Dermasiswa siswa perubatan, pergigian NUS dan NTU lebih tinggi; yuran lebih rendah bagi siswa SIT, SUSS
Sekitar 55,000 mahasiswa dan pelajar peringkat diploma berpeluang meraih manfaat daripada skim dermasiswa Pemerintah yang bakal ditawarkan kepada para siswa dan pelajar mulai tahun akademik akan datang.
SINGAPURA: Sekitar 55,000 mahasiswa dan pelajar peringkat diploma berpeluang meraih manfaat daripada skim dermasiswa Pemerintah yang bakal ditawarkan kepada para siswa dan pelajar mulai tahun akademik akan datang.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (MOE): "Pemerintah akan melaburkan lagi sekitar S$44 juta setiap tahun, atau kenaikan 36 peratus berbanding peruntukan sedia ada iaitu S$123 juta".
DERMASISWA DIPERTINGKAT BAGI SISWA PERUBATAN, PERGIGIAN
Para mahasiswa yang mendaftarkan diri bagi kursus-jurusan perubatan dan pergigian di Universiti Nasional Singapura (NUS) serta Universiti Teknologi Nanyang (NTU) juga bakal menerima dermasiswa yang lebih tinggi.
Pemerintah akan memberi subsidi sehingga S$20,700 bagi yuran para siswa berkenaan. Ini bermakna para siswa dari keluarga berpendapatan rendah hanya perlu membayar yuran sebanyak S$5,000 atau lebih rendah bagi pengajian sarjana muda mereka.
Sebelum ini, Pemerintah hanya membiayai yuran sehingga S$4,000. Ini bererti para siswa dari keluarga berpendapatan rendah perlu membayar S$24,900 untuk melanjutkan pengajian di NUS dan S$30,700 di NTU.
"Hari ini, 11 peratus daripada siswa perubatan dan pergigian kami datang daripada keluarga dengan pendapatan yang tergolong dalam persentil ke-30 dan ke bawah. Kami ingin memastikan kesemua mereka dapat menerima sokongan yang sewajarnya," jelas Menteri Pendidikan Ong Ye Kung.
Beliau berkata ini akan memastikan golongan siswa itu tidak terhalang daripada melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian.
Meskipun yuran bagi sarjana muda dalam perubatan dan pergigian adalah berbeza bagi NUS dan NTU, Encik Ong mengatakan para siswa kedua-dua universiti itu kini akan membayar yuran yang sama.
Beliau menambah dermasiswa bagi para siswa perubatan dan pergigian adalah lebih tinggi kerana para siswa itu harus memenuhi syarat-syarat bon dengan bekerja dalam sistem penjagaan kesihatan awam sejurus selepas tamat pengajian.
YURAN LEBIH RENDAH BAGI SISWA SIT, SUSS
Para mahasiswa yang mengambil kursus am sepenuh masa di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sain Kemasyarakatan Singapura (SUSS) juga akan menampung yuran yang lebih rendah.
Buat masa ini, kos bagi kursus am di SUSS dan SIT masing-masing berjumlah S$7,860 dan S$8,190. Kedua-dua yuran itu akan disemak semula kepada S$7,500.
Sebanyak 80 peratus siswa SUSS dan 20 peratus siswa SIT dijangka meraih manfaat daripada yuran tuisyen lebih rendah itu.
Baki 80 peratus siswa SIT kini sedang menjalani program bersama rakan-rakan universiti yang lain. Maka itu, terang Encik Ong, yuran tuisyen lebih rendah bukan untuk manfaat mereka.
Namun beliau menambah, jika sarjana muda itu bertukar menjadi kursus sarjana am yang dikendalikan sendiri oleh SIT, para siswa akan dapat meraih manfaat serupa daripada yuran yang lebih rendah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.