Dick Lee kenang larangan terhadap 'Singlish', kematian adik dalam musim baharu 'The Assembly'
Pada 1970-an, ketika “bahasa Inggeris rojak” dianggap memalukan negara, Dick Lee, seorang remaja, berani menulis lagu "Fried Rice Paradise" — sebuah lagu nakal yang sarat dengan unsur "Singlish".
Dick Lee kenang penyesalan dan pemberontakan beliau dalam rancangan "The Assembly". (Gambar: Mediacorp)
Sama seperti rambut panjang bagi kaum lelaki pada ketika itu, lagu tersebut diharamkan oleh Radio Televisyen Singapura yang dikawal pemerintah.
“Saya sebenarnya ingin menulis lagu tentang Singapura,” kenang mantan juri "Singapore Idol" itu. “Saya fikir, kalau saya (masukkan) 'Singlish', ia akan kedengaran seperti lagu Singapura.”
Larangan tersebut kini menjadi sebahagian daripada sejarah budaya Singapura yang diketahui secara meluas, tetapi persoalannya, adakah beliau marah kepada pemerintah berhubung perkara tersebut, tanya Joel Lee, 28 tahun, dalam rancangan "The Assembly", iaitu siri temu bual oleh Mediacorp yang menampilkan para peserta neurodivergen sebagai wartawan.
“Saya keliru,” jawab Encik Lee yang kini berusia 69 tahun. “Ia membuat saya merasakan bahawa menjadi orang Singapura itu tidak baik. Seolah-olah ia tidak baik untuk mengekspresikan diri sebagai rakyat Singapura.”
Beliau menunggu selama 15 tahun sebelum mencuba lagi dengan lagu rap Rasa Sayang yang juga diselitkan dengan "Singlish". Lagu itu turut ditolak. Dan beliau berfikir: "Bila agaknya kita akan menerima diri kita seadanya?”
Namun keadaan mula berubah. Lagu-lagunya mendapat sokongan masyarakat, akhbar juga mula mempertahankan penggunaan "Singlish" dan larangan tersebut ditarik balik selepas beberapa minggu.
Pertanyaan seterusnya mengubah perbualan daripada pemberontakan kepada penyesalan. “Untuk tempoh yang lama, anda menyalahkan diri sendiri (atas kematian adik anda). Mengapa?” tanya Stephanie Fam, 40 tahun, yang menghidap palsi serebrum.
Beliau menjawab: “Secara tidak langsung, saya ada kaitan dengannya.”
Sebagai ganti, ibunya menjemput adik Encik Lee serta tunangnya untuk bercuti ke Cameron Highlands. Semasa dalam perjalanan, kereta pasangan itu bertembung dengan sebuah bas. Adiknya meninggal dunia — sehari sebelum ulang tahun kelahirannya.
“Kalau saya adakan majlis hari jadi… mungkin mereka masih ada,” kata beliau, sebelum terdiam buat seketika, lalu menambah: “Sejak itu, saya tidak pernah gagal meraikan hari lahir saya.”
Melibatkan pengakuan dan renungan budaya — The Assembly, yang diinspirasikan daripada rancangan Perancis Les Rencontres Du Papotin, mempertemukan tokoh awam dengan sekumpulan penemubual yang mempunyai keadaan seperti sindrom Asperger, autisme, disleksia dan lain-lain lagi.
Mereka bertanyakan soalan-soalan yang jarang diajukan orang lain — dengan tokoh-tokoh seperti Menteri Kabinet merangkap Ketua Dewan Indranee Rajah, Ketua Pembangkang Pritam Singh dan pelakon-model Sheila Sim turut menjadi tetamu bagi musim ini yang akan mula ditayangkan pada Rabu malam (22 Okt).
KEGAGALAN O-LEVEL DAN GELORA KEHIDUPAN
Tetamu pertama rancangan itu membesar dalam suasana penuh kemewahan dan muzik. Dick Lee ialah anak sulung, daripada lima beradik, kepada ahli perniagaan Peranakan generasi keenam, Lee Kip Lee — mantan presiden Persatuan Peranakan — dan isterinya, Elizabeth.
Adakah beliau rasa beliau akan berjaya jika tidak “dilahirkan dalam keluarga berada”? tanya Durkeswaran Krishnan, 19 tahun.
“Saya tidak pasti sama ada dilahirkan kaya atau miskin ada kaitan dengan kejayaan,” jawab beliau. “Saya akan katakan... satu perkara yang membantu saya ialah saya tidak perlu menyara keluarga.”
Namun, tegasnya, beliau tetap akan mengejar muzik tanpa mengira latar belakang. Hidupnya berubah selepas gagal peperiksaan O-Level — dengan sengaja, kata beliau. “Saya sengaja keluar daripada laluan akademik itu dan paksa diri untuk cari jalan sendiri.”
Itu bermakna beliau mula bekerja pada usia 17 tahun, menghasilkan muzik, mengatur pertunjukan fesyen dan tinggal berasingan daripada keluarga. Beliau sudah berdikari ketika itu.
Bagaimanapun, keistimewaan hidupnya mungkin membantu beliau terlepas daripada masalah semasa di sekolah, apabila menjadi orang tengah bagi jualan buku lucah kepada rakan-rakan di Institusi St Joseph’s.
“Saya memang nakal,” katanya. “Ayah saya selamatkan saya… daripada dibuang sekolah. Saya rasa dia memberi derma kepada sekolah.”
Polis turut campur tangan dan menjadikannya umpan untuk menangkap pembekal. Hukumannya akhirnya ialah duduk di luar bilik darjah selama seminggu.
“Ironinya, seluruh sekolah tahu cerita itu, dan apabila mereka lalu dan nampak saya duduk di luar, saya macam wira mereka,” katanya sambil ketawa.
“Tapi saya belajar pengajarannya — jangan main-main dengan perkara macam itu.”
Itu antara banyak kali bapanya kecewa dengan beliau. Sebagai seorang yang bersikap konservatif, Encik Lee Kip Lee sering berasa risau tentang masa depan anaknya dalam bidang muzik, bidang yang ketika itu dianggap sebagai “tiada harapan”.
Namun ia menjadi dorongan untuk Encik Dick Lee, yang “menghabiskan sebahagian besar daripada kerjayanya” bagi membuktikan bahawa beliau mampu berjaya.
Daripada banyak soalan yang diajukan, salah satunya datang daripada Trevor Lee, 25 tahun, yang mempunyai gangguan spektrum autisme. “Tolong jangan benci saya kerana bertanya soalan ini,” katanya, merujuk kepada perceraian Encik Dick Lee pada 1997 dengan penyanyi-pelakon Jacintha Abisheganaden.
Dengan nada sinis, Encik Dick Lee menjawab: “Patutnya awak tanya, bagaimana kami (boleh) berkahwin pada mulanya?”
Jacintha ialah sahabat karibnya sejak zaman sekolah menengah. Mereka berkahwin pada 1992, dan katanya, “secara ringkas, ia satu kesilapan”. “Kami sangat optimistik,” kata beliau. “Tapi kadang-kadang, kawan sepatutnya kekal sebagai kawan.”
Bahagian yang paling menyedihkan baginya ialah hubungan mereka “agak renggang” selepas itu. “Dia ilham saya. Saya tulis... semua lagu awal saya untuk dia,” kata beliau. “Saya masih rasa (dia) memiliki suara paling indah di Singapura.”
Satu "berita gembira", katanya, mereka mungkin akan bekerjasama semula tidak lama lagi. Beliau turut berkongsi rahsia bahawa beliau sebenarnya tidak begitu gemar untuk membuat persembahan, selain mendedahkan projek terbaharunya yang meraikan identiti Singapura.
PENUH EMOSI, SOALAN TERUS-TERANG
Tiada topik yang dianggap sebagai pantang dalam episod-episod lain. “Orang ramai patut tonton Musim 2 sebab ia jauh lebih menyentuh perasaan,” kata Encik Trevor Lee. “(Tetamu) banyak bercakap tentang keluarga — sampai saya hampir menitiskan air mata.”
Salah satu daripada detik tersebut berlaku apabila Cik Indranee berkongsi tentang kehilangan ibunya pada Ogos lalu. Dengan bapanya dan adik-beradiknya juga sudah tiada, beliau bercakap tentang bagaimana beliau belajar untuk hidup dengan kehilangan.
“Anda tidak boleh terus kata, mari kita kembali seperti biasa dan lakukan semua perkara seperti sebelumnya,” kata Cik Indranee.
“Perlahan-lahan, kesedihan itu akan berlalu. Dan yang tinggal ialah kasih sayang serta kenangan indah. Itulah tempat yang anda mahu berada.”
Bagi Jireh Ko, 34 tahun, ahli baharu dalam pasukan itu, musim ini membuka matanya.
“Ia juga membuat kami... lebih memahami diri sendiri, sebab banyak soalan yang kami tanyakan ada kaitan dengan hidup kami sendiri,” kata beliau.
Kesan emosi itu turut terasa apabila Cik Sim berkongsi rasa sunyi yang dialaminya akibat perceraian ibu bapanya sewaktu beliau masih lagi kecil.
“Untuk tempoh yang sangat lama, saya rasa keseorangan… kerana (kekurangan) kasih sayang dan hubungan emosi yang mendalam,” katanya.
Joel Lee, salah seorang peserta yang pernah bergelut mencari kawan di sekolah, berkata kepadanya: “Saya faham... dengan cerita anda. Ia memberi saya ketenangan, jadi terima kasih untuk itu.”
Musim ini juga menonjolkan kematangan para penemubual The Assembly, yang sudah mempertingkatkan kemahiran mereka sejak rancangan itu mula disiarkan pada Januari lalu. “Saya teruja sebab saya mahu menguji tahap keupayaan saya dalam menyoal,” kata Cik Fam.
Setelah belajar menguruskan kritikan penonton terhadap soalannya melalui bengkel musim ini, beliau menambah: “Ia membantu saya berkembang sebagai seorang wartawan.”
Dalam episod ketiga, beliau bertanya secara terus-terang kepada Encik Pritam mengapa beliau memilih untuk menyertai Parti Pekerja dan bukan Parti Tindakan Rakyat, hingga Encik Pritam menjawab: “Wah, itu soalan yang mendalam.”
“Menarik untuk lihat bagaimana orang melihat dunia — apa yang bermain di fikiran mereka ketika menanyakan soalan, dan bagaimana mereka mengungkapkannya,” kata Encik Pritam mengenai sesi tersebut. “Saya suka bentuk perbualan seperti itu.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.