Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Disfagia wajar diberi perhatian sedang penduduk S’pura menua

Sebagai manusia, kita tentu sekali perlu makan dan minum dan kita melakukannya tanpa perlu berfikir dua kali. 

Anggaran Waktu Membaca:
Disfagia wajar diberi perhatian sedang penduduk S’pura menua

(Gambar hiasan: Sebastien Bozon/AFP)

BERITAmediacorp: Sebagai manusia, kita tentu sekali perlu makan dan minum dan kita melakukannya tanpa perlu berfikir dua kali.

Malah, ‘keupayaan’ kita untuk makan dan minum bukan saja antara nikmat yang dapat memastikan kita berhasil memperolehi tenaga dan khasiat yang diperlukan, bahkan ia juga merupakan salah satu nikmat yang mampu memberikan kita kebahagiaan serta cara untuk kita saling berinteraksi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan kita.

Maka itu, keupayaan untuk menelan makanan sering dianggap ramai sebagai satu perkara yang remeh-temeh sehinggalah nikmat itu ‘hilang’. Barulah ibarat ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

Sebilangan individu yang ‘hilang’ nikmat itu dan mengalami pula kesulitan untuk menelan makanan dan minuman sebenarnya mengalami kondisi yang diberi nama Disfagia.

WARGA TUA DIKHUATIRI LEBIH BERISIKO

Gambar fail. (Gambar: AFP)

Gambar Hiasan.

Sedang penduduk Singapura semakin menua, masalah ini akan menjadi satu perkara biasa dan kebanyakannya akan dialami oleh golongan warga tua. Malah, berdasarkan tinjauan yang dijalankan, kaum lelaki lanjut usia lebih berisiko mengalami Disfagia berbanding kaum wanita yang sebaya dengan mereka. 

Sungguhpun demikian, kajian masih dijalankan bagi menyelidik punca yang menyebabkan kondisi itu.

Setakat ini, 10 peratus warga emas yang dirawat di hospital mengalami kondisi Disfagia. Ini menurut Penolong Profesor Adjung Samuel Chew, seorang konsultan kanan di Hospital Besar Changi. Malah, jumlah warga emas yang berusia dalam lingkungan 80 tahun ke atas dan mengalami Disfagia boleh mencecah sehingga 30 peratus atau lebih. Dan bagi segilintir lagi (terutamanya pesakit yang menghidap angin ahmar) sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada mereka mengalami Disfagia. 

Sehubungan itu, Dr Chew berpendapat bahawa Disfagia tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menimbulkan risiko yang memudaratkan atau bahaya terhadap kesihatan mahupun nyawa seseorang pesakit. 

Lebih membimbangkan, Dr Chew turut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa 50 hingga 60 peratus pesakit angin ahmar mengalami Disfagia.

“Apabila para pesakit ini menelan makanan atau minuman, ia boleh masuk ke bahagian paru-parunya. Jika ini berlaku, ia boleh mengakibatkan jangkitan kuman, sekaligus menyebabkannya mengalami pneumonia iaitu radang paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas dan memudaratkan kesihatannya,” kata Dr Chew.

HILANG SELERA MAKAN SETELAH ALAMI DISFAGIA

Seorang warga emas memegang tongkat. (Gambar fail: TODAY)

Gambar hiasan.

Bagi Cik Mawar (bukan nama sebenar), rutin menyediakan makanan untuk ibu mertuanya berubah dengan begitu ketara setelah ibu mertuanya diserang angin ahmar dua tahun yang lalu. Beliau berkongsi dengan BERITAmediacorp bagaimana ia kini mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan makanan ibu mertuanya kerana beliau harus memastikan agar makanan yang disediakannya itu benar-benar lembut dan mudah ditelan. 

Selain itu, beliau juga perlu memastikan ibu mertuanya mendapatkan zat dan khasiat yang mencukupi. “Saya sering melungsuri Internet untuk mencari resipi-resipi baru untuk dicuba. Bukan apa, selain memastikan makanan itu berkhasiat, saya juga ingin membangkitkan seleranya untuk makan.”

“Sejak mengalami Disfagia, ibu mertua saya tidak begitu berselera untuk makan dan berat badannya juga semakin susut. Oleh itu, saya perlu lebih kreatif,” kongsi suri rumah itu kepada BERITAmediacorp.

Menurut Cik Magdalin Cheong, seorang timbalan pengarah diet dan khidmat makanan di Hospital Besar Changi, keluarga turut memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang pesakit itu bukan saja dihidangkan dengan makanan yang sihat, malah diberikan juga sokongan moral yang kukuh.

Ini kerana para pesakit yang didiagnosis mempunyai kondisi Disfagia mungkin akan mengalami kemurungan dan lebih cenderung bersendirian. Oleh itu, para anggota keluarga digalak supaya meluangkan lebih banyak masa bersama mereka dan menyediakan pilihan makanan yang pelbagai dan menarik untuk merangsang semangat mereka.

Dr Chew turut menarik perhatian kepada salah tanggap yang membuat andaian bahawa warga tua tidak memerlukan banyak protein atau karbohidrat, sedangkan ia tidak benar sama sekali. “Sebenarnya, warga tua lebih memerlukan protein dan karbohidrat berbanding golongan muda. Ini kerana mereka memerlukan zat-zat sedemikian untuk sembuh.”
Jika mereka mendapat khasiat dan zat yang mencukupi, warga tua akan lebih cergas dan bertenaga. Sebenarnya, warga tua memerlukan 30 peratus lebih banyak protein berbanding golongan muda!” jelas Dr Chew.

SEDIAKAN MAKANAN IKUT SELERA ATAU CITARASA PESAKIT

Bagi memastikan para pesakit yang mengalami Disfagia di Hospital Besar Changi (CGH) mendapat zat dan khasiat yang sewajarnya, CGH sudah menghasilkan 14 jenis resipi yang bukan saja memenuhi keperluan pemakanan mereka, bahkan sesuai juga dengan selera orang lain.

Antaranya adalah otak-otak ikan bagi para pesakit yang mungkin menggemari makanan lebih pedas dan ayam halia untuk mereka yang tidak mahu masakan pedas. “Otak-otak mungkin dianggap sebagai makanan yang biasa-biasa saja tetapi yang penting, rata-rata ada orang yang menggemarinya.”

Malah, apabila tekstur otak-otak diubah menjadi lebih lembut dan kandungan zatnya ditukar, ia adalah hidangan yang amat sesuai untuk disajikan kepada para pesakit Disfagia. “Kami menggunakan rempah-ratus dalam masakan kami kerana kami tahu ia digemari oleh golongan warga tua yang menginginkan makanan yang lebih berperisa. Dengan menggunakan rempah-ratus, ia juga boleh mengurangkan kandungan garam dalam masakan,” dedah Cik Magdalin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan