Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dickson Yeo ditahan di bawah ISA, cuba serah laporan tentang S'pura kepada negara asing

Rakyat Singapura Dickson Yeo ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 29 Januari kerana bertindak sebagai ejen upahan "negara asing", dedah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Selasa (15 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Dickson Yeo ditahan di bawah ISA, cuba serah laporan tentang S'pura kepada negara asing

Yeo Jun Wei Dickson. (Gambar: Dickson Yeo/Facebook)

Diterbitkan : 15 Jun 2021 01:01PM Dikemas Kini : 15 Jun 2021 01:07PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura Dickson Yeo ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 29 Januari kerana bertindak sebagai ejen upahan "negara asing", dedah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Selasa (15 Jun).

Meskipun ISD tidak menamakan negara asing itu, Yeo, 40 tahun, tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 14 bulan di Amerika Syarikat atas kesalahan mengintip Amerika Syarikat bagi pihak China.

ISD menahan Yeo selepas dia dihantar pulang ke Singapura pada 30 Disember tahun lalu selepas menjalani hukumannya. ISD menyoal siasat Yeo untuk menentukan sama ada dia terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang mengancam keselamatan Singapura.

Jabatan itu menyatakan pada Selasa (15 Jun) bahawa Yeo melakukan kegiatan-kegiatan risikan ke atas Singapura dari 2016 hingga dia ditahan di Amerika Syarikat pada 2019. Dia ditugaskan untuk mencari maklumat dan menyerahkan laporan-laporan berkaitan isu-isu yang ada kepentingan bagi ejen asing yang mengupahnya, termasuk maklumat tentang Singapura.

"Dalam perbuatannya itu, dia menghubungi beberapa individu di Singapura untuk cuba mendapatkan maklumat bagi tujuan menulis laporan-laporannya," menurut ISD.

Yeo juga menubuhkan syarikat di Singapura untuk menyelindungkan kegiatan-kegiatan mengumpul maklumat dan merekrut untuk ejen asing itu. Dia juga cuba, tetapi gagal untuk mendapat pekerjaan dalam Pemerintah Singapura.

"Siasatan ISD mendapati bahawa Yeo bekerja untuk jabatan perisikan sebuah negara asing dan dia menjalankan beberapa tugasan yang diarahkan oleh ejen asing itu untuk mendapat upah wang.

"Yeo mengaku dia sedar sepenuhnya bahawa ejen asing itu bekerja dengan jabatan perisikan negara asing tersebut."

ISD menyatakan siasatan sedang dijalankan dan penahanan Yeo "perlu untuk membantu siasatan sepenuhnya berhubung kegiatan-kegiatan yang dijalankannya".

Yeo dihukum penjara di Amerika Syarikat pada 9 Oktober tahun lalu selepas mengaku bersalah bertindak secara haram sebagai ejen luar negara, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Dia diberi hukuman agak ringan dan tempoh 11 bulan dia di dalam penjara juga diambil kira kerana bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat selain kemungkinan dijangkiti COVID-19 dalam penjara, kata hakim negara Amerika Syarikat pada ketika itu.

Dalam rayuannya, Yeo mengaku bersalah kerana bekerja untuk koperatif risikan China dari 2015 hingga 2019, mengenal pasti dan mendampingi warga-warga Amerika dengan akses kepada "maklumat berharga yang tidak diketahui umum".

Mereka termasuk seorang orang awam yang terlibat dalam projek pesawat pejuang Angkatan Udara Amerika Syarikat, F-35B, seorang pegawai tentera Pentagon dengan pengalaman berkhidmat di Afghanistan dan seorang pegawai Jabatan Negara. Kesemuanya dibayar sebanyak AS$2,000 (S$2,653) untuk menulis laporan untuk Yeo.

Yeo memberitahu mereka bahawa laporan-laporan itu adalah untuk klien-klien di Asia, tanpa mendedahkan bahawa ia sebenarnya adalah untuk pemerintah China.

Yeo diupah kumpulan perisikan China sewaktu menjalani pengajiannya sebagai calon PhD di Sekolah Lee Kuan Yew bagi Dasar Awam (LKYSPP) di Unversiti Nasional Singapura pada 2015. Dia kemudian bekerja dengan pihak China selepas melawat Beijing untuk menyampaikan pembentangan tentang politik.

Mantan diplomat Singapura Bilahari Kausikan berkata bahawa penyelia PhD Yeo di LKYSPP adalah Huang Jing. Profesor itu dikenal pasti pada 2017 sebagai "ejen berpengaruh untuk sebuah negara asing," oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Tanpa menamakan negara itu, MHA menyatakan Huang "dengan sengaja, berhubung dengan pertubuhan-pertubuhan dan ejen-ejen risikan dari negara asing itu dan bekerjasama dengan mereka untuk mempengaruhi dasar-dasar luar negara Singapura dan pendapat awam di Singapura".

Huang menyerahkan "maklumat terlindung" tentang negara asing itu kepada rakyat Singapura yang terkemuka dan berpengaruh, termasuk seorang anggota kanan LKYSPP, dengan tujuan mempengaruhi pendapat mereka agar memihak kepada negara tersebut, menurut MHA.

Yeo juga memberitahu para penyiasat Amerika Syarikat bahawa tugasan risikannya sebelum ini disasarkan kepada negara-negara Asia lain sebelum beralih tumpuan kepada Amerika Syarikat.

MHA menyatakan pada 26 Julai tahun lalu bahawa siasatannya yang dijalankan terhadap kegiatan-kegiatan Yeo tidak mendedahkan sebarang ancaman langsung ke atas keselamatan Singapura.

Pada Selasa (16 Jun), ISD menyatakan Pemerintah Singapura memandang "amat serius sesiapa pun yang melibatkan diri dalam hubungan sulit dengan pemerintah negara asing".

Ini termasuk mereka yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan di bawah perintah kuasa asing yang boleh mengancam keselamatan dan kepentingan Singapura, termasuk hubungan dua hala, tegas ISD.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan