Detik cemas warga Singapura alami gempa di Tokyo & Hakodate ketika bercuti
SINGAPURA: Siapa sangka, pengalaman bercuti di Jepun buat pertama kalinya bagi sebuah keluarga rakyat Singapura bertukar menjadi detik cemas.
Ini apabila gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud pada skala Richter menggegarkan pantai utara Jepun pada Isnin (8 Dis), menyebabkan lebih 30 orang cedera.
Gegaran tersebut bahkan dirasai di bandar Tokyo, iaitu di mana keluarga Cik Lulu Mustika sedang berada.
Cik Lulu Mustika sedang bercuti bersama suaminya serta dua anaknya, yang berusia 9 dan 14 tahun.
Gempa itu berlaku pada hari kedua mereka di Ueno, Tokyo, setelah melancong ke kawasan Gunung Fuji.
“Saya fikir saya mengalami vertigo. Kemudian suami dan anak-anak saya juga merasakannya. Dan lampu gantung di bilik kami bergoyang. Gegaran itu berlarutan selama kira-kira tiga minit sebelum kami memutuskan untuk mengosongkan bilik kami,” kongsi Cik Lulu Mustika ketika menyingkap detik cemas itu.
Ini bukan pengalaman pertama Cik Lulu Mustika berdepan dengan gempa bumi.
Sebelum ini beliau pernah mengalaminya di Bali dan Lombok beberapa tahun lalu.
Namun, pengalaman itu masih “menakutkan” baginya, terutama kerana beliau bersama dua anaknya.
“Ia benar-benar menakutkan dan tiada berita yang disampaikan ketika itu,” jelasnya.
Melihat beberapa keluarga rakyat Singapura yang kebetulan berkumpul di lobi hotel tersebut untuk menunggu perkembangan lanjut ketika itu, sedikit sebanyak memberi keluarganya ketenangan.
Setelah menunggu kira-kira 20 minit, mereka dimaklumkan bahawa keadaan selamat untuk mereka kembali ke bilik masing-masing.
Buat masa ini, rancangan percutian keluarga Cik Lulu Mustika tidak terjejas memandangkan tiada nasihat perjalanan dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun bagi kawasan Ueno.
LANTAI SEPERTI BERGOYANG, JALAN TERHUYUNG-HAYANG
Seorang lagi warga Singapura, Cik Norhaidah Johan, berada di Hokadate ketika gempa itu berlaku.
"Malam itu, saya dan kakak telah masuk tidur awal, dalam pukul 10 lebih, hampir 11 malam. Tiba-tiba telefon berbunyi dan kami terus terasa gegaran yang kuat. Kami terus bangun dan berasa panik," kongsi Cik Norhaidah dalam jawapan bertulisnya.
"Bila bangun, terasa lantai seperti bergoyang. Kami berjalan terhoyong-hayang dalam hotel. Gegaran itu terasa agak lama dan seluruh bangunan bergoyang," tambahnya lagi.
Cik Norhaidah, yang pertama kali mengalami gempa bumi, memaklumkan bahawa tiada sebarang pengumuman yang dilakukan oleh pihak hotel untuk memberi panduan kepada tetamu hotel.
"Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dalam ketakutan, saya berkata pada kakak saya untuk turun ke lobi," kata Cik Norhaidah.
"Perasaan saya pada masa itu memang takut sangat sehingga saya menangis," katanya lagi.
Cik Norhaidah dan tetamu hotel yang lain kemudian telah di nasihatkan oleh pekerja hotel bahawa mereka boleh pulang ke bilik masing-masing selepas satu jam.
Beliau menambah bahawa mereka mengalami satu lagi gempa susulan yang berlaku pada waktu pagi.
Walaupun begitu, beliau dan kakaknya tidak menghadapi sebarang gangguan kepada rencana perjalanan mereka dan dijangkakan pulang ke Singapura pada Jumaat (12 Dis).
Ekoran dari gempa tersebut, Agensi Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami sejurus selepas gempa, memberi amaran kemungkinan ombak setinggi tiga meter.
Gegaran kuat dirasakan sejauh Hokkaido dan Iwate, dengan beberapa kawasan mencatatkan intensiti 6 pada skala seismik Jepun, tahap kedua tertinggi yang menunjukkan gegaran sangat kuat.
Kedutaan Singapura di Tokyo telahpun menggesa rakyat Singapura supaya memantau dengan rapi nasihat dan keadaan tempatan di negara itu.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan Scoot dan Singapore Airlines menyatakan, semua penerbangan antara Singapura dan Jepun tidak terjejas.
Ini termasuk penerbangan pergi dan pulang dari Sapporo, iaitu lapangan terbang utama dan yang paling dekat kepada kawasan gempa itu.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.