Skip to main content

Singapura

Dialog Pasca NDR: Kesihatan perlu jadi keprihatinan utama masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesihatan perlu menjadi keprihatinan utama masyarakat Melayu/Islam kerana ia akan meninggalkan kesan kepada masyarakat secara keseluruhan.

Demikian ditekankan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar berhubung isu penuaan yang dibangkitkan para peserta dalam sesi Dialog Pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) bersama par pemimpin masyarakat pada Selasa (26 Sep).

Dialog yang berlangsung selama satu setengah jam
memberi pencerahan kepada soalan-soalan para peserta berkaitan isu-isu seperti SG Lebih Sihat dan masalah kesihatan yang semakin mencengkam penduduk Melayu/Islam.

Menurut Cik Maryam, jumlah penduduk yang semakin menua di Singapura menjadi antara keprihatinan utama pemerintah dan untuk mencari huraian, pemerintah sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya 'Pakej Majulah' yang diumumkan dalam NDR bulan lalu serta SG Lebih Sihat.

"Kami tahu kami dalam populasi yang semakin menua. Banyak soalan yang dikemukakan adalah tentang SG Lebih Sihat atau penjagaan paliatif untuk warga emas. Saya rasa ini harus menjadi keutamaan bagi masyarakat dan juga pemerintah," kata Cik Mariam Jaafar.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
ISU PENYAKIT KRONIK, PENUAAN AKTIF, PERSARAAN DIBANGKITKAN

Para pemimpin masyarakat yang hadir juga dapat menyampaikan maklum balas atau mengajukan soalan secara langsung kepada para anggota parlimen yang hadir.

"Dialog-dialog seperti ini sangat penting kerana banyak faedahnya. Kami mendengar soalan-soalan mereka dan mereka memberi pendapat dan cadangan. Kami kemudian boleh menyuarakan hal ini ke agensi-agensi tertentu. Saya rasa ini tanggungjawab kita untuk mengongsi maklumat dan apa yang dibincangkan di sini," ujar Cik Mariam Jaafar.

Dalam pada itu, beliau turut berkata dialog itu menjadi pelantar bagi anggota parlimen untuk berkongsi usaha-usaha mereka mendampingi masyarakat untuk memupuk gaya hidup sihat supaya dijadikan iktibar dan antara usaha yang boleh dijalankan para pemimpin masyarakat yang hadir.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Kita juga boleh mendengar apa yang dilakukan di divisyen-divisyen masing-masing dan ada yang sudah kami lakukan di M3@Woodlands iaitu menubuhkan kelab kesihatan.

"Ada lima aktiviti untuk masyarakat Muslimah dan Muslimin untuk sama-sama melibatkan diri dalam olahraga kerana ia sangat penting untuk memupuk budaya kesihatan,"ujar Cik Mariam Jaafar.

Beberapa peserta turut menarik perhatian kepada keprihatinan berkaitan isu penuaan dan kesihatan di dalam kalangan masyarakat.

"Memandangkan keadaan sekarang yang tidak menentu lagi-lagi tentang masalah kesihatan di mana terdapat banyak yang menua seperti saya. Apa yang dapat kita lakukan adalah pencegahan ataupun menghindari daripada mendapat penyakit-penyakit yang tidak bagus," kata Anggota Bintang Bakti Masyarakat (L), Kg Chai Chee, Zulkefle Abdul Rahman.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Guru-guru Melayu Singapura (KGMS), Nur Syairah Abdul Malek menyokong usaha pemerintah untuk menyeru penduduk kekal aktif dan sihat.

"Saya sendiri sedang dalam proses untuk menurunkan berat badan sejak dua tahun yang lalu dan saya amat menyokong inisiatif ini kerana saya rasa inisiatif ini dapat menggalakkan warga Singapura untuk lagi konsisten dalam pemeriksaan kesihatan supaya mereka dapat mengesan simptom awal penyakit dan mendapatkan rawatan awal," kata Cik Nur Syairah.
Selain itu, para peserta juga menyuarakan peruntukan untuk mengerjakan ibadah haji bagi warga emas dan supaya diberikan keutamaan dahulu kepada mereka yang sudah lanjut usia.

SESI KEDUA DIALOG PASCA NDR

Ini merupakan sesi kedua dialog anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) dan M3 dengan sesi pertama berlangsung minggu lepas (9 Sep).
Sesi kedua ini melibatkan lebih 130 peserta yang terdiri daripada para pemimpin dalam masyarakat Melayu/Islam.

Para anggota panel sesi dialog itu terdiri daripada Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar.

Sebelum sesi dialog bermula, sebuah sesi perbincangan meja bundar diadakan dahulu selama kira-kira sepuluh minit. Di sini, para peserta dapat membincangkan dalam kumpulan kecil tentang soalan yang ingin diajukan berhubung pengumuman NDR semasa sesi dialog.

Mereka juga berpeluang untuk membina rangkaian kerja dengan para peserta yang hadir pada acara tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita