Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dialog Shangri-La serlahkan peranan penting S'pura dalam diplomasi antarabangsa, kata Ng Eng Hen

Penyertaan kukuh dalam Dialog Shangri-La tahun ini menyerlahkan lagi peranan Singapura dalam diplomasi antarabangsa bagi "memelihara dan menjaga keamanan", kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

Anggaran Waktu Membaca:
Dialog Shangri-La serlahkan peranan penting S'pura dalam diplomasi antarabangsa, kata Ng Eng Hen

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di Dialog Shangri-La pada 12 Jun 2022. (Gambar: Twitter/IISS News)

SINGAPURA: Penyertaan kukuh dalam Dialog Shangri-La tahun ini menyerlahkan lagi peranan Singapura dalam diplomasi antarabangsa bagi "memelihara dan menjaga keamanan", kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Isnin (4 Jul).

Sidang keselamatan itu meningkatkan peranan Singapura dalam menyediakan "tempat persidangan terbuka dan inklusif" bagi negara-negara dunia menghuraikan perbezaan mereka, kata Dr Ng.

Dr Ng berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Sylvia Lim (WP-Aljunied) tentang pengajaran penting dari Dialog Shangri-La.

Sebanyak 42 negara diwakili di sidang tersebut, yang diadakan di sini dari 10 hingga 12 Jun.

Dalam jawapan bertulisnya pula, Dr Ng menarik perhatian bahawa Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan Menteri Pertahanan China Wei Fenghe memilih untuk bersemuka buat pertama kali di Singapura.

Jeneral Wei juga bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri baru Australia merangkap Menteri Pertahanan Richard Marles di Dialog Shangri-La, iaitu pertemuan kali pertama antara menteri-menteri pertahanan Australia dan China dalam masa hampir tiga tahun.

Meskipun "tidak realistik" untuk menjangkakan persidangan seperti Dialog Shangri-La akan menghuraikan isu-isu keselamatan yang "lama dan berakar umbi", Dr Ng berkata sidang itu menyediakan "platform terbuka, berkecuali dan tetap" untuk negara-negara berbincang.

Menurut Dr Ng, sidang itu membincangkan pelbagai "soalan sukar", dari hubungan AS-China hingga ke usaha untuk memodenkan Pangkalan Tentera Laut Ream Kemboja dan perubahan iklim.

Banyak negara, termasuk Singapura, mengambil peluang untuk mengadakan persidangan dua hala dan berbilang peringkat di luar Dialog Shangri-La, dedah Dr Ng.

Menteri-menteri pertahanan yang baru dilantik dari Australia, Brunei, Perancis dan Korea Selatan juga mendapati sidang tahun ini adalah "peluang berguna untuk mengadakan pendampingan secara bertemu muka buat kali pertama", kata Dr Ng.

Dialog Shangri-La membolehkan negara-negara "mengesahkan nilai-nilai bersama dan prinsip-prinsip yang saling memberi manfaat yang menggalak kestabilan bagi rantau kita dan lebih dari itu", kata beliau.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida adalah speaker ucaptama di Dialog Shangri-La. Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pula menyampaikan ucapannya secara maya pada hari kedua sidang itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan