Skip to main content

Singapura

Dialog Shangri-La akan diadakan awal Jun, menurut penganjur

Pihak penganjur Dialog Shangri-La pada Isnin (17 Mei) menyatakan "ia masih menepati sasaran" untuk mengadakan sidang puncak pertahanan itu secara fizikal di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dialog Shangri-La akan diadakan awal Jun, menurut penganjur

Delegasi menghadiri Mesyuarat Wakil Pemerintah Dialog Shangri-La di Singapura pada 18 Jan 2021. (Gambar: Facebook/Ng Eng Hen)

Diterbitkan : 18 May 2021 10:08AM Dikemas Kini : 18 May 2021 10:16AM

SINGAPURA: Pihak penganjur Dialog Shangri-La pada Isnin (17 Mei) menyatakan "ia masih menepati sasaran" untuk mengadakan sidang puncak pertahanan itu secara fizikal di Singapura.

Sesi dialog itu menerima para delegasi dari puluhan negara setiap tahun dan ia dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Jun tahun ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik (IISS) itu dibuat menyusuli pembatalan Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Singapura, sekitar tiga bulan sebelum ia dijadual berlangsung pada bulan Ogos.

Dalam kenyataannya, IISS menyatakan: "Keputusan Forum Ekonomi Dunia itu tidak menjejas perancangan kami dan para pemimpin kanan lain dari merata dunia yang merancang untuk menghadiri acara itu.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan dalam pemerintah Singapura untuk memperkukuh langkah-langkah keselamatan yang sudah diperketat dan membuat penyesuaian yang diperlukan untuk melindungi para hadirin dan juga masyarakat setempat."

Sejak pelancarannya pada 2002, acara itu diadakan setiap tahun kecuali tahun lalu apabila ia dibatalkan disebabkan sekatan perjalanan dek pandemik COVID-19.

Mengulas tentang rancang IISS untuk meneruskan Dialog Shangri-La itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan pada Isnin bahawa ia "terangsang" dengan respons-respons positif terhadap undangan untuk menghadiri dialog tersebut.

Ini "menggariskan komitmen teguh para pemimpin pemerintah dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19", menurut MINDEF semasa menjawab pertanyaan media.

"Sekalipun demikian, oleh kerana keadaan COVID-19 ini berlarutan dan kian berubah-ubah menjelang dialog itu, Pemerintah Singapura akan terus memantau keadaan COVID-19 di dalam negara dan global dan membuat penyesuaian yang diperlukan. Dalam melakukan demikian, kesihatan dan keselamatan semua orang akan menjadi keutamaan."

Minggu lalu IISS menyatakan ia kekal komited untuk menganjurkan acara tahun ini secara fizikal, sambil menambah ia akan memantau rapi keadaan tempatan dan global.

Jumlah kes dalam kalangan masyarakat di Singapura meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Pada Isnin (17 Mei), Singapura melaporkan 21 kes baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat, termasuk 11 yang tidak terkait dengan mana-mana kes sebelum ini.

Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat naik kepada 149 kes pada minggu lalu berbanding 32 pada minggu sebelumnya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semalam (17 Mei).

Jumlah kes yang tidak terkait kes-kes sebelum ini juga naik, kepada 42 minggu lalu berbandig tujuh kes pada minggu sebelumnya.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita