Skip to main content

Singapura

Divisyen Perkhidmatan Awam umum pelantikan setiausaha tetap mulai 1 Dis

Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Jumaat (8 Nov) mengumumkan beberapa pelantikan setiausaha tetap dan beberapa perubahan jawatan yang akan berkuat kuasa pada Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
 Divisyen Perkhidmatan Awam umum pelantikan setiausaha tetap mulai 1 Dis

(Dari kiri) Setiausaha Tetap (Pengangkutan) Loh Ngai Seng; Setiausaha Tetap (Pembangunan Pengangkutan) Lau Peet Meng; Setiausaha Tetap (Undang-Undang) dan Setiausaha Tetap Kedua (Ehwal Luar) Luke Goh Peng Ee; dan CEO SPH Media CEO Chan Yeng Kit. (Gambar: PSD)

SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Jumaat (8 Nov) mengumumkan beberapa pelantikan setiausaha tetap dan beberapa perubahan jawatan yang akan berkuat kuasa pada Disember ini.

Encik Loh Ngai Seng, 53 tahun akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Negara) berkuat kuasa 11 Disember. Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap (Pengangkutan) yang disandangnya sejak 2017, pada tarikh yang sama.

Encik Loh sebelum ini berkhidmat dalam beberapa peranan di Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA).

Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Negara sekarang ini adalah Cik Ow Foong Pheng dan Encik Melvyn Ong.

Encik Lau Peet Meng, 49 tahun yang memegang jawatan Setiausaha Tetap (Pembangunan Pengangkutan) sejak Julai lalu akan diubah daripada jawatan asalnya kepada Setiausaha Tetap (Pengangkutan) berkuat kuasa 11 Disember.

Encik Lau telah memegang beberapa jawatan dalam Pasukan Polis Singapura (SPF), Kementerian Ehwal Luar (MFA), MOE, MHA dan MINDEF.

Encik Luke Goh Peng Ee, 49 tahun yang merupakan Setiausaha Tetap (Undang-Undang) dan Setiausaha Tetap Kedua (Ehwal Luar) sejak 2023 akan diubah jawatannya kepada Setiausaha Tetap (Pembangunan) di MFA, berkuat kuasa 1 Disember. Beliau akan kekal memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Undang-Undang).

Encik Goh sebelum ini pernah memegang beberapa peranan di Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Kesihatan (MOH), PSD, Kolej Perkhidmatan Awam, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

PSD turut mengumumkan bahawa Encik Chan Yeng Kit, 59 tahun akan bersara dari Perkhidmatan Awam pada 1 Januari 2025. Beliau akan terus memegang peranan sebagai ketua pegawai eksekutif di SPH Media.

Encik Chan memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam pada 1989, di mana beliau memegang beberapa jawatan utama dalam pelbagai kementerian dan agensi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom pada 2005, di mana beliau menerajui perancangan dan pelancaran Pelan Induk Negara Bijak 2015, pembangunan Rangkaian Jalur Lebar Kebangsaan Generasi Seterusnya dan pelancaran rangkaian wi-fi awam Wireless@SG.

Pada 2008, Encik Chan dilantik sebagai Setiausaha Tetap di bekas Kementerian Perhubungan, Penerangan dan Kesenian, di mana beliau memimpin inisiatif-inisiatif utama seperti menyegarkan semula semula pelan induk Negara Bijak 2015, Pelan Fusion Media Singapura dan DesignSingaporeII.

Encik Chan dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang pada 2022 atas sumbangannya kepada Perkhidmatan Awam.

"Saya ingin melahirkan penghargaan saya kepada Yeng Kit atas kepimpinan teladan dan sumbangan ketara kepada Perkhidmatan Awam. Beliau berkhidmat dengan cemerlang merentasi pelbagai pertubuhan berbeza selama bertahun-tahun memberikan perkhidmatan berdedikasi," kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita