Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Derma, zakat harta kepada AMP kini lebih mudah & pantas dengan terminal tanpa sentuhan

Derma, zakat harta kepada AMP kini lebih mudah & pantas dengan terminal tanpa sentuhan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Islam setempat yang ingin membuat sumbangan derma atau membayar Zakat Harta kepada AMP Singapura, kini boleh melakukannya menerusi penggunaan terminal derma tanpa sentuhan.

Ini bermakna para pengguna dapat menderma atau membayar Zakat Harta hanya dengan sentuhan kad debit atau kredit mereka - lebih mudah dan pantas.

AMP merupakan badan Melayu/Islam pertama yang menawarkan khidmat itu menggunakan infrastruktur pembayaran inovatif tersebut. Ia adalah hasil kerjasama badan itu dengan syarikat teknologi kewangan, GivePlease.

Kerjasama itu akan merubah proses pembayaran zakat secara menyeluruh bagi masyarakat Melayu/Islam, sejajar dengan peralihan kepada pembayaran secara digital dan tidak lagi bergantung kepada penggunaan wang tunai saja.

Ini kerana pungutan dan pembayaran zakat kadangkala sesuatu yang rumit dan memakan masa yang panjang, terutama di tengah-tengah pandemik ini di mana sumbangan yang dibuat secara langsung sangat terhad, menurut AMP menerusi kenyataan medianya.

Selain itu, teknologi GivePlease dapat menyekat penggunaan sebarang kad kredit secara automatik semasa membuat pembayaran zakat memandangkan pembayaran berfaedah tidak boleh diterima untuk sebarang sumbangan zakat, tambah AMP.

Derma, zakat harta kepada AMP kini lebih mudah & pantas dengan terminal tanpa sentuhan. (Gambar: AMP)

Sebagai permulaan, lapan buah terminal akan disediakan di pejabat AMP serta kedai runcit dan kedai makanan dan minuman (F&B) yang bekerjasama dengan AMP, termasuk Wardah Books di Bussorah Street dan kedai makan Yumen Hut di Downtown East.

“Saya rasa ini adalah inisiatif yang baik. Lebih ramai kini membuat pembayaran tanpa sentuhan, jadi cara untuk menderma sewajarnya juga harus tanpa sentuhan dan mudah,” kata Pengasas Wardah Books, Ibrahim Tahir.

Berkongsi sentimen Encik Ibrahim ialah Encik Laurence Sew, Pengarah Urusan Yumen Hut, yang mengatakan: “Dengan terminal baru ini, orang ramai dapat membuat sumbangan dengan mudah dan saya meramalkan lebih ramai yang akan menderma melalui wadah ini.”

Terminal itu juga akan membolehkan pengguna untuk menggunakan kad debit atau kredit yang dilengkapi teknologi PayWave untuk membuat sumbangan derma sekali sahaja ataupun berulang kali.

Salah satu fokus utama dalam kerjasama antara AMP dan GivePlease adalah penggunaan teknologi SingPass oleh GovTech. Terminal derma itu menggunakan SingPass untuk mengesahkan identiti penderma bagi tujuan pengecualian cukai.

Pengguna app SingPass hanya perlu mengimbas kod QR, memberikan kebenaran untuk maklumat mereka dikongsi dan borang akan diisi secara automatik.

Ini sekali gus membolehkan AMP untuk memperolehi maklumat terkini dan berhubung dengan para penderma serta meningkatkan kesedaran tentang kegiatan-kegiatannya dengan lebih berkesan.

Kaedah sumbangan yang selamat dan mudah itu juga diharap dapat menghidupkan nilai murah hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini serta membantu memupuk budaya bermurah hati.

“Sukacita kami sebagai badan Melayu/Islam pertama di Singapura yang dapat memanfaatkan teknologi sumbangan digital baru ini dan menawarkan kemudahan kepada para penderma kami. Kerjasama dengan GivePlease ini akan memperkukuhkan lagi usaha kami untuk mendorong sumbangan tanpa sentuhan dengan pandemik yang sedang kita lalui ini.

"Inisiatif ini melengkapi lelaman derma ampdonate.sg, yang baru dilancarkan pada awal tahun ini. Kami berharap wadah-wadah ini dapat memupuk ekosistem penyumbangan bukan hanya dalam kalangan individu, tetapi juga para peniaga,” kata Pemangku Pengarah Eksekutif AMP, Zarina Yusof.

Pengarah Urusan GivePlease, Adam Lindsay, melahirkan rasa besar hati dapat bekerjasama dengan AMP, menyokong misi dan khidmat badan itu kepada masyarakat Melayu/Islam.

"Penggunaan teknologi inovatif kami untuk memudahkan pengumpulan derma dan zakat di kedai-kedai di merata Singapura amat menggalakkan dan merupakan langkah pertama dalam misi kami untuk mengubah landskap penyumbangan secara holistik untuk badan-badan amal dan agama. Kami menyokong misi AMP untuk memupuk sikap menyumbang sebagai sebahagian daripada aktiviti kehidupan seharian serta memupuk nilai murah hati,” kata Encik Lindsay.

GivePlease adalah syarikat teknologi kewangan terkemuka yang berpangkalan di Singapura. Ia mempunyai kepakaran dalam penyumbangan digital yang lancar (seamless digital giving).

Wadah sumbangan atas permintaan (on-demand donation platform) mereka yang inovatif mengubah pengalaman membuat sumbangan melalui prasarana digital dan fizikal yang mewujudkan peluang untuk seseorang membuat sumbangan.

“Sedang masyarakat menjadi lebih selesa dengan penggunaan digital, kami berharap boleh membantu badan-badan khidmat sosial untuk mengubah operasi mereka dan menjadi pemangkin bagi kesan sosial mereka.
Dalam kerjasama kami dengan pihak GivePlease, SingPass menawarkan cara yang mudah and pantas untuk para penderma mengesahkan identiti mereka bagi tujuan pengecualian cukai.

"Kami akan terus bekerjasama dengan sektor khidmat sosial untuk menggunakan SingPass agar para penerima bantuan dan penderma boleh mendapat manfaat daripadanya,” kata Pengarah Kanan bagi Identiti Digital Nasional, GovTech Singapore, Kwok Quek Sin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan