Skip to main content

Singapura

Dermasiswa S$250,000 sokong wanita dalami bidang STEM di GRC East Coast

Diberi nama East Coast WinSTEM, atau Wanita dalam bidang STEM, sebanyak S$250,000 dikumpulkan untuk membantu pelajar wanita yang menceburi bidang tersebut di peringkat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu dermasiswa baru dilancarkan pada Ahad (14 Mac) untuk menggalak lebih ramai golongan wanita menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Diberi nama East Coast WinSTEM, atau Wanita dalam bidang STEM, sebanyak S$250,000 dikumpulkan untuk membantu pelajar wanita yang menceburi bidang tersebut di peringkat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.

Di pelancaran tersebut, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, menekankan kepentingan STEM dalam memacu pertumbuhan ekonomi masa depan dan seiring itu perlunya menyokong wanita generasi akan datang mengejar aspirasi mereka dalam bidang itu.

"Kami ingin menggalakkan lebih ramai wanita muda menceburi kerjaya dalam bidang STEM. Dengan ini, kita semua boleh menggarap masa depan yang lebih cerah dan manfaatkan bakat sedia ada dan membolehkan wanita untuk berkembang sejauh mungkin," kata DPM Heng yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC East Coast.

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman menambah, dermasiswa ini dapat membantu golongan wanita menceburi satu bidang yang sedang berkembang yang sebelum ini "sering dikatakan sebagai bidang-bidang kaum lelaki".

"Kita mahu kaum wanita merasai bahawa mereka setaraf dengan kaum lelaki juga. Dan mereka berupaya menyumbang kepada negara menerusi sektor-sektor yang sedang berkembang ini," jelas Dr Maliki, yang turut berkata bahawa dermasiswa itu juga dilancarkan selaras dengan Tahun Meraikan Kaum Wanita Singapura tahun ini.

"Menerusi dermasiswa WinSTEM ini, kita akan menyokong para pelajar wanita kita. Menyokong mereka, membantu mereka dari segi perbelanjaan mereka kerana kita tahu bahawa mereka yang datang dari keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan memerlukan sokongan sedemikian," tambah Dr Maliki.

"Apa yang kita ingin katakan adalah bagi semua para pelajar kita, tidak ada yang boleh menghadkan mereka. Apa yang kita akan lakukan adalah menyokong mereka, menceburi bidang-bidang yang baru, bidang-bidang yang berkembang supaya mereka akan berjaya di masa hadapan."

Permohonan dermasiswa EC WinSTEM dibuka mulai Mei 2021 dan disasarkan untuk sekurang-kurangnya 100 pelajar. Pelajar wanita yang tinggal di GRC East Coast yang menuntut dalam kursus STEM layak memohon bagi dermasiswa tersebut di laman www.go.gov.sg/ecwinstem.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita