Skip to main content

Singapura

Diramalkan hanya ada lagi 6 bulan untuk hidup, pejuang barah hati ini nasihat orang ramai jalani ujian awal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kehidupan Encik Yang Han Boon tiba-tiba berubah jadi kelam apabila doktor memberitahunya beliau disahkan menghidap Hepatitis B dan barah hati Tahap 3

Pada ketika itu, doktor juga meramalkan Encik Yang, 74 tahun hanya ada lagi 6 bulan untuk hidup.

Ini setelah beliau jalani pemeriksaan lanjutan yang disyorkan setelah melakukan pemeriksaan kesihatan rutin pada 2008.

"Saya berasa amat sedih. Saya tidak merokok atau minum arak. Bagaimana saya boleh disahkan menghidap barah hati? Saya paling merisaukan tentang keluarga kerana bimbang tentang hal kewangan yang perlu dibelanjakan. Selain itu, saya risau tentang bagaimana untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang lain dan terpaksa berhenti bekerja," dedah Encik Yang kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Beliau juga terkejut kerana beliau tidak mengalami sebarang simptom atau rasa sakit di mana-mana bahagian tubuhnya pada ketika itu.

Encik Yang kemudian menjalani pembedahan hati untuk membuang sebahagian daripada organnya itu.

Selain itu, beliau juga menjalani beberapa rawatan lain bagi membantu sistem imun melawan sel barah iaitu ‘transarterial chemoembolization (TACE)’ dan ‘Radio Frequency Ablation (RFA)'.

BARAH HATI ANTARA 5 JENIS BARAH PALING LAZIM

Keadaannya beransur baik dan tidak lagi perlu jalani sebarang rawatan susulan.

Rawatannya berhasil dan Encik Yang seolah-olah diberi peluang kedua untuk hidup setelah melepasi ramalan doktor yang hayatnya tinggal 6 bulan sahaja.
Beliau kini mengubah gaya hidup dan lebih mengambil berat tentang kesihatannya.

Encik Yang berkata: "Saya lebih berdisiplin dan meluangkan masa untuk bersenam. Saya berlari antara 3 kilometer sehingga lima kilometer setiap hari dan pergi ke gim tiga hingga empat kali seminggu."

Sebagai pejuang barah, beliau turut menasihatkan agar orang ramai kerap menjalani pemeriksaan bagi penyakit barah hati.

"Saya berpendapat ia baik untuk orang ramai menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali setahun. Sekiranya penyakit barah itu boleh dikesan pada tahap awal, anda boleh pulih dengan lebih cepat dan menjalani kehidupan anda seperti sediakala," ujar Encik Yang.

Menurut Laporan Tahunan Barah Singapura 2021, barah hati merupakan antara lima jenis barah yang paling lazim dalam kalangan warga lelaki.

Sebanyak 2,984 kes didiagnos dalam tempoh lima tahun antara 2017 hingga 2021.

Menurut Persatuan Elak Barah 365 (365CPS), barah hati juga merupakan punca kematian ketiga paling lazim bagi lelaki dan kelima bagi wanita di Singapura.

HATI BERLEMAK BOLEH CETUS BARAH HATI

Antara faktor yang boleh menyebabkan barah hati ialah penyakit hati berlemak.

Menurut 365CPS juga, penyakit hati berlemak merupakan punca utama bagi barah hati di Asia Tenggara.

Lebih membimbangkan lagi, penyakit hati berlemak berkaitan dengan kegagalan metabolisme (MASLD) dianggarkan boleh menjejas sekitar 40 peratus penduduk Singapura.

Menerangkan lebih lanjut, Konsultan Kanan Divisyen Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Universiti Nasional, Dr Mark Muthiah, berkata penyakit hati berlemak bukan sahaja boleh menyebabkan barah hati tapi juga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan seperti radang hati, hati mengeras dan akhir sekali dan kerosakan hati.
 
Lantaran itu, antara cara mencegah penyakit hati berlemak adalah mengekalkan gaya hidup sihat termasuk diet pemakanan lebih sihat.

"Makanan yang terbaik ialah diet Mediterranean tapi itu susah bagi orang Asia seperti kami tapi itu diet yang boleh mengurangkan lemak dalam hati. Jadi kurangkan makan daging dan lebih banyak ikan," kata Dr Mutthiah.

Tambahnya, ia juga penting untuk mengurangkan berat badan mahupun mengekalkan berat badan dalam lingkungan yang sihat bagi mencegah penyakit hati berlemak.

Antara petanda awal bagi penyakit hati berlemak ialah mudah berasa penat.

"Jika seseorang itu ada terlalu banyak lemak yang terkumpul dalam hati, sel-sel dalam hati boleh rosak. Apabila rosak, ia akan ada keradangan. Keradangan ini sama seperti sekiranya kita terjatuh, ada luka ada kemerah-merahan. Seterusnya, jika ada luka dalam hati atau keradangan, ia akan dalam masa yang lama. Kami punya hati selalu boleh sembuh tapi masa yang lama. Jika selalu ada ada keradangan dalam hati, ia boleh jadi keras dan apabila hati mengeras, ada risikonya. Apabila hati sudah begitu keras, fungsinya akan terjejas dan akan menyebabkan ‘cirrhosis’. Selepas seseorang dapat 'cirrhosis', dia berisiko mengalami barah hati. Jadi yang penting kami mesti kurangkan lemak supaya hati yang keras akan jadi sebagai biasa," kongsi Dr Mutthiah lagi.

Bagi menggalak orang ramai menjalani pemeriksaan bagi penyakit hati berlemak, badan-badan seperti 365CPS menganjurkan beberapa acara.

Pada Julai lalu misalnya, ujian saringan percuma diberikan 365CPS kepada orang ramai melalui satu kerjasama dengan Roche.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita