Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dialog pasca NDR: Harga flat HDB dan pencerahan tentang subsidi antara yang dibincangkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim memberi jaminan bahawa pemerintah akan terus menyokong warga Singapura daripada semua tahap pendapatan dengan aspirasi pemilikan rumah mereka.

Antaranya termasuk geran yang diperingkatkan secara progresif untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada keluarga berpendapatan lebih rendah dari masa ke masa untuk memastikan sokongan yang mencukupi diberikan.

Beliau berkata demikian di satu dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2023.

Dialog anjuran Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Persatuan Rakyat itu dikhususkan bagi masyarakat Melayu/Islam dan antara lain bertujuan untuk memberikan pencerahan lanjut tentang isu perumahan awam yang disentuh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan NDR beliau.

Sesi di Wisma Geylang Serai itu turut disertai Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Selama dua sejam, lebih 90 relawan akar umbi dan rakan sokong masyarakat membincangkan isu-isu berkaitan perumahan awam di Singapura.

Ada peserta yang meluahkan keprihatinan dan kebimbangan mereka mengenai harga HDB yang kian meningkat saban tahun.

Mereka risau seandainya generasi akan datang, termasuk anak-anak mereka tidak mampu memiliki rumah kelak nanti.

Selain itu, mereka turut meminta penjelasan lanjut mengenai perbezaan antara subsidi dengan geran yang disediakan.

Lain-lain soalan berhubung golongan bujang yang memilki flat sendiri dan sama ada mereka perlu menjual rumah apabila mereka berumahtangga serta sama ada golongan bujang boleh membeli flat BTO yang lebih besar daripada flat BTO dua bilik fleksi.

KLASIFIKASI FLAT BTO BAHARU

Dr Faishal berkata bermula separuh kedua 2024, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menggugurkan klasifikasi matang dan belum matang untuk projek Bina Ikut Tempahan (BTO).

Projek-projek BTO akan diklasifikasikan sebagai Standard, Plus atau Prime, dengan lebih banyak pilihan lokasi disediakan.

HDB, jelas beliau, akan terus membina flat baharu di estet-estet belum matang dan akan membina lebih banyak flat di dalam dan berhampiran estet sedia ada yang dekat dengan pusat bandar, dengan lebih banyak ciri-ciri yang menarik.

Ini satu berita baik buat bakal pemilik rumah dan keluarga muda, yang ingin tinggal dekat dengan ibu bapa mereka atau sesiapa yang ingin tinggal dekat dengan pusat bandar hampir dengan bandar atau berhampiran kemudahan pengangkutan.

"Bagi memastikan kemampuan, HDB menilai nilai pasaran setiap flat dan mengenakan diskaun pasaran yang banyak Namun, jika kami ingin terus mengekalkan subsidi secara meluas yang sama di seluruh kawasan pada setiap pelancaran, maka flat-flat di lokasi yang premium dan lebih popular akan diberikan harga lebih tinggi berbanding flat-flat lain.

"Sesetengah warga Singapura akan mendapati harga ini kurang mampu miliki. Namun, golongan yang mampu dan berjaya mendapatkan flat-flat popular ini akan mendapat keuntungan durian runtuh apabila mereka menjual flat ini dalam pasaran penjualan semula. Ini tidak bersifat terangkum mahupun adil," kata Dr Faishal.

Justeru, perubahan ketara pada cara HDB klasifikasi dan menjual flat baharu diperlukan.

Dr Faishal berkata: "Rangka kerja baharu ini membolehkan kami menetapkan harga yang lebih dimampui bagi flat Prime dan Plus yang baharu, sambil memastikan harga penjualan semula berada dalam jangkauan warga Singapura yang lebih meluas.

"Ini akan memastikan lebih banyak campuran masyarakat dan mengurangkan risiko susun lapis masyarakat berdasarkan tempat anda menetap. Ini sistem yang lebih adil."

Dalam pada itu, katanya ia akan mengurangkan tingkah laku spekulatif, memperlahankan kadar peningkatan harga flat HDB dan memastikan flat ini mampu milik buat warga Singapura dengan lingkungan pendapatan yang lebih meluas.

KLASIFIKASI PERUMAHAN BARU DILUASKAN KEPADA GOLONGAN BUJANG

Dr Faishal turut menekankan bahawa golongan bujang juga tidak dilupakan.

Malah, pemerintah sentiasa mengimbangi aspek-aspek perumahan bagi mereka supaya mereka mendapatkan pilihan yang lebih luas dan flat yang dimampui.

"Dari tahun 2013, golongan bujang dapat membeli flat 2-bilik yang baharu di estet belum matang. Tahun lepas, kami juga meningkatkan kuota peruntukan dan subsidi untuk golongan bujang. Dengan rangka kerja pengelasan yang baharu ini, golongan bujang akan dapat membeli flat 2-bilik yang baharu di semua lokasi serta jenis flat yang berbeza daripada pasaran penjualan semula. Ini berita baik buat kebanyakan orang bujang," ujar Dr Faishal.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi tentang program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (EASE) yang akan ditingkatkan ke (EASE 2.0).

Menurutnya, lebih banyak estet HDB akan menjadi lebih mesra warga emas.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan