Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19, bagaimana anda boleh main peranan ringankan tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan kes COVID-19 melonjak melebihi 26,000 pada Selasa (22 Feb), Kementerian Kesihatan (MOH) menyeru orang ramai supaya bekerjasama membantu pekerja jagaan kesihatan yang berada di bawah tekanan yang sangat teruk untuk menangani beban kes yang semakin meningkat.

Jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital meningkat empat kali ganda dalam masa kurang sebulan. Setakat tengah hari Rabu (23 Feb), terdapat 1,587 orang dimasukkan ke hospital. Sebulan yang lalu, jumlahnya ialah 401.

Hospital, poliklinik dan doktor penjagaan asas (GP) "sangat sibuk", menurut Kementerian Kesihatan, sambil menambah bahawa gelombang penularan baru COVID-19 mungkin capai kemuncaknya dan kembali reda dalam beberapa minggu lagi.

Meskipun jumlah pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan rawatan rapi  tidak tinggi, terdapat lonjakan bagi permintaan bagi katil hospital.

MOH sedang meningkatkan kapasiti hospital dan menempatkan pesakit dalam Kemudahan Rawatan COVID-19 (CTF) sebanyak mungkin, sambil berkongsi beban itu dengan hospital swasta.

Tenaga kerja penjagaan kesihatan pula dibantu oleh pasukan SG Healthcare Corps dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), serta protokol dikemas kini supaya lebih ramai orang boleh pulih di rumah.

Pun begitu, masih ramai pesakit tanpa atau gejala ringan yang pergi ke hospital, poliklinik dan klinik GP. Ini menambah "beban yang ketara" kepada penyedia jagaan kesihatan yang sudah pun di bawah "tekanan yang sangat teruk", menurut MOH.

Pihak berkuasa menggariskan beberapa cara di mana orang ramai boleh membantu meringankan beban sistem penjagaan kesihatan. 

Berikut adalah beberapa cadangan utama mereka:

SOALAN: Jika saya diuji positif COVID-19, apakah yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN: Mereka yang positif COVID-19 menerusi ujian pantas antigen (ART) kendiri harus berjumpa doktor jika mereka berasa tidak sihat. Tidak perlu tergesa-gesa ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) hospital untuk menjalani ujian.

Pergi ke klinik dengan menaiki  pengangkutan privet atau minta perundingan teleperubatan. Doktor akan menasihatkan langkah seterusnya.

Bagi individu berisiko rendah dengan gejala ringan, seperti demam, batuk atau sakit tekak, doktor akan mengarahkan ujian ART menerusi konsultasi video bersama penyedia penjagaan kesihatan swasta.

Hasil ujian itu akan dihantar kepada pengguna menerusi SMS atau e-emel dalam masa empat jam.

Berikan butiran anda dan daftar ahli isi rumah anda sebagai kenalan rapat. Mereka akan menerima Notis Risiko Kesihatan (HRW).

Jika keadaan anda dinilai sebagai  ringan, anda harus tidak pergi bekerja dan batalkan aktiviti sosial anda.

Anda perlu mengasingkan diri di rumah selama 72 jam dan ambil ART selepas itu. Jika anda negatif dan rasa sihat, anda boleh meneruskan aktiviti seperti biasa dan tidak perlu mengasingkan diri, kata Kementerian Kesihatan.

Namun, jika anda positif, anda harus terus mengasingkan diri dan berehat. Bagi mereka yang sudah lengkap divaksin, mereka boleh berhenti mengasingkan diri pada Hari ke-7, bermula dari tengah hari dan seterusnya.

Mereka yang belum lengkap divaksin atau belum  divaksinasi dan berumur 12 tahun dan ke atas hanya boleh berhenti mengasingkan diri pada Hari ke-14, selepas tengah hari. 

SOALAN: Perlukah saya ke klinik atau hospital?

JAWAPAN: MOH menggalakkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa ke A&E melainkan jika mengalami kecemasan.

Mereka yang pergi ke A&E dengan keadaan bukan kecemasan, termasuk kanak-kanak, mungkin diarahkan ke klinik penjagaan mendesak atau klinik penjagaan asas yang lain.

Jika anda memerlukan rawatan perubatan, anda harus berjumpa doktor jagaan asas terlebih dahulu. Beberapa Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) di merata Singapura akan melanjutkan waktu operasinya mulai Jumaat ini hingga 10 Mac.

PHPC tertentu akan beroperasi sehingga 11.00 malam pada hari biasa, manakala pada hujung hujung, waktu operasinya ialah dari 2.00 petang hingga 5.00 petang dan sehingga 11.00 malam.

Mulai Sabtu (26 Feb), pusat ujian gabungan akan menyediakan perundingan teleperubatan bagi orang awam yang mengalami gejala, dan datang untuk menjalani ujian pada hujung minggu.

Doktor juga dapat memberikan perundingan empat mata melalui persidangan video dan memberi  preskripsi serta menghantar ubat kepada anda. Kos ujian dan perundingan akan dibiayai Pemerintah dalam tempoh ini, menurut MOH.

SOALAN: Adakah saya perlu MC? Bagaimana jika saya perlu rekod rasmi?

JAWAPAN: Jika anda diuji positif COVID-19 dan memerlukan rekod rasmi atas pelbagai sebab, anda boleh menempah temu janji di sebarang pusat ujian gabungan atau pusat ujian pantas untuk melakukan ART kendiri yang diselia.

Ia akan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah dari 16 Februari hingga 15 Mac.

Keputusan ART akan dihantar kepada anda melalui SMS dan ia akan dikemas kini oleh MOH dan ditunjukkan dalam rekod HealthHub anda dalam masa 30 minit. Pusat ujian tersebut tidak akan mengeluarkan memo pemulihan atau MC.

Memo dan MC ini tidak diperlukan jika seseorang itu ingin kembali bekerja atau bersekolah, menurut MOH.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada Selasa bahawa GP dan jabatan A&E melaporkan "sebilangan besar" pesakit yang berjumpa mereka kerana mempunyai gelaja ringan atau tiada gejala. Doktor juga berkongsi bahawa pesakit datang semata-mata untuk mendapatkan MC.

“Ini tidak perlu dan menimbulkan risiko, menjejaskan piawai penjagaan untuk pesakit lain yang benar-benar memerlukan rawatan perubatan," kata Dr Tan.

"Kakitangan HR dan majikan tidak seharusnya meminta MC daripada pekerja yang diuji positif COVID.

"Mereka harus membiasakan diri dengan protokol kesihatan COVID-19, dan memberi kelonggaran kepada pekerja untuk tidak kembali ke tempat kerja semasa tempoh yang diperlukan.

"Mereka juga seharusnya tidak memerlukan memo pemulihan atau penilaian perubatan daripada doktor sebelum membenarkan pekerja kembali ke tempat kerja selepas tempoh pengasingan yang diperlukan."

Kes COVID-19 dengan gejala ringan boleh mendapatkan pengesahan status positif selepas ujian ART yang diselia di pusat ujian.

SOALAN: Jika saya menerima HRW, apakah yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN: Mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes COVID-19 akan diberi HRW daripada MOH menerusi SMS.

Anda dikenal pasti sebagai kenalan rapat berdasarkan rekod TraceTogether atau jika anda sebahagian anggota isi rumah kes positif COVID-19.

Anda harus mengambil ART dalam masa 24 jam selepas menerima SMS. Jika ujian anda negatif, anda boleh meneruskan aktiviti harian anda.

Untuk tempoh tiga hari berikutnya, anda perlu melakukan ART kendiri setiap hari  sebelum meninggalkan rumah anda. 

Jika anda negatif, anda boleh meneruskan aktiviti biasa anda. Jika anda positif dengan gejala ringan atau tiada gejala, anda harus duduk di rumah dan pulih.

Jika ujian anda sentiasa negatif melalui ART kendiri, lakukan ART yang terakhir pada hari ke-5 sebelum meneruskan aktiviti biasa anda.

SOALAN: Jika saya mengalami gejala tetapi hasil ujian ART negatif, apakah yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN: Anda boleh meninggalkan rumah dan berhenti mengasingkan diri jika ujian ART anda negatif selepas 72 jam.

Bagaimanapun, jika gejala anda semakin teruk atau tidak bertambah baik, pergi jumpa doktor yang anda jumpa pada awalnya untuk mendapatkan rawatan perubatan lanjut, walaupun ujian ART anda negatif.

Sekiranya anda tidak sihat, anda harus kurangkan interaksi sosial.

Sumber : CNA/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan