Skip to main content

Singapura

Dialog M³@Marsiling-Yew Tee kupas sebab warga tidak harus ragu divaksin

Mengatasi salah maklumat dan maklumat tidak betul, mengenai keselamatan vaksin COVID-19 masih menjadi isu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Dialog M³@Marsiling-Yew Tee kupas sebab warga tidak harus ragu divaksin

Barisan panelis terdiri daripada Menteri Negara Kanan, Zaqy Mohamad, Dr Elly Sabrina, dan Ustaz Haron Hassan Akhtar bagi sesi dialog mengenai vaksinasi COVID-19 anjuran M³@Marsiling-Yew Tee.

SINGAPURA: Mengatasi salah maklumat dan maklumat tidak betul, mengenai keselamatan vaksin COVID-19 masih menjadi isu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

Maka itu, penerangan yang jelas tentang vaksin koronavirus menjadi antara tumpuan utama sesi dialog anjuran M³@Marsiling-Yew Tee yang diadakan malam semalam (8 April).

Ini memandangkan ramai yang masih sangsi ekoran sebaran maklumat tidak tepat tentang risiko vaksin COVID-19, khususnya bagi warga emas.

Lantas, barisan panelis yang terdiri daripada Menteri Negara Kanan, Zaqy Mohamad, Dr Elly Sabrina, dan Ustaz Haron Hassan Akhtar, menekankan pentingnya anggota keluarga, teman dan masyarakat juga membantu mendapatkan maklumat sahih dan benar mengenai vaksin untuk meyakinkan orang di sekeliling supaya mendapatkan suntikan vaksin.

Ini terutamanya bagi warga emas yang paling mudah menderita akibat COVID-19.

"Saya rasa untuk warga emas, mereka perlukan motivasi dan keyakinanan daripada kaum keluarga, kawan-kawan mereka dan ahli masyarakat kerana mungkin mereka tidak begitu fasih mendapatkan maklumat dari media," kata Dr Elly Sabrina Ismail, Pengarah Klinik Banyan.

Sesi dialog mengenai vaksinasi COVID-19, "Awak Dah ke Belum" ini disertai sekitar 1,000 penduduk Melayu/Islam dari kawasan GRC Marsiling-Yew Tee dan diadakan secara hibrid.

45 daripadanya menghadiri sesi secara fisikal di Dewan Kelab Masyarakat Fuchun, manakala 950 mengikutinya menerusi Facebook.

YAKINKAN MASYARAKAT DAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN

Encik Zaqy, yang juga Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, berkata beliau berharap masyarakat Melayu/Islam akan lebih yakin untuk mendapatkan vaksinasi melalui sesi dialog ini.

Ini khususnya bagi mereka mendapatkan penjelasan daripada pakar-pakar perubatan dan agama terhadap sebarang kemusykilan.

"Kami ingin meyakinkan masyarakat Melayu kita supaya menjalankan vaksinasi oleh kerana program ini amat penting bagi memastikan Singapura dapat terus kekal selamat dan sejahtera, kata Encik Zaqy.

Sememangnya, ini bukan kali terakhir sesi dialog sebegini akan diadakan.

"Bagi GRC Marsiling-Yew Tee, kami mempunyai tiga lagi dialog yang akan dijalankan," kata Encik Zaqy.

Sesi dialog sebegini juga akan diteruskan di merata Singapura terutama sekali bagi masyarakat Melayu/Islam, menurutnya lagi.

Meski sesi dialog ini mendapat sambutan menggalakkan, M³@Marsiling-Yew Tee akan terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat agar mereka lebih yakin mengenai program vaksinasi negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita