Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dermasiswa untuk pelajar ITE dalami bidang teknologi kewangan

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) ditandangani di antara Persatuan FinTech Singapura (SFA) dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) semasa Anugerah FinTech Singapura dan Malam Gala SFA.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu Memorandum Persefahaman (MOU) ditandangani di antara Persatuan FinTech Singapura (SFA) dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) semasa Anugerah FinTech Singapura dan Malam Gala SFA pada Khamis (26 Sep).

Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang teknologi kewangan atau FinTech dalam kalangan pelajar, kakitangan dan alumni ITE.

Menerusi kerjasama itu, SFA akan menyediakan pelbagai latihan, pembangunan kurikulum dan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi kewangan.

Selaras itu, enam pelajar ITE tahun pertama yang cemerlang dalam bidang akademik dan luar darjah, terpilih menerima dermasiswa SFA.

Antara mereka ialah Khairul Norisam Samsi dari Kolej Tengah ITE dan Sharedzahan Suhandi dari Kolej Barat ITE.

Mereka terpilih berdasarkan kriteria nilai purata gred (GPA) sekurang-kurangya 3.5 mata pembangunan holistik di sekolah, merupakan pelajar tahun pertama serta mempunyai kecenderungan terhadap bidang teknologi kewangan.

Dermasiswa tanpa bon itu bernilai S$500 setiap seorang dan akan diberikan kepada para pelajar cemerlang ITE untuk tempoh tiga tahun.

Antara lain mereka akan berpeluang untuk menjalani latihan amali dan pengalaman bekerja serta menyertai bengkel dan lawatan pembelajaran.

BIJAK MENGIMBANGI MASA UNTUK PELAJARAN DAN KEGIATAN LAIN

Meskipun beliau baru sahaja di tahun pertama pengajiannya di Kolej Tengah ITE, jadual Khairul, 17 tahun cukup padat dengan pelbagai kegiatan.

Pelajar Nitec dalam Aplikasi Web ini banyak meluangkan masanya untuk berbakti kepada sekolah dan para pelajar yang lain.

(Gambar-gambar: Syawal Yusof/BERITAmediacorp)

Seorang yang kreatif, beliau turut menyumbangkan tenaga kepada majlis pelajar seperti mereka kemeja-T serta menjadi jurugambar untuk acara-acara sekolah.

Pada hujung minggu pula, Khairul, seorang anak tunggal, sibuk bekerja separuh masa sebagai kru perkhidmatan di cawangan McDonald's di taman Jurong Central.

Namun, pelajaran tetap diutamakan dan beliau membuktikannya dengan meraih GPA 3.875 mata.

Menerusi dermasiswa yang diterima itu, Khairul berharap ia dapat mengasah lagi minatnya dalam bidang teknologi kewangan.

"Ini akan membolehkan saya memperoleh pengetahuan dan kemahiran dari industri kewangan, di luar apa yang saya pelajari secara akademik. Bukan sahaja dapat mempersiapkan saya untuk kerja masa depan, dan juga memberi motivasi kepada saya untuk meneruskan minat saya untuk mempelajari lebih lanjut mengenai FinTech melalui kursus online," kata Khairul.

Prihatin tentang kebajikan golongan warga tua terutama bagaimana mereka menyesuaikan diri dalam dunia yang pantas berubah, beliau berharap untuk membuka sebuah kelas teknologi khusus bagi golongan tersebut.

"Saya menggunakan perkhidmatan perbankan internet setiap hari, dan saya yakin bahawa tidak semua warga tua di sini tahu bagaimana untuk menggunakannya. Oleh itu, saya ingin membantu mereka dengan mengadakan bengkel untuk memperkenalkan mereka kepada aplikasi itu dan kegunaannya," ujar Khairul.

MAHU BANTU MASYARAKAT UNTUK LEBIH PEDULI TENTANG KESELAMATAN SIBER

Teknologi kewangan juga merupakan bidang yang diminati Sharedzahan Suhandi, 19 tahun sejak beliau mengikuti modul elektif dalam pengurusan kewangan peribadi.

Modul tersebut meningkatkan kesedarannnya tentang beberapa aspek kewangan termasuk kepentingan insurans.

(Gambar-gambar: Syawal Yusof/BERITAmediacorp)

"Saya ingin juga pelajari lebih tentang teknologi kewangan kerana saya berpandangan bahawa ia adalah satu bidang yang boleh meningkatkan mutu hidup ramai pada masa yang sama membina sebuah ekonomi yang lebih dinamik," kata Sharedzahan, anak bongsu dari tiga adik beradik.

Berbekalkan GPA 3.5 mata, pelajar tahun pertama kursus Lanjutan Nitec dalam Keselamatan Siber dan Rangkaian itu berazam untuk mendalami lagi bidang keselamatan siber di peringkat politeknik.

"Pada masa hadapan, saya merancang untuk berkongsi maklumat tentang keselamatan siber kepada ramai orang kerana kita sering dengar tentang kes-kes berkaitan dengan alam siber.

"Saya rasa ramai yang patut mengambil tahu kerana ia boleh menjejas masyarakat kita," ujar Sharedzahan yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar keselamatan siber apabila tamat pengajiannya nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan