Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DETIK Personaliti: Pasangan selebriti Jai Wahab & Rozza Ramli kongsi rahsia kejayaan, tekad tidak menyerah kalah

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Selebriti – mereka mempunyai pengaruh, mereka ibarat jenama.

Jenama ini dijadikan peluang untuk berniaga.

Bagi pasangan suami isteri selebriti, Jai Wahab dan Rozza Ramli, jenama yang dibina terbukti berhasil sehingga berjaya memiliki beberapa perniagaan.

Apakah rahsia pasangan ‘Sehati, Seniaga’ ini? DETIK Personaliti kali ini bersama pemilik Karva, Jai Wahab dan Rozza Ramli.
DETIK PERMULAAN: KARVA East Village

Karva East Village merupakan kedai Karva pertama. Apa kenangan anda di sini?

Rozza Ramli: Di sinilah bermulanya Karva dan di sini juga saya banyak mempelajari tentang selok-belok industri dandanan rambut dan pada masa itu saya ingat kami belum mempunyai ramai kakitangan. Jadi sayalah yang menjadi pembantu kepada pendandan rambut saya - dari mencuci rambut pelanggan, membuat rawatan rambut, rawatan kulit kepala sehingga menyapu lantai dan sebagainya.

Dari segi modal pula, berapa anda belanjakan untuk membuka Karva di East Village ini?

Jai Wahab: Untuk pelaburan yang pertama, sekitar $150,000 kerana unitnya kecil.

Adakah Karva mempunyai pelabur?

Jai Wahab: Tidak. Kami melabur sendiri dari tabung kami.

Kini, berapa nilai perniagaan sekarang?

Jai Wahab: Segan nak cakap sebab kita rasa kita masih belajar. Tapi Alhamdulillah, memang dari
8 tahun ini kita ada banyak simpanan untuk hari-hari sukar. Jadi mak cakap jangan cerita.

Ada ura-ura untuk memperluaskan Karva ke luar negara?

Rozza Ramli: Mungkin satu hari nanti ke Arab Saudi, United Kingdom.

DARI 1 CAWANGAN, KINI 7 CAWANGAN MERATA SINGAPURA

Tujuh tahun. Jenama Karva telah pun berkembang. Ada tujuh cawangan kesemuanya. Adakah ini merupakan visi anda berdua sejak dulu lagi?

Rozza Ramli: Tak pernah terlintas. Sebenarnya kami impikan akan hidupan yang agak sederhana. Namun itu hanya rancangan kami tapi Dia yang menentukan. Jadi, sejak itulah visi kami juga mula berubah.

Bagaimana jenama Karva ini tercetus?

Rozza Ramli: Lapan tahun dahulu masa kami menginap di KL, Kuala Lumpur. Dan masa itu juga saya bermula untuk berhijrah dan di Kuala Lumpur saya akan ke salon di sana. Tapi bila kita pulang ke Singapura, saya dapati yang tak banyak salon yang mempunyai ruangan khas Muslimah yang mengikut cita rasa saya dan dari situlah tercetus idea untuk membuka salon.

Membuka perniagaan memerlukan pengalaman. Anda berdua ada latar belakang dalam dunia niaga sebelum ini?

Jai Wahab: Saya berada dalam operasi di dalam syarikat Khazanah Malaysia. Di situ Jai selaku PT Operations, Jai mengendalikan banyak jabatan. Jadi dengan pengalaman ini, Jai terapkan dalam Karva.

Adat berniaga jatuh bangun, berliku-liku. Pernah tak anda mengalami tempoh yang paling sukar dalam dunia niaga?

Jai Wahab: Paling sukar adalah waktu pandemik. Kerana semua bisnes tutup. Tetapi kita rasa beruntung kerana Pemerintah kita ada perancangan. Kita pun sebagai syarikat, ada perancangan kesinambungan untuk perusahaan kami.

TEMPUHI CABARAN PANDEMIK, PRINSIP TIDAK PERNAH MENYERAH KALAH

Ada tak detik-detik di mana anda rasa seperti mahu menyerah diri?

Jai Wahab: Saya ada 4 anak. Jai juga ada seperti lima puluh anak juga di bawah naungan Jai. Ini adalah tanggungjawab kita. Bila pandemik tercetus, kita ada 'reserve untuk make sure', kita punya anak anak buah masih ada pekerjaan untuk anak-anak mereka. Jadi untuk 'give up' atau menyerah tidak pernah terlintas dalam hati Jai atau fikiran Jai.

Bagaimana pula cabaran Rozza dari segi bekerja dengan suami? Ada tak terbawa balik isu di tempat kerja ke rumah?

Rozza Ramli: Sedangkan lidah tergigit, apa pula kita suami isteri kan. Saya tak nafikan. Ada kalanya kami juga tidak bersependapat sebab itu saya rasa penting untuk kami adakan had dan menetapkan batas dan kita akan tetapkan tanggungjawab masing masing dalam syarikat. Jadi kita tidak masuk campur peranan masing-masing.

Jai Wahab: Rozza punyai tanggungjawab yang berbeza dengan Jai, jadi kita bahagikan peranan masing-masing. Alhamdulillah dengan itu kita saling memahami. Memang kalau ada selisih faham. Itu adalah visi untuk memberi yang terbaik untuk pelanggan kami. Ya, jadi mungkin ada terseliuh. Tapi pada akhirnya, saya kenalah pujuk.
 
Jai Wahab: Ini adalah hari pertama kita berjumpa dalam rancangan Azam 2003.

Apa reaksi anda tentang Jai pertama kali anda bertemu, bertentang mata?

Rozza Ramli: Pertama kali bertemu dengan Jai, Jai minta bergambar, ‘berselfie’, masa itu belum ada selfie tetapi Jai katanya dia yang reka selfie sebab dia mahu bergambar dan selepas bergambar, Jai minta nombor telefon saya, dia tanyalah nak bergambar? Boleh saya ambil nombor telefon awak? Itulah cara dia pikat.

Jadi Jai bagaimana pula reaksi anda pertama kali berjumpa Rozza, sampai terjatuh hati?

Jai Wahab: Secara jujur, bila Jai bertentang mata denga Rozza, waktu itu dia tak bersolek, dia pakai cermin mata macam Cikgu Bedah. Jadi kita tengok dia secara natural, tak ada solekan. Dia mungkin tidak kenal saya, ingat personaliti mana entah artis mana daripada Malaysia, waktu itu Jai bermastautin di Malaysia dan kembali ke Singapura untuk kursus. Jadi Alhamdulillah. Jadi tidak melepaskan hubungan dengan dia melalui telefon dan dari hari pertama sampai hari kelima itu asyik bergantung telefon jadi hari kelima itu Jai tanya dia sudikah jadi isteri.
Anda mengambil masa lima hari sahaja untuk melamar Rozza. Bagaimana penerimaan Rozza pada waktu itu?

Rozza Ramli: Memang singkat tetapi dalam masa lima hari itu kami banyak mengenali tentang diri masing-masing, masa itu Rozza masih bekerja dengan syarikat Singapore Airlines sebagai pramugari dan Rozza lihat Jai ini bersungguh-sungguh setiap hari kalau boleh nak hantar Rozza ke lapangan terbang.

18 TAHUN RUMAH TANGGA, ‘KERJA BERPASUKAN’ KUNCI KEBAHAGIAAN

Sepanjang anda berumah tangga selama 18 tahun, apakah cabaran yang paling getir yang ditempuhi?

Jai Wahab: Kalau saya boleh singkap masa dulu 2004 pada 26 Disember di mana tsunami berlaku. Kita pun tak tahu itu tsunami. Jadi Jai berada di pulau peranginan Baan Laimai, saya masih ingat tau, jadi kita tengah makan sarapan. Jadi kita lihat macam ada bot sewaktu kita beriadah di sana. Jadi bot macam berputar-putar. Jai ambil gambar. Jadi bila ambil gambar, ombak yang deras yang tinggi itu mengejar kami. Jadi Jai ambil tangan Rozza. Rozza nampak ke belakang lagi bah yang tinggi. Dia dah terpekik tapi kita hampir dilanggar motor tapi diselamatkan daripada air.

Rozza Ramli: Pengalaman itu adalah satu pengalaman yang tak dapat kami lupakan dan pada masa yang sama ia telah mengukuhkan lagi perkahwinan kami.

Dalam rumah tangga, siapa yang sebenarnya selalu buat keputusan?

Rozza Ramli: Jai memberi saya kepercayaan untuk membuat keputusan dari segi pelajaran anak-anak, hal ehwal anak, keluarga dan destinasi percutian. Kalau dari segi itu memang saya buat keputusan. Tapi kalau dari segi perkara lebih serius seperti pelaburan hartanah ataupun sebagainya, kami akan sama-sama duduk dan membuat keputusan yang wajar.

Jai Wahab: Bagi Jai keputusan itu adalah untuk kebaikan keluarga atau perniagaan itu harus sama-sama. Kadang-kadang lelaki ini punya ego. Jadi dalam mula-mula itu “mesti kena ikut cara saya.” Itulah sifat saya sebelum itu. Jadi kita nak kena elakkan itu semua. Jadi bila Jai tekad untuk berkahwin, diri yang lama itu tak harus ada. Sebab kita harus berkongsi segalanya.

Rozza Ramli: Perbezaan umur antara Jai dan Rozza 10 tahun. Jadi mungkin itu juga adalah rahsia kebahagiaan keluarga kami kerana Jai lebih matang dan masa kami berumah tangga Jai sudah bersedia dari segi emosi dan kewangan.

Menyentuh tentang kesetaraan ataupun ‘equality’ dalam perhubungan, adakah anda rasa rumah tangga anda ini setara?

Jai Wahab: Dasarnya memang seorang lelaki adalah imam keluarga. Tapi kita harus terajui atau pimpin keluarga dengan kasih sayang, dengan keihsanan, dengan kewajipan. Kalau kita selalu nak tunjukkan kita ego selalu kita yang tahu lebih. Itu bukan cara-cara dan nilai-nilai yang harus kita ada.

Rozza Ramli: Kami tak pernah lihat setara atau tidak, kami sama-sama sebagai kerja berpasukan sebab kalau tak ada ‘equality’ atau kesetaraan, sebelah pihak akan rasa tak bahagia.
 
KARVA LUASKAN JENAMA, KINI MILIKI KHIDMAT UMRAH & PELANCONGAN

Rozza Ramli: Inilah pakej-pakej umrah kami untuk tahun depan. Ini pula pakej akhir Ramadan dan pakej kami semua sudah termasuk penginapan lima bintang.

Kenapa anda berdua mahu menembusi pasaran umrah dan juga pelancongan?

Jai Wahab: Ia adalah satu wadah untuk pelanggan kami yang telah menyokong kami tujuh lapan tahun ini. Untuk mereka senang ke Baitullah melalui khidmat kami.

Semakin banyak syarikat mahu juga berkecimpung dalam niaga umrah. Apa yang membezakan syarikat anda?

Rozza Ramli: Kami banyak fokus kepada umrah-umrah privet eksklusif kerana ramai anak muda dan keluarga muda yang mahukan privasi semasa menunaikan ibadah umrah.

Saya difahamkan ibu tunggal juga boleh mengambil satu keunikan. Sila kongsi.

Rozza Ramli: Selain daripada pakej-pakej yang kami ada di sini. Kami juga ada ‘Revival of Faith’ bersama Ustazah Liyana Musfirah, di mana kami memberi laluan untuk ibu-ibu tunggal atau pun mereka yang tidak ada mahram untuk bersama ke Baitullah dengan lebih selesa.

Jenama di bawah Karva:

Karva Hair Salon – 7 cawangan
Eri Su Salon
Tara Wellness
Marquise
Gus Pizzeria
Karva Travel

Anda sebagai selebriti punyai jenama. Adakah jenama ini membantu anda dari segi memulakan perniagaan anda?

Jai Wahab: Memang ada kelebihan. Sebab mereka kenal kami sebagai personaliti di kaca TV. Tapi itu tak bermaksud jenama atau bisnes itu akan sukses. Tapi apa yang penting adalah perancangan bisnes. Mesti ada modal. Mesti ada komitmen. Mesti ada perancangan. Mesti ada visi strategik.

Rozza Ramli: Jadi tak ramai yang mungkin lihat jatuh bangun kami berdua atau masalah-masalah kami berdua kerana prinsip saya ini. Saya tak suka berkongsi tentang masalah di media. Jadi apa yang secara mata kasar akan melihat 'oh begitu senang ya kita naik, lepas satu, satu tetapi di belakang tabir itu banyak pengorbanan'. Ibu bapa kami juga yang banyak meluangkan masa atau bersama anak-anak kami. Semasa kami terpaksa belayar untuk kerja dan sebagainya.
Bercakap tentang keluarga, anda mengimbangi perniagaan dan juga keluarga. Bagaimana anda meletakkan batasan waktu untuk keluarga?

Rozza Ramli: Kami mengingatkan diri masing masing yang kami ini bukan sahaja rakan kongsi niaga, tapi kami ini juga rakan hidup. Jai sebenarnya seorang yang sangat kuat bekerja, ‘workaholic’. Jadi penting untuk Rozza pastikan yang kami ada masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Jai Wahab: Kalau Jai pula jaga tentang kerohanian waktu solat, waktu mengerjakan kerja rumah. Kalau macam saya suruh mereka cuci tandas. Kalau kita dulu memang kita dasarnya susah, jadi anak kita rasa susah juga.

Rozza Ramli: Kami mahu anak-anak kami melihat kejayaan itu tidak datang dengan begitu mudah. Jadi, mereka dapat melihat dengan mata mereka sendiri yang kami berdua banyak mengorbankan masa, tenaga dan juga tenaga mental untuk meraikan kejayaan dan pastikan yang syarikat ini berjaya. Dan kami juga mahu mereka melihat kami sebagai inspirasi mereka.

Adakah ini juga merupakan cara anda untuk menurunkan legasi jenama karva ini kepada anak-anak anda?

Rozza Ramli: Mungkin satu hari Insya-Allah, tapi kami mahukan anak- anak kami untuk ada impian mereka. Cita- cita mereka sendiri. Mereka harus mencari pengalaman di syarikat-syarikat yang besar di luar sana dan mungkin dengan pengalaman itu, mereka dapat bawa ke syarikat Karva untuk menaikkan dan melebarkan lagi sayap.

Dari pengamatan saya sendiri, anda berdua, tenang dan juga penuh kasih sayang. Saya nak tahu siapa antara anda berdua ini yang lebih garang.

Rozza Ramli: Ah saya marah. Kalau anak kami bercuti dan Jai tetap bekerja. Itu saya akan marah. Nampak itulah saya akan garang.

Jai Wahab: Tapi garang dia ok. Garang-garang pun macam bernyanyi. Tapi pada Jai kalau garang untuk anak- anak, Jai akan garang. Tapi tegas.

Rozza Ramli: Kalau di rumah, memang Jai yang akan disiplinkan anak-anak. Dan Rozza merupakan tempat mereka mengadu nasib.

Jai Wahab: Memang sebagai ayah, penting kita curahkan kasih sayang. Jadi kalau kita lihat kita punya ibu bapa, mereka memberikan komitmen kerja keras untuk memberikan kita kebahagiaan. Ada kasih sayang, ada keihsanan. Bila ada orang memerlukan, kita kena tolong. Sentiasa memberi pekerjaan, menghulurkan derma - dari itu, Allah akan insya-Allah memberikan rezeki dengan cara lain. Jadi kita punyai rezeki. Rezeki pekerja yang baik, pembantu rumah yang baik. Insya-Allah ini adalah rezeki. Rezeki bukan dari aspek kewangan dan kebahagiaan. Rezeki Jai dapat isteri yang baik. Isteri yang cantik.

Memandang ke hadapan, apakah impian anda berdua?

Jai Wahab: Karva juga akan membina ‘Karva Foundation’, di mana kita akan menyalurkan dana untuk memberi semula kepada masyarakat yang memerlukan dari segi akademik dan keperluan seharian.

Akhir sekali, Jai dan juga Rozza. Apa nasihat anda berdua bagi pasangan di luar sana yang juga mahu berniaga? Nasihat supaya mereka sehati niaga seperti anda berdua.

Jai Wahab: Mesti ada banyak pelajaran tentang pasaran. Perlu melihat trend permintaan.

Rozza Ramli: Penting untuk kami menetapkan jangkaan yang terhad agar kami tidak kecewa. Dan dalam perniagaan ini banyak turun naik. Bak ombak tsunami dan kami harus bersedia menempuh segala gelombang. Jadi pendek kata, ‘the sky's the limit’.
Sumber : BERITA Mediacorp/NU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan