Skip to main content

Singapura

Dialog silang agama perlu dipergiat demi perkukuh perpaduan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha dialog harus dipergiatkan, bahkan diperhalusi lagi demi mengukuhkan hubungan silang agama.

Hal ini menjadi semakin penting memandangkan realiti masyarakat Singapura yang rencam, yang tidak terlepas daripada tempias pelbagai ancaman luar, termasuk polarisasi yang berlaku dalam banyak masyarakat di luar negara.

Ini ditekankan Pengasas dan Pengarah Dialogue Centre, Mohamed Imran Mohamed Taib dalam pembentangannya di Dialog Meja Bulat Silang Agama, anjuran Taman Bacaan, pada Sabtu (22 Nov).
Related article image
Pengasas dan Pengarah Dialogue Centre, Mohamed Imran Mohamed Taib berkongsi pandangannya di Dialog Meja Bulat Silang Agama, pada Sabtu (22 Nov). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Sesi dialog meja bulat itu menghimpunkan sekitar 30 pemimpin berbilang agama untuk menegaskan pendirian yang jelas dan bersama dalam menolak sebarang bentuk eksklusivisme dan ekstremisme agama serta merendahkan agama lain.

Ia antara lain bermatlamat untuk memahami cabaran baharu yang dihadapi masyarakat dan memperkukuh pendirian bersama dalam memelihara kestabilan negara.

DIALOG USAHA PENTING PERKUKUH PERPADUAN SILANG AGAMA

Dalam arus globalisasi, khususnya dengan pengaruh media sosial, polarisasi semakin mudah berlaku hari ini. Keadaan ini turut menjadi konteks penting bagi penganjuran sesi perbincangan tersebut.

“Salah satu unsur polarisasi ialah apa yang saya sebut sebagai ‘psychological distancing’, iaitu apabila kita sudah berpihak dan tidak lagi bertanya sama ada sesuatu itu benar atau salah, fakta atau bukan. Sebaliknya, pendirian kita dibentuk berdasarkan identiti, kaum atau ideologi, dan ini boleh memecahbelahkan masyarakat," jelas Encik Imran kepada wartawan Syazwani Sanep.
Related article image
Pengasas dan Pengarah Dialogue Centre, Mohamed Imran Mohamed Taib ketika ditemui wartawan Syazwani Sanep. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Beliau menambah: “Kita harus mengatasinya dengan lebih banyak berdialog serta memperkukuh hubungan antara kaum dan antara agama, supaya kita tidak terpisah-pisah mengikut fahaman masing-masing."

Ini turut diakui oleh pemimpin-pemimpin lain, termasuk Pengasas hash.peace, Nazhath Faheema, serta Pengantara Bersekutu di Institut Pengantara Antarabangsa (iiM), Ustazah Liyana Rosli Asmara.

Cik Faheema menekankan bahawa usaha dialog bukan sekadar dijalankan dalam sesi formal seperti ini, tetapi merupakan “usaha setiap hari” — sama ada ketika bertegur sapa dengan jiran berlainan agama atau berinteraksi dalam komuniti masing-masing.
Related article image
Pengasas hash.peace, Nazhath Faheema berkongsi pandangannya di sesi dialog pada Sabtu itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peri pentingnya komitmen dalam meneruskan usaha dialog silang agama.
Related article image
Pengantara Bersekutu di Institut Pengantara Antarabangsa (iiM), Ustazah Liyana Rosli Asmara antara pemimpin yang akur dengan kepentingan wadah dialog dalam memperkukuh hubungan silang agama di sesi dialog pada Sabtu itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Menyedari masih tidak ramai yang tampil berdialog kerana tanggapan bahawa mereka perlu menjadi seorang pakar atau banyak berbicara, Ustazah Liyana mengetengahkan pendekatan “compassionate sensing” dalam memastikan usaha dialog dapat diteruskan.

“Kalau kita lihat dengan keperluan situasi sekarang dalam situasi kontemporari, mungkin kita boleh menyusulkan pendekatan 'lembut' yang mana dialog itu sebenarnya kisah yang kita luahkan tentang keyakinan diri kita dan juga apa yang menjadi kebimbangan diri kita,” jelas Ustazah Liyana.

TAMAN BACAAN MAHU PERGIAT USAHA DEKATI ANAK MUDA

Dalam pada itu, platform dialog tersebut diharap dapat menjadi wadah bukan sahaja untuk pemimpin silang agama, tetapi juga untuk para belia bertukar pandangan mengenai pendirian bersama dalam menghadapi cabaran masa kini.
Related article image
Presiden Taman Bacaan, Abdul Halim Kader (kiri) dan Pengerusi cawangan PAP di di daerah Eunos Jagathishwaran Rajo (kanan). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Presiden Taman Bacaan, Abdul Halim Kader, menegaskan kepentingan penganjuran dialog seperti ini oleh mana-mana persatuan demi memupuk persefahaman antara masyarakat.

"Perlu pentingnya pertemuan, dialog sedemikian rupa diadakan oleh mana-mana persatuan sekalipun ... Saya dapati pertemuan hari ini memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin dan para belia untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap isu-isu yang diketengahkan," jelas Encik Halim.
Related article image
Presiden Taman Bacaan, Abdul Halim Kader ketika ditemui wartawan Syazwani Sanep. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ditanya mengapa peranan belia amat penting dalam usaha memperkukuh perpaduan silang agama, Encik Halim berkata: "Anak-anak muda kita adalah satu generasi yang penting untuk membolehkan kita memberikan pemahaman dalam usaha menghormati masyarakat lain di Singapura."

Usaha mendampingi belia dalam dialog silang agama sedemikian juga dialu-alukan seorang peserta belia, Didi Amzar Harun.

Ini meskipun Encik Didi mengakui bahawa terdapat beberapa kekangan yang masih menghambat belia daripada tampil untuk turut serta.
Related article image
Didi Amzar Harun, seorang peserta belia di sesi dialog pada Sabtu itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ini meskipun Encik Didi mengakui bahawa terdapat beberapa kekangan yang masih menghambat belia daripada tampil untuk turut serta.

"Mereka (mungkin) takut untuk masuk dialog silang agama kerana mereka tidak yakin untuk bercakap tentang agama mereka. Jadi, itu satu halangan besar. Yang kedua adalah sebaliknya, belia yang sangat fokus terhadap agamanya dan mungkin tidak memahami keperluan untuk berdialog silang agama," kongsi belia berusia 27 tahun itu.

Namun, menurut Encik Didi, peranan belia dalam ruang sedemikian masih amatlah penting kerana "akan menambah kepelbagaian dalam perbualan".

"(Belia) sebenarnya adalah orang yang harus kita dampingi untuk memastikan perpaduan sosial stabil dan kuat di Singapura," tekannya.

Sejajar dengan itu, Encik Halim mengumumkan rancangan Taman Bacaan, untuk menganjurkan Kuiz Silang Agama Sekolah, khususnya bagi anak muda memupuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap tradisi dan budaya lain di Singapura.

Kuiz tersebut, yang menyasarkan pelajar peringkat sekolah menengah, bertujuan untuk menyemai sifat ingin tahu, penghormatan dan keterbukaan minda dalam kalangan generasi muda.

Inisiatif itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita