Skip to main content

Singapura

Dihukum penjara 20 tahun kerana serangan seksual ke atas 3 budak bawah umur

Seorang lelaki berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan hari ini (4 Mac) di atas kesalahan-kesalahan serangan seksual, ancaman kekerasan dan memberikan pil khayal kepada tiga rakan-rakan anaknya yang di bawah umur.

Anggaran Waktu Membaca:
Dihukum penjara 20 tahun kerana serangan seksual ke atas 3 budak bawah umur

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 04 Mar 2019 07:18PM Dikemas Kini : 04 Mar 2019 07:59PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan hari ini (4 Mac) di atas kesalahan-kesalahan serangan seksual, ancaman kekerasan dan memberikan pil khayal kepada tiga rakan anaknya yang di bawah umur.

Nama pesalah tidak boleh didedahkan untuk melindungi identiti para mangsa yang kesemuanya berusia 14 tahun ketika kesalahan dilakukan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa lelaki itu tinggal bersama isteri dan anaknya di sebuah flat di kawasan tengah Singapura. Isterinya bekerja syif malam dan rakan-rakan anaknya kerap berkunjung ke rumahnya untuk bermalam di situ.

Kesalahan-kesalahan itu berlaku di antara tahun 2016 dan 2017 semasa isteri dan anaknya tiada di rumah.

Pada September 2016, lelaki itu berpura-pura dirasuk dan berkelakuan pelik, termasuk melakukan gerak silat semasa salah seorang daripada mangsa itu berkunjung ke rumahnya. Dia menanggalkan pakaiannya dan meminta mangsa untuk melakukan seks oral terhadapnya supaya dia "kembali normal".

Pada lewat bulan yang sama, lelaki itu memaksa seorang lagi mangsa untuk melakukan seks oral terhadapnya dengan alasan bahawa mangsa tersebut menetap di rumahnya "secara percuma". Namun, mangsa berjaya melepaskan diri dengan menguncikan dirinya di dalam tandas rumah itu dan menghantar pesanan ringkas melalui telefon bimbitnya untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa diselamatkan oleh dua guru sekolahnya yang tiba ke rumah itu dan lelaki tersebut ditangkap tetapi dilepaskan dengan ikat jamin.

Pada Julai 2017, lelaki itu sekali lagi mencabuli mangsa pertama selepas menghantarnya pulang daripada sebuah kedai permainan komputer. Semasa dalam perjalanan, basikal elektroniknya mengalami kerosakan. Dia membawa mangsa ke sebuah tempat letak kenderaan bertingkat dan memaksanya untuk melakukan seks oral.

Sebulan kemudian, lelaki tersebut memaksa seorang lagi mangsa untuk makan beberapa pil khayal dengan tujuan untuk mencabulinya. lelaki itu juga mengancam untuk memukul anaknya sendiri jika mangsa tidak menuruti paksaannya itu.

Lelaki itu mengaku bersalah terhadap empat dakwaan hari ini selain enam tuduhan termasuk kesalahan mencederakan anaknya yang dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Pihak pendakwa meminta hukuman 20 tahun dan 16 sebatan dikenakan dengan mengatakan bahawa ketiga-tiga mangsa tersebut di bawah umur semasa kesalahan dilakukan dan kanak-kanak harus dilindungi oleh undang-undang daripada penderaan seksual. 

Sumber : CNA/IL/il
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita