Dewan utama Mandarin Orchard dibenarkan beroperasi semula
Dewan (ballroom) utama Mandarin Orchard Singapura dan dapur jamuan hotel tersebut akan dibenarkan kembali beroperasi menyusuli kes keracunan makanan yang berlaku bulan lalu. Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (29 Jan).
Grand Mandarin Ballroom di Mandarin Orchard Singapura (Gambar: Meritus Hotels and Resorts)
SINGAPURA: Dewan (ballroom) utama Mandarin Orchard Singapura dan dapur jamuan hotel tersebut akan dibenarkan kembali beroperasi menyusuli penularan norovirus yang berlaku bulan lalu. Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media pada Selasa (29 Jan).
Dewan (ballroom) utama hotel itu ditutup pada 5 Disember tahun lalu dan hotel tersebut diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan menyeluruh selepas kes radang perut dan usus norovirus dikesan berlaku dalam lima acara berasingan yang diadakan di dewan tersebut.
Dapur jamuan yang menyediakan makanan di Dewan (ballroom) utama turut digantung selama 55 hari.
Pada Selasa, NEA menyatakan pihaknya "berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilaksanakan hotel itu bagi menangani kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti".
"Operasi boleh disambung semula dengan pembukaan semula Dewan utama," menurut agensi itu.
Bagaimanapun, ia menambah bahawa Mandarin Orchard masih "dipantau rapi" bagi memastikan ia mematuhi langkah-langkah serta mempertingkat amalan keselamatan dan kebersihan makanan.
Seramai 333 orang jatuh sakit selepas menghadiri acara-acara berasingan di dewan utama hotel itu dari 1 Dis hingga 3 Dis tahun lalu. 14 orang dirawat di hospital dan sudah pun dibenarkan pulang ke rumah.
Pihak berkuasa mendapati "bukti kukuh berlakunya pencemaran teruk" di dewan utama itu berpunca daripada novovirus akibat permukaan sekitaran tercemar dan amalan kebersihan diri yang kurang baik.
Ini termasuk "kerja-kerja membersihkan muntah" di dewan utama itu dalam satu kejadian sebelum 1 Dis.
Novovirus dikesan pada contoh najis yang diambil daripada 26 orang yang terjejas, tiga pengendali makanan, 51 kakitangan perkhidmatan, termasuk para pelayan yang dilaporkan tetap bertugas meskipun sakit, menurut agensi itu.
Semasa tempoh penggantungan itu, hotel tersebut mematuhi langkah-langkah yang ditetapkan NEA.
Ini termasuk membuang semua hidangan yang sedia dimakan, makanan beku yang dibiarkan cair dan makanan cepat rosak.
Selain itu, NEA menambah, Hotel Mandarin Orchard juga membersihkan kawasan hotel berkenaan dengan menyeluruh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.