow Nam, 52 tahun, dibebaskan dari semua tuduhan terhadap empat dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 32 tahun di Mount Elizabeth pada 9 Oktober 2017.
Wanita itu menuduh beliau memeluk, menggenggam pinggang dan payudara serta menciumnya di kepala.
Pihak pendakwa berkata mereka memutuskan untuk menarik balik dakwaan setelah mempertimbangkan bukti dan juga hujah peguam bela.
Pasukan peguam Dr Yeo pada awalnya mahu nama wanita itu didedahkan dan arahan mahkamah melindungi identitinya digugurkan.
Namun, mereka menarik balik permohonan itu pada Isnin atas sebab undang-undang, tetapi menekankan bahawa mereka akan memulakan kes sekali lagi jika wanita itu didakwa kerana memberi bukti palsu. Pihak pendakwa belum membuat sebarang keputusan mengenai hal tersebut.
Dr Yeo, yang memegang beberapa jawatan termasuk pengasas, pengarah dan perunding pelawat di Pusat Pengurusan Sakit dan Khidmat Akupuntur di Hospital Besar Singapura, mencabar tuduhan-tuduhan tersebut.
Wanita tersebut bukan seorang pesakit atau karyawan perubatan, namun perincian mengenai hubungannya dengan Dr Yeo tidak dapat diterbitkan atas perintah mahkamah yang masih ada.
Peguam-peguam Dr Yeo, Eugene Thuraisingam, Chooi Jing Yen dan Johannes Hadi, berkata ini bukan satu kes di mana pihak pendakwa tidak dapat membuktikan jenayah telah dilakukan.
Sebaliknya, pengadu bukan mangsa tetapi "penipu yang mengakui diri sendiri", kata mereka.
Ketika disoal periksa semasa perbicaraan, wanita itu bersetuju bahawa dia dengan sengaja memberikan bukti palsu ke mahkamah. Dia juga "tertawa" di mahkamah seolah-olah mengejek Dr Yeo dan isterinya, kata Encik Thuraisingam.
Dalam satu kenyataan selepas dibebaskan dari tuduhan, Dr Yeo berkata beliau telah menjadi mangsa "tuduhan palsu dan keji" pada 2017 dan sejak awal lagi bertegas bahawa beliau tidak bersalah.
"Hari ini, di tengah-tengah perbicaraan dan setelah pengadu mengaku dengan sengaja berbohong di mahkamah mengenai aspek penting dalam tuduhannya, pihak pendakwa menarik balik tanpa syarat, tuduhan terhadap saya, " katanya.
"Walaupun saya telah berkhidmat untuk masyarakat sebagai seorang doktor dengan cemerlang dan profesional, saya terpaksa mengharungi rasa malu dan pedih kerana dituduh secara terbuka atas jenayah seks yang tidak saya lakukan," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pesakit dan rakan-rakannya kerana mempercayainya, serta Majlis Perubatan Singapura dan persatuan lain yang berkaitan serta masyarakat perubatan.
"Saya lega kebenaran menang hari ini," kata Dr Yeo.
"Namun, saya juga kecewa kerana dengan pembohongannya, pengadu telah menjejas kerja-kerja baik, diperlukan dan sukar untuk memastikan akses kepada keadilan bagi mangsa sebenar jenayah seks, yang kebanyakannya sudah teragak-agak untuk menuduh penyerang mereka secara terbuka," katanya .
"Saya berharap keputusan hari ini tidak menghalang mangsa jenayah seks yang sebenar untuk tampil, atau melemahkan agenda moral yang memihak kepada mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.