Diploma WSDip dalam kejururawatan baharu di ITE; tawar peluang peningkatan kerjaya untuk penolong jururawat
SINGAPURA: Selepas meraih sijil Nitec dalam bidang kejururawatan di ITE pada tahun 2019, Cik Nur Shahirah Maahadi, 23 tahun, berkhidmat sebagai Penolong Jururawat Kanan (Senior Enrolled Nurse) di Hospital Khoo Teck Puat.
Walaupun bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat politeknik, tanggungjawab terhadap keluarganya menghalang hasrat tersebut.
Namun, jururawat berusia 23 tahun ini sentiasa dahagakan ilmu baharu dan sentiasa mengikuti pelbagai kursus untuk memajukan dirinya.
Kini, beliau mendapat peluang untuk menyertai kohort pertama Program Diploma Bekerja Sambil Belajar (Work-Study Diploma, WSDip) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam bidang kejururawatan.
Program itu memberikan peluang tambahan kepada para penolong jururawat untuk menaik taraf kelayakan mereka dan menjadi Jururawat Berdaftar (Registered Nurse).
Di samping itu, program itu diharap dapat melahirkan lebih ramai karyawan penjagaan kesihatan yang berkelayakan yang bersedia untuk memenuhi permintaan dalam sektor itu yang semakin meningkat.
"WSDip dalam bidang kejururawatan mempertingkatkan pengetahuan saya melalui teori dan praktikal. Ia amat bermanfaat kerana ia membolehkan saya belajar lebih mendalam lagi. Ia memberi saya lebih keyakinan untuk memberikan penjagaan (pesakit) yang terbaik buat pesakit saya," ujar Cik Nur Shahirah kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
LEBIH BANYAK LALUAN UNTUK JADI JURURAWAT
Berucap semasa pelancaran Program WSDip dalam Kejururawatan di Auditorium Bangunan Kolej Perubatan, Kementerian Kesihatan pada Isnin (30 Sep), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menyatakan bahawa terdapat lebih banyak laluan untuk menjadi jururawat, serta peluang untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang tersebut.
Program itu, kata beliau, dirancang melalui rundingan dengan para pemimpin kejururawatan serta Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan dan bertujuan untuk meningkatkan kelayakan mereka untuk menjadi Jururawat Berdaftar.
Ia membolehkan para jururawat untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh kelayakan yang lebih tinggi tanpa perlu meninggalkan pekerjaan mereka atau menjejas pendapatan mereka.
"Oleh itu, tidak kira titik permulaan seseorang, ia tidak mustahil untuk menceburi bidang kejururawatan dan mempertingkatkan diri. Hasilnya, pengambilan kohort jururawat kita telah berkembang dengan ketara, iaitu kira-kira 30 peratus dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, kira-kira satu daripada 20 pelajar Singapura akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan," kata Encik Ong
Ia penting untuk terus memperluas dan menyegarkan bakat kejururawatan, serta menjadikan kejururawatan sebagai pilihan kerjaya yang menarik bagi rakyat Singapura.
Tambahnya, ia juga sebagai sokongan untuk terus merekrut jururawat asing bagi melengkapi bakat tempatan
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.