Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dialog Pasca NDR: Kos sara hidup, sokongan untuk golongan pertengahan disuarakan

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman menggalak masyarakat Melayu/Islam untuk pertingkatkan kemahiran mereka sebagai salah satu cara untuk menangani kenaikan kos sara hidup.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman menggalak masyarakat Melayu/Islam untuk pertingkatkan kemahiran mereka sebagai salah satu cara untuk menangani kenaikan kos sara hidup.

Mereka digesa merebut peluang yang ditawarkan menerusi pelbagai program dan skim yang disediakan pemerintah daripada segi pendidikan hinggalah pekerjaan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap keprihatinan yang disuarakan para peserta sesi Dialog Pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada Jumaat (8 Sep).

Sesi pertama anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada masyarakat tentang isu-isu di peringkat nasional dan yang berkaitan dengan masyarakat Melayu/Islam.

(Gambar: PA MESRA)

Dialog selama satu setengah jam itu disertai kira-kira 80 peserta yang terdiri daripada para pemimpin belia rancak bertukar-tukar pendapat bersama para panelis daripada pemimpin masyarakat.

Turut hadir adalah Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim dan AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat.

Dr Maliki berkata beliau sangat mengalu-alukan pandangan golongan belia, yang menurut beliau, dapat menawarkan perspektif yang berbeza-beza.

Antara isu utama yang dibangkitkan para peserta adalah tentang kenaikan kos sara hidup.

Ramai yang khuatir keadaan akan bertambah sukar bagi mereka untuk menyara keperluan sendiri dan ibu bapa mereka yang semakin menua.

Menurut Dr Maliki, beliau akur dan memahami keprihatinan tersebut dan memastikan pemerintah akan membantu mereka.

"Kita sebagai pemerintah telahpun cuba sedaya upaya untuk menarik para pelabur ke mari supaya lebih banyak pekerjaan dapat diwujudkan di sini. Kedua ialah kita mengadakan sistem di mana para belia kita boleh meningkatkan kemahiran mereka supaya potensi mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik begitu lebih menyerlah," kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua Pendidikan.

Beliau menambah: "Walaupun kos semakin tinggi tetapi jika pendapatan mereka dapat ditingkatkan, mereka mungkin merasa bahawa kos itu dapat memadai, ditangani. Dan ini salah satu aspek penting bagi anak muda kita. Bahawa kita telah membuat suatu sistem di mana kita menggalakkan mereka untuk terus meningkatkan kemahiran mereka, meningkatkan kebolehan mereka dan sistem hari ini menunjukkan jika mereka bekerja keras, seperti yang dikatakan Perdana Menteri, jika mereka bekerja keras, mereka bersedia untuk terus bekerja, terus menggunakan kemahiran mereka, pekerjaan akan tetap ada dan pendapatan akan dipertingkatkan."

SOKONGAN UNTUK GOLONGAN PERTENGAHAN

Beberapa peserta pula mengharapkan lebih banyak sokongan pemerintah untuk golongan pertengahan.

Antaranya termasuk Cik Nana Syafiqa Robani yang sudah berkeluarga.

"Saya ada tiga anak kecil kan jadi sara hidupan, kos tinggi untuk mendidik anak, membesarkan mereka, beli susu, makanan, lampin terutama sekali semua ini semakin bertambah mahal. Tapi gaji kita tidak berubah disebabkan inflasi," kata beliau.

"Saya rasa ini adalah isu-isu yang bukan baru tapi menunjukkan anak muda kita begitu matang dalam mereka menyuarakan keprihatinan mereka dan menunjukkan bahawa mereka ingin bekerjasama dengan pemerintah untuk mencari huraian kepada isu-isu yang mereka menghadapi," kata Dr Maliki.

Para peserta rata-rata selesa menyuarakan pandangan mereka dan berpuas hati dengan penjelasan para panelis.

"Perbincangan tadi membantu belia untuk lebih faham, untuk lebih mendalami kerana apa impak dalam kos sara hidup, inflasi dan apa yang pemerintah telah sediakan seperti kredit SkillsFuture yang mereka akan beri kepada kami. Baucar GST contohnya. Kalau ada Pakej Jaminan apabila mereka menaikkan GST daripada 8 peratus hingga 9 peratus, keluarga berpendapatan rendah dapat baucar," kata Cik Nana, seorang anggota M³@Tampines.

Para peserta turut mendapat pencerahan tentang perubahan-perubahan berkaitan perumahan seperti klasifikasi untuk flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) HDB.

Seperti Encik Iskandar Zulkarnain Ibrahim yang berharap dapat memanfaatkan skim itu apabila sampai masanya.

"Skim-skim yang terbabit dengan perumahan terutama sekali yang pasal Prime and Standard. Untuk saya, saya rasa skim-skim ini beri saya banyak keyakinan tentang sokongan daripada pemerintah untuk masa hadapan bila saya buat keputusan itu akan beri saya banyak manfaat. Tetapi saya juga rasa saya harus ambil tahu dengan lebih teliti tentang perkara-perkata sebegini" kata Encik Iskandar, seorang anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Eunos.

MAKLUM BALAS AKAN BANTU TINGKATKAN PROGRAM-PROGRAM SEDIA ADA

Selain berdialog, para peserta juga berpeluang untuk membincangkan dalam kumpulan masing-masing tentang soalan-soalan berkaitan pengumuman daripada NDR tahun ini.

Menurut Dr Maliki, maklum balas dan saranan-saranan yang dikumpulkan akan disalurkan untuk mempertingkatkan program-program M³.

(Gambar: PA MESRA)

"Kita tahu bahawa ramai daripada mereka ingin menyumbang kepada masyarakat. Jadi kita mahu memastikan bahawa kita meraih tenaga ataupun keinginan mereka untuk terus membantu masyarakat. Dan ramai yang memberi cadangan-cadangan bagaimana kita harus terus membantu golongan muda misalannya untuk memastikan bahawa mereka bukan sahaja dibantu untuk mendidik anak-anak mereka tetapi dibantu untuk memahami situasi atau ekosistem keadaan sekarang dan masa depan.

"Kedua ialah kita akan cuba terus memberikan maklum balas kepada pihak pemerintah supaya mereka faham bahawa anak muda masih prihatin tentang isu kos sara hidup lebih-lebih lagi isu perumahan dan sebagainya," tambah Dr Maliki.

Sebuah lagi sesi dialog bersama para pemimpin masyarakat lain pula akan diadakan pada Selasa, 26 September.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan