Skip to main content

Singapura

Dijel lebih 5 tahun bagi wanita dalangi serangan semasa Hari Raya; simbah air panas pada sepasang adik-beradik

Seorang wanita yang mendalangi komplot untuk membalas dendam terhadap sepasang adik-beradik dan menyimbah air panas pada mereka dijatuhi hukuman pada Selasa (13 Okt). Dia dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan empat bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dijel lebih 5 tahun bagi wanita dalangi serangan semasa Hari Raya; simbah air panas pada sepasang adik-beradik

(Petikan gambar daripada video: YouTube/Fiona Poh)

Diterbitkan : 13 Oct 2020 11:40PM Dikemas Kini : 13 Oct 2020 11:42PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang mendalangi komplot untuk membalas dendam terhadap sepasang adik-beradik dan menyimbah air panas pada mereka dijatuhi hukuman pada Selasa (13 Okt). Dia dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan empat bulan.

Norhayati Jaffar, 37 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan cecair panas dan tiga tuduhan berkaitan dadah termasuk menggunakan methamphetamine. Tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Norhayati sedang mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya di rumahnya pada 7 Jul 2018 apabila seorang rakan menunjukkan rakaman video yang menunjukkan adik lelakinya diserang oleh salah seorang mangsa dan saudara-maranya.

Naik berang terhadap serangan ke atas adiknya itu, Norhayati mengatur rancangan untuk membalas dendam terhadap mangsa-mangsa itu, kedua-duanya yang dipaparkan dalam video tersebut: Muhammad Faizal Omar, 29 tahun, dan adik perempuannya, Nur Farahtika Omar, 27 tahun.

Dia menjemput adik-beradik itu ke rumahnya dengan alasan untuk mengadakan rumah terbuka dan menyambut Hari Raya, sambil mengatakan bahawa ada perkara penting yang ingin dibincangkan dengan mereka.

Dia melibatkan adiknya, Muhammad Bakhtiyar Jaffar, 35 tahun, dan kawannya Nurhanifah Juma'at, 28 tahun, dalam pakatan untuk membalas dendam.

Atas arahan Norhayati, Nurhanifah menjerang air sebelum adik-beradik itu tiba.

Pada sekitar 12.30 tengah malam pada 8 Jul 2018, kedua-dua mangsa tiba bersama dengan beberapa orang lain dan Norhayati mengunci pagar di belakang kedua-dua adik-beradik itu.

Dia dan Bakhtiyar kemudian menyerang kedua-dua adik-beradik itu manakala Nurhanifah merakam serangan itu dengan menggunakan telefon bimbitnya. Dua rakan adik-beradik itu melarikan diri daripada flat itu sejurus selepas serangan itu berlaku.

Norhayati menyimbah air panas pada bahagian leher, belakang tubuh, telinga Cik Farahtika, sebelum menghentak leher mangsa menggunakan bekas supaya mengsa rebah ke lantai dan memukulnya menggunakan batang buluh.

Bakhtiyar menumbuk dan menendang Encik Faizal. Cik Farahtika kemudian berjaya melarikan diri tetapi abangnya terus diserang.

Norhayati menggunakan batang buluh untuk memukul tubuh Encik Faizal sebelum meyimbah air panas dari cerek pada tubuh mangsa, menyebabkan mangsa menjerit kesakitan.

Mangsa melarikan diri daripada unit itu tetapi para penyerangnya mengekorinya, dengan Nurhanifah terus merakam kejadian itu.

Pihak polis dimaklumkan mengenai insiden itu dan Encik Faizal didapati mengalami kelecuran sekitar 4.5 peratus pada tubuhnya, manakala adiknya turut mengalami kelecuran akibat serangan itu.

Norhayati juga mengaku bersalah atas kesalahan-kesalahan berkaitan dengan dadah, Dia gagal menjalani ujian air kencing sebanyak 47 kali setelah diletakkan di bawah perintah penyeliaan sejak Apr 2017.

Dia diberkas setelah didapati berkelakuan mencurigakan pada 4 Apr tahun lalu, dan sampel air kencingnya mengandungi methamphetamine.

Apabila Biro Narkotik Pusat (CNB) mengunjunginya di kediamannya pada Mac tahun ini, dia sekali lagi diuji dan didapati menggunakan methamphetamine.

Nurhanifah dihukum penjara selama setahun dan tiga bulan pada Januari tahun lalu atas peranannya dalam serangan itu, manakala Bakhtiyar dijatuhi hukuman penjara selama 10 minggu pada awal tahun ini.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita