Divisyen Perkhidmatan Awam umum pelantikan setiausaha tetap mulai 1 Jan

Pengarah pengurusan dan ketua pegawai operasi di Enterprise Singapore, Jeffrey Siow; Setiausaha Tetap MCCY, Tan Gee Keow dan Setiausaha Tetap (Pembagunan Pertahanan) di Kementerian Pertahanan, Melvyn Ong. (Gambar: LinkedIn/jsiow, laman MCCY, Divisyen Perkhidmatan Awam)
Encik Jeffrey Siow, yang sebelum ini merupakan pengarah pengurusan dan ketua pegawai operasi di Enterprise Singapore sejak September 2021, akan menyandang jawatan setiausaha tetap buat pertama kalinya.
Encik Siow, 45 tahun, akan menjadi Setiausaha Tetap Kedua Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Beliau merupakan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dari 2017 hingga 2021, dan sebelum ini memegang beberapa pelantikan di MOM, PSD, Kolej Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan.
Jawatan tiga setiausaha tetap akan menyaksikan perubahan kepada portfolio mereka.
Cik Teoh Zsin Woon, yang kini merupakan Setiausaha Tetap (Pembangunan) di PSD, akan juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Cik Teoh, 49 tahun, akan melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Pembangunan Negara (MND).
Cik Teoh sebelum ini menyandang beberapa peranan di Kementerian Sekitaran ketika itu, Kementerian Pertahanan, Kementerian Tenaga Manusia, Agensi Pembangunan Tenaga Kerja dan Kementerian Pembangunan Negara.
Sementara itu, Cik Tan Gee Keow akan melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap MCCY. Beliau akan terus berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap PSD.
Cik Tan, 48 tahun, telah memegang beberapa jawatan dalam Kementerian Kewangan, Divisyen Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan.
Mantan ketua Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Melvyn Ong Su Kiat akan menjadi Setiausaha Tetap (Pembangunan) di MND. Beliau akan berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap (Pembagunan Pertahanan) di Kementerian Pertahanan secara serentak. Ia merupakan peranan yang beliau dilantik pada awal tahun ini apabila beliau bersara daripada SAF.
Beliau, yang berusia 48 tahun, menyertai SAF pada 1994 dan memegang beberapa jawatan utama sebelum menjadi Ketua Angkatan Pertahanan pada Mac 2018.
PELANTIKAN SEMULA
Encik Chng Kai Fong, yang kini merupakan Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), akan dilantik semula sebagai Setiausaha Tetap (Penerangan dan Pembangunan) di kementerian yang sama.
Beliau, yang berusia 44 tahun, akan kekal sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) (Keselamatan Siber) di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Pengalaman Encik Chng dalam perkhidmatan awam merangkumi pelbagai pelantikan termasuk di Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian ketika itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kolej Perkhidmatan Awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.