DEWI@SMCCI beri penghargaan kepada Presiden Halimah, lancarkan siri podcast baharu
SINGAPURA: Satu majlis dianjurkan sayap wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada Rabu (6 Sep) bagi mengenang dan menghargai sumbangan Presiden Halimah Yacob.
Ini termasuk menjadi sumber inspirasi kepada golongan wanita dan memberi dorongan untuk mereka kecapi kejayaan.
Naib Presiden DPPMS dan Pengerusi DEWI@SMCCI, Fadilah Majid, berkongsi dengan BERITA Mediacorp sumbangan Puan Halimah selama 6 tahun selaku Ketua Negara.
"Presiden Halimah adalah inspirasi untuk semua kaum wanita terutama usahawan Melayu/Islam wanita. Beliau banyak membantu usaha-usaha inisiatif Dewi@SMCCI dalam memperkasakan usahawan wanita," kata Cik Fadilah.
Beliau turut menarik perhatian sumbangan besar yang tidak boleh dilupakan.
"Antara sumbangan Presiden yang kami tidak boleh lupakan adalah usaha beliau untuk mengesahkan perniagaan HBB di rumah dan satu lagi saranan beliau adalah untuk kami di DPPMS menggalakkan lebih ramai wanita menggunakan lebih banyak teknologi dalam perniagaan dengan idea mengadakan pameran DewiDigi," kata Cik Fadilah Majid.
Beliau turut berharap agar Puan Halimah masih dapat memberikan sokongan yang kukuh selepas tempoh penggal perkhidmatannya sebagai Presiden tamat kelak.
SESI PERBINCANGAN PANEL DIADAKAN
Dengan tema "DewiConnect: Of Blooms and Brilliance", acara ini juga menjadi peluang bagi para usahawan wanita untuk meluaskan lagi rangkaian kenalan dan berkongsi pengalaman.
Untuk itu, sebuah sesi dialog diadakan bagi para usahawan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.
Para anggota panel berkongsi pandangan dan pengalaman dan pada masa yang sama juga memberi inspirasi dan bimbingan kepada bakal usahawan.
DEWI@SMCCI LANCARKAN PODCAST BAHARU
Dalam acara yang sama, pasukan Dewi juga melancarkan satu siri podcast baharu, "DEWI Voices" pada Rabu (6 Sep) dan ia dijangka akan ke udara tahun depan.
Podcast tersebut menggantikan DEWIDigi, acara pendigitalan yang diperkenalkan pada 2021 untuk mendampingi para usahawan ke arah digital.
Pelancaran siri podcast itu seiringan dengan inisiatif siri podcast lain yang dilancarkan DPPMS seperti SMCCI Academy, SMCCI Business dan sayap belia DPPMS, ASPIRE.
Podcast tersebut akan dikelolakan tiga usahawan wanita iaitu pengasas VainPout, Rina Bakar, pemilik bersama, Blissful Studios, Huda Hamid dan pengasas Activ.Co, Annisa Rahim.
"Dewi Voices adalah satu langkah yang bijak untuk menggantikan acara tahunan DEWIDigi untuk memanfaatkan lagi teknologi digital pada masa ini.
"Keunikan podcast ini adalah ia akan merangkumi beberapa tunggak DPPMS dan merangkumi segala inspirasi dan pelbagai pengalaman dari pelbagai usahawan wanita," kata Cik Rina Bakar.
"Temubual dengan usahawan wanita ini kami berharap dapat menjadikan inspirasi kepada para wanita di luar sana untuk mengembangkan sayap mereka lagi di dalam bidang perniagaan dan menggunakan digital teknologi yang terkini," kata Cik Rina Bakar.
HAMPIR 100 USAHAWAN WANITA MELAYU/ISLAM HADIR
Mereka yang hadir turut memberi penghargaan kepada sokongan DEWI@SMCCI yang sudah membantu dalam perniagaan mereka sejauh ini.
"Mula-mula saya agak tidak pasti apa yang saya mahu tapi DPPMS membantu saya supaya lebih peka dengan isi-isu semasa dan cara-cara untuk membuat jenama yang baik dan lebih jitu," kata Pengasas Tink it! Education, Dr Siti Mariam.
Pengasas JulieBakes, Juliana Jahayer turut berkongsi bagaimana DEWI@SMCCI menjadi "penyelamat" sewaktu perniagaannya berdepan dengan cabaran kos yang meningkat.
"Saya banyak berkomunikasi dengan pihak yayasan DPPMS terutama sekali dari pasukan DEWI dan bertanyakan nasihat-nasihat bagaimana untuk melalui waktu-waktu yang mencabar.
"Kadang kadang kita perlu siraman-siraman nasihat-nasihat daripada 'otai-otai' yang sudah lama dalam bidang ini jadi bagaimana untuk 'stay grounded'. Kadang-kadang kita lupa dan terlalu sibuk dengan perniagaan jadi nasihat nasihat itu memberikan kita lebih semangat untuk tidak berputus asa dan berjuang dalam perniagaan," kongsi Cik Juliana Jahayer.
Lebih 100 usahawan wanita Melayu/Islam hadir di acara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.