Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dituduh pandu secara bahaya walau dilarang memandu setelah seret polis dengan Maserati

Seorang pemandu Maserati yang dilarang memandu seumur hidup tahun lalu kerana mengheret seorang pegawai polis trafik di jalan raya dengan kenderaannya, kini dihadapkan pula dengan tuduhan baru - memandu dengan berbahaya semasa di bawah larangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dituduh pandu secara bahaya walau dilarang memandu setelah seret polis dengan Maserati

Pemandu Maserati, Lee Cheng Yan di luar Mahkamah Negara pada 3 Okt 2019. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 19 Mar 2021 09:49PM Dikemas Kini : 19 Mar 2021 09:56PM

SINGAPURA: Seorang pemandu Maserati yang dilarang memandu seumur hidup tahun lalu kerana mengheret seorang pegawai polis trafik di jalan raya dengan kenderaannya, kini dihadapkan pula dengan tuduhan baru - memandu dengan berbahaya semasa di bawah larangan.

Lee Cheng Yan, 37 tahun, dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan apabila kesalahan baru didakwa berlaku pada Februari dan Mac tahun ini.

Lee - yang ditahan reman dua hari lalu - dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat (19 Mac) melalui panggilan Zoom untuk perbicaraan Mahkamah Tinggi yang bertujuan untuk mendengar rayuannya terhadap insiden polis trafik itu. Bagaimanapun, ia ditangguhkan setelah dia memohon untuk menukar peguamnya.

Pada Julai 2020, Lee dijatuhi hukuman penjara empat tahun tujuh bulan, didenda S$3,700 dan dilarang memandu seumur hidup berhubung satu insiden tahun 2017, apabila dia melawan arahan pegawai polis untuk berhenti dan kemudian melarikan diri dengan pegawai tergantung dari pintu sisi pemandu.

Dia mengheret pegawai itu sejauh 124 meter, dan mangsa kemudian jatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian lutut, leher dan punggungnya.

Dalam pembelaannya semasa perbicaraan, Lee bertegas bahawa seorang lelaki bernama Kelvin yang mempunyai ketinggian dan bentuk tubuh serupa dengannya dan memakai kemeja putih serupa yang memandu pada hari itu.

10 DAKWAAN BARU BERKAITAN KESALAHAN JALAN RAYA

Pihak pendakwa memberitahu mahkamah pada Jumaat bahawa Lee dikenakan 10 tuduhan baru - termasuk memandu di Upper Boon Keng Road pada sekitar 2.30 petang pada 13 Februari dan memandu di Jalan Ang Mo Kio 32 pada 12.40 pagi pada 4 Mac.

Dia dituduh memandu dengan berbahaya di Macpherson Road, menuju Airport Road, pada awal pagi 12 Mac. Kertas pertuduhan menyatakan bahawa dia memandu pada kelajuan sekitar 140km/j, melebihi had 50km/j dan 60km/j di beberapa bahagian jalan raya dan melanggar dua lampu merah.

Pada sekitar 4.00 pagi hari berkenaan, dia juga didakwa gagal mematuhi arahan polis dan memandu BMW membolosi sekatan jalan raya pihak polis di Macpherson Road.


Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh memberitahu mahkamah bahawa Lee ditahan reman sejak 17 Mac 2021.

Setelah mendengar senarai pertuduhan, Lee menyampuk dengan berkata: "Itu semua bukan saya yang lakukan."

Namun, dia ditegur oleh hakim, yang mengingatkannya bahawa dia sedang dalam perbicaraan mahkamah dan perlu berkelakuan sewajarnya.

Hakim Aedit Abdullah berkata saudara perempuan Lee menulis surat kepada mahkamah untuk memberitahu bahawa mereka ingin menukar peguamnya.

Lee diwakili dalam perbicaraan oleh Encik Balamurugan Selvarajan, dan peguamnya dalam rayuan tersebut dicatatkan sebagai Encik Dhanwant Singh.

Menurut rekod mahkamah, Lee dijadual menjalani perbicaraan minggu depan untuk tuduhan lain yang belum selesai. Belum diketahui sama ada ia akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan