Skip to main content

Singapura

Dewan Badminton SG, Menara Jurong Hill antara 5 tapak yang akan dipulihara

Dewan Badminton Singapura di Guillemard Road dan Menara Jurong Hill akan dipulihara atas saranan agensi perancangan bandar Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dewan Badminton SG, Menara Jurong Hill antara 5 tapak yang akan dipulihara

Dewan Badminton Singapura di 100 Guillemard Road (kiri) dan Menara Jurong Hill. (Gambar: URA)

Diterbitkan : 14 May 2025 11:19PM Dikemas Kini : 14 May 2025 11:25PM
SINGAPURA: Dewan Badminton Singapura di Guillemard Road dan Menara Jurong Hill akan dipulihara atas saranan agensi perancangan bandar Singapura.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata pada Rabu (14 Mei) bahawa Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) akan mengusulkan agar "bangunan-bangunan penting" dipulihara di kelima-lima tapak itu, sebagai sebahagian daripada Draf Pelan Induk 2025.

Tiga lagi tapak adalah:

- Blok lama pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaya di Woodlands
- Enam blok di estet Dakota Crescent
- Dua astaka di Turf City di Bukit Timah

Dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook pada Rabu, Encik Lee berkata tapak-tapak dan bangunan-bangunan itu "mencerminkan kisah kemajuan Singapura sepanjang tempoh 60 tahun lalu", dan pemuliharaannya adalah "cara penting untuk mengukuhkan semangat jati diri kita sebagai rakyat Singapura".

URA juga menyatakan tapak-tapak dan bangunan-bangunan itu mencerminkan "aspek penting" dalam pembangunan Singapura, sekali gus menekankan "komitmennya yang kukuh dan berterusan dalam usaha pemuliharaan".

DEWAN BADMINTON SINGAPURA
Lukisan mural yang menampilkan beberapa pemain badminton negara. (Gambar: URA)
Sejarah Dewan Badminton Singapura (SBH) di 100 Guillemard Road dapat dikupas melalui kejohanan Piala Thomas pada tahun-tahun awal pertandingan itu, menurut URA.

Direka oleh arkitek tempatan Ng Keng Siang dan siap dibina pada Jun 1952, dewan itu pernah menjadi tuan rumah kepada edisi ketiga dan keempat kejohanan itu pada 1955 dan 1958.

Ia turut menghasilkan bakat-bakat tempatan dalam sukan badminton pada tahun 1950an, seperti Wong Peng Soon, Ismail Marjan dan Ong Poh Lim.

MENARA JURONG HILL
Tanjakan lingkaran unik di Menara Jurong Hill. (Gambar: URA)
Menara Jurong Hill dan Taman Jurong Hill dibina oleh JTC pada lewat tahun 1960an selaras dengan pembangunan kawasan Jurong New Town dan Estet Perindustrian Jurong, menurut URA.

"Menara Jurong Hill adalah mercu tanda ikonik di Jurong yang melambangkan perubahan ekonomi Singapura dan pencapaiannya dalam bidang perindustrian selepas mencapai kemerdekaan," menurut URA.

DAKOTA CRESCENT
Salah satu daripada blok tujuh tingkat di Dakota Crescent yang diusulkan bagi pemuliharaan. (Gambar: URA)
URA juga mengusulkan untuk memulihara enam blok di estet Dakota Crescent - yang terdiri daripada empat blok tujuh tingkat, satu blok tiga tingkat dan satu blok dua tingkat.

Dakota Crescent adalah salah satu estet perumahan awam tertua di Singapura dan ia dibina oleh Singapore Improvement Trust (SIT) pada 1958 bagi mengatasi masalah kesesakan di pusat bandar dan menyediakan perumahan yang boleh dimampui untuk meningkatkan mutu kehidupan para penduduk.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita