Direktori untuk bantu pesalah, bekas pesalah dadah dan keluarga mereka dilancarkan di laman M³
SINGAPURA: Sebuah direktori yang menyenaraikan khidmat dan program oleh para anggota Rangkaian Pemulihan Badan-badan Melayu/Islam (MMO) bagi menyokong pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka dilancarkan hari ini (11 April).
Inisiatif terbaru ini menyediakan panduan sehenti buat para anggota rangkaian tersebut, pertubuhan-pertubuhan lain dan anggota masyarakat agar mereka lebih maklum dengan khidmat dan program yang disediakan oleh anggota rangkaian itu.
Ia juga diharap dapat mencipta peluang bagi pertubuhan-pertubuhan lain di luar rangkaian tersebut untuk bekerjasama.
Semasa melancarkannya, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim merakamkan penghargaannya buat semua yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.
"Kalau kita adakan satu panduan, di mana ia secara aktif boleh dilihat, boleh dimuat turun dan dapat dilihat melihat bagaimana setiap MMO itu memainkan peranan, ia dapat memberikan ruang perkongsian dan ruang kolaborasi yang lebih baik dalam kalangan mereka," kongsi Dr Faishal.
"Kami akan terus mendekati MMO ini dan dengan adanya rangkaian ini, kita dapat melihat seperti hari ini, perkongsian informasi. Kita juga akan lakarkan program-program latihan supaya mereka boleh meningkatkan tahap kesediaan mereka dan melihat bagaimana untuk menjalankan tugas dengan lebih baik," tambah beliau lagi.
Pelancaran tersebut diadakan bersempena Seminar Rangkaian Pemulihan Badan-badan Melayu/Islam (MMO) yang diadakan buat pertama kalinya sejak rangkaian itu dirasmikan pada November tahun lalu.
KETAHUI TENTANG CARA TANGANI SALAH GUNA DADAH
Dalam seminar ini juga, para anggota rangkaian MMO berpeluang untuk mengetahui lebih mendalam tentang pemulihan para pesalah dadah serta cara menangani penyalahgunaannya menerusi sesi perkongsian oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).
Antara yang dikongsi oleh SPS termasuk inisiatif dan pendekatan dalam memperkukuh pemulihan dan mencegah kesalahan berulang.
CNB juga menarik perhatian tentang sikap liberal terhadap penyalahgunaan dadah yang kian meningkat.
Daripada jumlah mereka yang ditangkap pada tahun lalu, 60% pesalah dadah yang baru berusia bawah 30 tahun.
CNB juga berkongsi beberapa usaha yang berterusan untuk membuat ibu bapa dan masyarakat lebih peka terhadap bahaya dadah.
Dengan perkongsian sumber dan pengetahuan, ia dapat membimbing para anggota rangkaian itu cara-cara untuk menyokong para pesalah, bekas pesalah serta keluarga mereka dengan lebih menyeluruh lagi.
27 ANGGOTA RANGKAIAN MMO HADIR SESI SEMINAR INI
Secara keseluruhannya, sebanyak 27 anggota rangkaian MMO menghadiri sesi seminar ini, termasuk Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) dan Majulah Community.
"Perjumpaan dan pendedahan seperti ini akan membuat rangkaian MMO lebih berkesan kerana maklumat yang kami dapat daripada agensi-agensi ini lebih terkini dan ini dapat membantu kita untuk membantu keluarga-keluarga yang mempunyai masalah dadah," kongsi setiausaha kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun.
Para peserta seminar ini juga teruja dengan perkongsian langsung daripada pihak CNB, SPS dan anggota lain rangkaian tersebut.
"Apabila kita ada seminar seperti ini, kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang badan-badan lain dan usaha apa yang mereka sedang jalankan," kongsi wakil Majulah Community, Muhammad Asyraf Mustaffa.
"Saya amat teruja untuk bekerjasama kerana mereka ada kepakaran yang kami tidak ada dan kami juga ada kepakaran yang mereka mungkin tidak ada, dan hanya melalui kerjasama, kita dapat membantu masyarakat kita," tambah beliau lagi.
Dr Faishal turut berkongsi bahawa lebih banyak lagi sesi latihan dan perkongsian maklumat, serta program lawatan sambil belajar akan diadakan pada masa akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.