Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DIAN dapat elak tanggapan ada diskriminasi - Dr Maliki

Konflik perkauman sering kali dikaitkan dengan masalah sosio-ekonomi dan wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang membentuk sebahagian besar sesebuah masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
DIAN dapat elak tanggapan ada diskriminasi - Dr Maliki

Dr Maliki mengulas tentang Projek DIAN dalam satu sidang bersama media.

SINGAPURA: Konflik perkauman sering kali dikaitkan dengan masalah sosio-ekonomi dan wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang membentuk sebahagian besar sesebuah masyarakat.

Dalam konteks seperti ini, sudah menjadi lumrah ada yang akan rasa terpinggir sehingga timbul tanggapan bahawa ada diskriminasi. Ini kemudian mencetuskan pelbagai masalah yang tidak diinginkan.

Senario seperti itulah yang mahu dielak di Singapura dan ini jugalah salah satu sebab mengapa Projek DIAN dilancarkan baru-baru ini, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

(Gambar: Facebook/Dr Maliki Osman)

(Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)

Beliau memberi komen tersebut dalam satu sidang media di mana para penjawat politik Melayu merumuskan kemajuan projek-projek kendalian M³ sepanjang tahun 2021.

Dr Maliki awal bulan ini melancarkan projek DIAN di mana keluarga-keluarga Melayu/Islam yang tinggal di rumah sewa ingin dibantu secara menyeluruh untuk mendapatkan rumah sendiri.

"Kadangkala bila ada elemen-elemen ketidaksamarataan yang ketara, mereka yang di 'bawah' mungkin berasa dipinggirkan dan timbul rasa kekosongan yang boleh diisi dengan idea-idea bahawa mereka didiskriminasi. Ini boleh membawa kepada natijah yang tidak kita inginkan," ujar Dr Maliki.

"DIAN sebenarnya adalah tentang kesungguhan kami menyepadukan aset-aset di dalam masyarakat, membolehkan golongan berpendapatan rendah merasakan mereka ada harapan untuk menjalani kehidupan lebih baik," tambahnya.

Banci Penduduk 2020 menunjukkan, bilangan keluarga Melayu yang menetap di flat sewa satu dan dua bilik meningkat dengan begitu ketara dalam tempoh 10 tahun - iaitu dari 9,100 pada 2010 kepada 18,600 pada 2020. 

Gambar fail sebuah blok flat rumah sewa.

Ditanya jika ada sebarang garis masa yang bakal ditetapkan untuk sesebuah keluarga mendapatkan rumah sendiri, Dr Maliki menjelaskan bahawa setiap kes adalah "unik".

"Ia bukan satu 'quick fix' (jalan keluar yang segera menyelesaikan sesuatu masalah). Kami tidak mahu menyatakan... dua tahun, anda akan dapat beli rumah. Kami tidak ingin mereka menaruh harapan untuk sesuatu yang tidak boleh segera dicapai. Kami ingin mereka melalui proses ini dan kami ingin dampingi dan membantu mereka," terangnya lagi.

Sebagai permulaan, keluarga-keluarga Melayu yang tinggal di Blok 38 di Bedok South Road, Blok 1 di Eunos Crescent dan Blok 19 di Upper Boon Keng Road akan dibantu dahulu.

Lebih 200 sukarelawan sudahpun tampil untuk sama-sama menjayakan projek perintis ini. Mereka semuanya akan menjalani latihan agar dapat menjadi sukarelawan peribadi kepada keluarga-keluarga yang ingin dibantu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan