Skip to main content

Singapura

DJ WARNA 942 A B Shaik langgar bas akibat serangan vertigo semasa memandu

Anggaran Waktu Membaca:
DJ WARNA 942 A B Shaik langgar bas akibat serangan vertigo semasa memandu

DJ Warna 942 A B Shaik (kiri) dan keadaan dalam keretanya, dengan beg udara yang diaktifkan dan cermin depan yang retak, selepas berlanggar dengan sebuah bas dua tingkat. (Gambar: Facebook/A B Shaik Banafe')

SINGAPURA: Hari yang bermula dengan penuh kegembiraan dan keseronokan berakhir dengan pengalaman yang cukup mengerikan.

Itulah yang dialami penyampai radio terkenal, A B Shaik, atau nama sebenarnya Shaik Abu Bakar Ahmad Banafe' pada Ahad (5 Apr) sejurus selepas tamat acara 'Ini Baru High Tea Raya!' anjuran bersama WARNA 942, RIA 897 dan BERITA Mediacorp.
Siapa sangka, hasrat untuk menunaikan solat Asar di masjid bertukar menjadi kemalangan dalam sekelip mata.

"Selepas acara High Tea, saya mahu solat dan pergi ke Masjid Abdul Gafoor tetapi tiada tempat untuk meletak kereta. Jadi saya ke Masjid Haji Mohd Salleh, juga tak boleh 'park'. Kemudian saya bercadang untuk ke Masjid Khadijah.

"Dalam perjalanan ke sana, secara tiba-tiba, saya mengalami vertigo dan macam 'pusing kepala'. Saya tiba-tiba tidak tahu di mana kiri, kanan dan tengah, dan tidak dapat mengawal stereng.

"Tiba-tiba saya rasa seperti langgar tembok, beg udara di bahagian depan kereta juga diaktifkan dan kereta berasap. Rupa-rupanya saya sudah berlanggar dengan bas dua tingkat, yang berhenti di perhentian bas yang tidak berbumbung," kongsi beliau, yang memandu kereta Mercedes E250.
Related article image
Beg udara diaktifkan di dalam kereta DJ A B Shaik. (Gambar: Facebook/A B Shaik Banafe')
Menurut A B Shaik, mujur beliau memakai tali pinggang keledar serta tidak memecut, dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang bas.

Beliau sendiri juga tidak cedera parah atau patah tulang - hanya lebam dan 'bisa' pada lengan kanannya - dan masih boleh berjalan seperti biasa menyusuli kejadian yang berlaku di Sims Avenue, berhampiran Lorong 27 Geylang.

"Saya memang mengalami vertigo, tetapi jarang-jarang sekali berlaku. Ini juga kali pertama ia berlaku ketika saya sedang memandu di jalan raya.

"Namun bagi saya, saya bersyukur kerana sekiranya tidak ada bas di perhentian itu, mungkin saya boleh terbabas ke dalam kedai kopi yang berada betul-betul di belakang perhentian bas tidak berbumbung itu," tambah beliau.
Related article image
Kereta Mercedes milik A B Shaik yang terlibat dalam kemalangan. (Gambar: Facebook/A B Shaik Banafe')
Penyampai radio mapan itu juga masih berasa agak fobia untuk mengimbau kembali insiden ngeri itu.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan cermin hadapan keretanya turut retak akibat nahas itu.

Beliau menambah ambulans, kereta polis dan kereta bomba juga dikerahkan ke tempat kejadian.
Related article image
Ambulans dikerahkan ke tempat kemalangan di Sims Avenue, berhampiran Lor 27 Geylang. (Gambar: Facebook/A B Shaik Banafe')
"Selepas pertembungan itu, saya duduk di kereta sebentar, bukan hanya disebabkan ramai pejalan kaki yang menyaksikan kejadian itu, tetapi kerana saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku," ujar beliau.

A B Shaik menambah bahawa beliau sedang beransur pulih dan akan berehat daripada memandu buat sementara waktu.
Related article image
Keadaan A B Shaik di Jabatan Kemalangan & Kecemasan (A&E) di Hospital Besar Changi pada hari kemalangan. (Gambar: Facebook/A B Shaik Banafe')
Beliau juga dijadualkan bertemu dengan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) bagi keadaan vertigo itu pada bulan depan.

"Apa yang saya boleh nasihatkan ialah pakailah tali pinggang keledar dan ikut peraturan lalu lintas.

"Jika bukan kerana tali pinggang keledar itu, mungkin saya boleh tercampak keluar dari kereta," tambah beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita