Skip to main content

Singapura

DNA, cap jari dan gambar: Polis SG sertai usaha antarabangsa kenal pasti mangsa banjir Nepal

Anggaran Waktu Membaca:
DNA, cap jari dan gambar: Polis SG sertai usaha antarabangsa kenal pasti mangsa banjir Nepal

Orang ramai melihat gambar individu yang dilaporkan hilang menyusuli banjir pada 26 Ogos, yang dipamerkan di luar Hospital Pengajaran Universiti Tribhuvan di Kathmandu, Nepal. (Gambar: CNA/Jack Board)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 02:18PM
  • Ratusan mangsa banjir di Nepal masih hilang, dengan keluarga menampal poster di Hospital Pengajaran Universiti Tribhuvan untuk mencari insan tersayang.
  • Pihak berkuasa Nepal dan pasukan forensik antarabangsa, termasuk dari Singapura, India, China dan Korea Selatan, membantu mengenal pasti mayat melalui DNA dan cap jari.
  • Kapasiti bilik mayat di Chitwan dan kawasan lain tidak mencukupi, menyebabkan pengebumian sementara selepas sampel forensik diambil.
  • Kementerian Ehwal Luar Singapura turut mencari sembilan rakyatnya yang hilang, bekerjasama rapat dengan pihak Nepal dan memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
Dijana oleh AI
KATHMANDU: Di Hospital Pengajaran Universiti Tribhuvan di Kathmandu, gambar dan nama mereka yang hilang selepas banjir dahsyat pada 26 Ogos ditampal pada sebuah dinding, yang kini menjadi papan kenyataan sementara bagi individu yang masih belum ditemui.

Mereka merupakan wajah-wajah di sebalik tragedi tersebut.

Ratusan poster ditampal di sana oleh para anggota keluarga mangsa yang masih hilang – merangkumi penduduk tempatan dan pasangan pengantin baharu hingga warga asing, anggota tentera dan kanak-kanak. Semuanya dilakukan kerana mereka terdesak untuk mendapatkan walau sedikit maklumat sekali pun mengenai apa yang mungkin terjadi kepada insan yang disayangi mereka.

Sahil Dewan, 29 tahun, mencari saudara lelakinya, Samim, seorang pemandu kargo yang bekerja berhampiran sempadan Nepal-China.

Tidak lama sebelum banjir melanda, Encik Samim sempat menghantar sekeping gambar kepada keluarganya dan bercakap dengan mereka melalui telefon. Sejak itu, mereka tidak lagi menerima khabar daripadanya.

"Kami semua cuba mencarinya. Seluruh keluarga kami berdoa dan berusaha untuk menemuinya," kata Encik Dewan.

Tidak lama lagi, katanya, beliau merancang untuk pergi sendiri ke kawasan bencana sebagai usaha terakhir untuk mencari saudara lelakinya itu.

Lebih seminggu selepas banjir, mereka yang masih mencari insan tersayang kini berdepan hakikat yang semakin memilukan: kebanyakan mangsa yang ditemui sudah meninggal dunia, meskipun beberapa operasi menyelamat luar biasa memberikan sedikit sinar harapan.

Penemuan mayat mangsa juga jauh lebih pantas berbanding proses mengenal pasti identiti mereka, sekali gus memberi tekanan baharu kepada khidmat forensik Nepal. Sehingga 5 September, 1,342 mayat ditemukan, namun kurang 100 daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Menurut polis, 4,886 orang masih hilang atau tidak dapat dihubungi. Justeru, jumlah sebenar kematian akibat bencana tersebut masih belum dapat dipastikan.

Pihak berkuasa sudah mengumpulkan lebih 2,200 sampel DNA, termasuk daripada 1,260 mayat dan lebih 1,000 anggota keluarga yang sedang mencari insan tersayang. Maklumat mengenai 1,270 mayat yang belum dikenal pasti turut dimuat naik online dalam usaha membantu keluarga mencari anggota keluarga mereka.

Bagi mengurangkan tekanan yang semakin meningkat terhadap operasi pengecaman mangsa bencana (DVI) Nepal, sebuah pasukan pakar yang dibentuk Pasukan Polis Singapura (SPF) kini berada di Kathmandu, di samping pakar forensik dari India, China dan Korea Selatan untuk menghulurkan bantuan kepada pihak berkuasa tempatan.

Kontinjen yang dibentuk oleh 35 pakar forensik SPF itu mula berlepas dari Singapura pada 1 September. Mereka akan memeriksa mayat-mayat para mangsa dan mengumpulkan bukti yang mungkin dapat membantu mengenal pasti identiti mereka, termasuk DNA, cap jari dan gambar.

"Saya rasa lazimnya dalam situasi banjir, terutama pada ketika ini, mayat sudah mereput dengan agak teruk dan air juga menyebabkan kerosakan pada mayat," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Singapura dan Komander DVI, Eugene Wang.

Di satu lagi kawasan di Hospital Pengajaran tersebut, sebuah lagi himpunan gambar menunjukkan betapa sukarnya usaha untuk mengenal pasti para mangsa.

Berpuluh-puluh gambar mayat yang belum dikenal pasti digantung di sana, dengan kebanyakannya sudah mereput dengan teruk. Identiti mereka masih belum dipadankan dengan nama dan keluarga masing-masing.

"Itulah sebabnya mayat boleh terpisah kepada beberapa bahagian dan keadaan itu merumitkan dan menjadikan proses DVI jauh lebih sukar. Kami mahu mengenal pasti identiti mereka supaya dapat membantu proses pemulihan dan memberikan sedikit ketenangan serta harapan kepada keluarga mereka," kata Encik Wang kepada Mediacorp.

Lebih banyak mayat masih ditemukan dan dibawa masuk setiap hari.

PENCARIAN DI SELATAN

Jumlah mayat yang belum dikenal pasti begitu banyak sekali sehingga kemudahan bilik mayat di beberapa kawasan di negara tersebut tidak lagi mampu menampungnya.

Di Chitwan, selatan Nepal, kira-kira 150 kilometer dari ibu kota, pihak berkuasa mula mengebumikan para mangsa buat sementara waktu selepas sampel forensik diambil.

Air banjir yang mengalir deras melalui sistem Sungai Trishuli merentasi ratusan kilometer, membawa lumpur, serpihan dan mayat-mayat mangsa bersamanya.

Di sana, jumlah mayat yang ditemukan dengan pantas melebihi kapasiti kemudahan tempatan. Hospital-hospital di seluruh Chitwan hanya mempunyai ruang di bilik mayat untuk kira-kira 50 mangsa. Namun, lebih 200 mayat sudah ditemukan di daerah tersebut.

Sebelum pengebumian, pasukan forensik mengumpulkan sampel DNA dan menyimpan maklumat yang boleh membantu mengenal pasti setiap mayat. Lokasi setiap kubur turut direkodkan.

Proses tersebut membolehkan pihak berkuasa mengesan dan menggali semula mayat sekiranya sampel DNA kemudiannya menemukan padanan, sebelum menyerahkan mayat mangsa kepada keluarga untuk menjalankan upacara terakhir yang sewajarnya.

Ramai mangsa ditemukan jauh dari lokasi di mana mereka dilaporkan hilang. Sehingga 5 September, 360 mayat ditemukan di Chitwan, lebih dua kali ganda jumlah yang ditemukan di Rasuwa, tempat bencana tersebut tercetus.

Di Chitwan, polis Nepal terus menyusuri kawasan perairan untuk mencari mangsa, satu tugas yang semakin sukar untuk dilakukan dari hari ke hari.

Timbalan Ketua Polis Nepal, Om Bahadur Rana, berkata usaha menemukan semua mayat mangsa yang masih hilang akan menjadi tugas yang amat mencabar, namun berharap ia dapat diselesaikan dengan bantuan dari luar negara.

"Banyak negara yang terjejas akibat bencana. Lain kali, ia mungkin berlaku di mana-mana negara lain. Sokongan yang diberikan amat baik," kata beliau.

Nepal sudah merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk menyediakan lebih banyak kit ujian DNA, peti sejuk beku makmal dan peralatan untuk mengendalikan mayat, sedang negara tersebut bergelut dalam menangani skala operasi berkenaan.

Sebuah pasukan respons krisis daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura turut berada di Nepal sejak 27 Ogos untuk mendapatkan maklumat berhubung sembilan rakyat Singapura yang masih hilang.

Pihak berkuasa Singapura sudah mendapatkan sampel DNA daripada para waris terdekat rakyat Singapura yang hilang bagi membantu usaha pengecaman.

Sementara itu, para pegawai di lapangan sedang meneliti petunjuk yang ada dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal untuk mendapatkan maklumat mengenai keberadaan mereka.

"Kami sedang meneliti setiap petunjuk yang ada dan, dalam batasan yang ditetapkan pihak berkuasa Nepal, kami melakukan segala yang termampu untuk membantu usaha mencari rakyat Singapura yang masih hilang dan memastikan setiap kemungkinan diteliti," kata Setiausaha Pertama (Politik) di Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi, Joshua Lim.

MFA memaklumkan ia berhubung rapat dengan keluarga para individu yang masih hilang, dan pada masa yang sama, memberikan perkembangan terkini secara berkala, bantuan di lapangan serta sokongan lain.

Apabila keadaan jalan raya mengizinkan, pasukan respons krisis tersebut turut pergi ke kawasan-kawasan yang dilanda bencana, termasuk Nuwakot, Chitwan dan Pokhara, untuk mengambil langkah susulan dan mengumpulkan maklumat sebanyak mungkin, kata Encik Lim.

Bagi kontinjen polis Singapura pula, skala bencana dan keadaan di Nepal jauh berbeza daripada apa yang biasa mereka hadapi di tanah air.

"Kami beroperasi dalam persekitaran yang sangat berbeza. Dari segi mental, pasukan kami sudah bersedia," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Singapura dan Komander Kontinjen, Patrick Tan.

"Saya rasa inilah cabaran utama yang kami hadapi sekarang. Namun, dengan latihan dan kerjasama berpasukan, kami mampu mengatasi cabaran itu melalui kerjasama rapat dengan rakan sejawatan kami dari Nepal," kata beliau.

Walaupun pasukan tersebut berharap untuk memperoleh jawapan berhubung rakyat Singapura yang masih hilang, Encik Wang berkata mereka berasa "rendah hati" kerana diberi peluang untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua cara yang termampu.

Bagi ribuan keluarga, penantian untuk mendapatkan jawapan masih berterusan.

Antara mereka termasuk Banjyan Tamang. Menurut beliau, anak lelakinya, Rohit, merupakan antara lapan anggota keluarganya yang masih hilang dari daerah Rasuwa berhampiran sempadan Tibet, antara kawasan yang paling teruk dilanda bencana tersebut.

Namun, tidak seperti keluarga lain yang menampal gambar ahli keluarga mereka di dinding-dinding tersebut, beliau tidak mempunyai gambar untuk ditampal. Beliau juga tidak memiliki telefon bimbit yang boleh digunakan untuk menunjukkan gambar anggota keluarganya yang hilang.

"Salah satu gambar di bahagian atas itu kelihatan seperti anak saya, tetapi apabila saya memeriksa namanya, rupa-rupanya orang lain yang wajahnya sama seperti anak saya," kata beliau.

"Sehingga sekarang, langsung tiada jejak mereka. Apa yang harus saya lakukan? Jika mereka selamat dan masih hidup di mana-mana, saya sanggup pergi menyelamatkan mereka sendiri," tambah beliau.

"Namun pada ketika ini, kami tidak tahu sama ada kami sedang mencari mereka yang sudah meninggal dunia atau masih hidup."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita