Skip to main content

Singapura

Dialog Menteri Pertahanan India-S'pura ke-4 perkukuh keselamatan Indo-Pasifik

Latihan maritim bersama antara Singapura, India dengan Thailand di Laut Andaman pada bulan lalu kini menjadi latihan tahunan. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Nov 2019 07:00PM Dikemas Kini : 20 Nov 2019 09:10PM

SINGAPURA: Latihan maritim bersama antara Singapura, India dengan Thailand di Laut Andaman pada bulan lalu kini menjadi latihan tahunan.

Langkah tersebut merupakan salah satu komitmen Singapura dengan India untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan di rantau ini dan sebahagian perbincangan dalam Dialog Menteri Pertahanan India-Singapura yang keempat di Singapura, siang tadi (20 Nov).

Ia dipengerusikan bersama Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dan rakan sejawatannya dari India, Rajnath Singh.

Latihan maritim lima hari yang pertama kali dijalankan antara tentera laut Singapura, India dengan Thailand di Laut Andaman itu melibatkan lima kapal serta lebih 500 kakitangan.

Ini termasuk latihan pengemudian dan menembak.

Laut Andaman terletak di timur Lautan Hindi, dikelilingi India serta beberapa negara Asia Tenggara termasuk Thailand. Ia melunjur ke bahagian tenggara di mana terletaknya Selat Melaka.

Laut Andaman secara tradisi digunakan bagi tujuan perikanan dan pengangkutan tetapi kini menyaksikan banyak kapal komersil yang melaluinya.

"Latihan tiga pihak ini bersama tiga negara, India, Singapura dan Thailand untuk memastikan keselamatan bagi laluan perkapalan adalah satu isyarat penting," ujar Dr Ng.

"Ia memberi keyakinan kepada para anggoa tentera kita semasa melaksanakan tugas serta masyarakat perkapalan antarabangsa dan negara-negara lain yang menggunakan laluan ini," tambahnya.

Dua surat, dengan niat untuk bekerjasama juga, ditandatangani dalam dialog dengan India tersebut.

Satu bagi Singapura menguji senjatanya di kemudahan menguji peluru berpandu Chandipur, India.

Yang kedua adalah untuk meneroka kerjasama yang lebih mendalam bagi kerjasama bantuan kemanusiaan dan bencana antara kedua-dua buah negara.

Kedua-dua orang menteri juga memuji kemajuan yang dicapai dalam kerjasams teknologi pertahanan dan bersetuju untuk meneroka lebih banyak kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdikan buatan (AI) serta keselamatan siber.

Ini merupakan lawatan Encik Singh yang pertama ke Singapura selaku Menteri Pertahanan India.

Beliau juga bertemu Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semalam di mana beliau berkata mereka bersetuju untuk membawa kerjasama dua hala antara Singapura dengan India ke peringkat lebih tinggi. 

Sumber : CNA/NF/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita