Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Derma peribadi S$1 juta dari peniaga Ismail Gafoor untuk anak Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Derma peribadi sebanyak S$1 juta untuk membantu pendidikan anak-anak Melayu/Islam, khususnya dari keluarga memerlukan. Itulah yang dihulurkan peniaga terkemuka tempatan Encik Ismail Abdul Gafoor hari ini (28 Dis) kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) kendalian Yayasan MENDAKI.

Sokongan kewangan dari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Realty itu akan membantu pembiayaan pendidikan lebih 700 pelajar Melayu/Islam sekolah rendah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.

Ini suatu derma peribadi yang cukup "murah hati" menurut Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad. 

Menjawab pertanyaan wartawan, Encik Ismail mengakui bahawa ini adalah antara sumbangan paling besar yang pernah beliau hulurkan kepada sesebuah badan Melayu/Islam.

Usahawan sektor hartanah itu menambah bahawa beliau juga "sangat yakin" ini bukan satu-satunya derma sebegini yang akan beliau hulurkan.

"Saya rasa InsyaAllah selagi kita ada keupayaan, dan sebagai satu syarikat kita dalam keadaan yang baik, kita sentiasa gembira untuk menyumbang," ujar Encik Ismail, yang merupakan pengasas Propnex yang kini merupakan syarikat ejen hartanah terbesar di Singapura dengan lebih 10,000 ejen. 

BANTUAN BIASISWA & DERMASISWA

(Gambar: MENDAKI Singapore/Facebook)

Menerusi sumbangan S$1 juta itu, antara lain lima orang pelajar universiti akan diberikan Biasiswa MENDAKI-Gafoor PropNex setiap tahun. Ia bernilai S$5,000 setiap satu.

60 pelajar ITE pula akan mendapat dermasiswa bernilai antara S$1,000 setiap satu manakala 30 pelajar politeknik akan dibantu dengan dermasiswa S$1,500 seorang.

Lagi 100 murid Darjah 1 hingga Darjah 3 pula akan diberikan dermasiswa S$1,200 setiap satu di bawah satu Dana Bimbingan Matematik. Menerusi dermasiswa ini murid-murid yang memerlukan bantuan khusus dalam asas-asas matematik akan menjalani bimbingan persendirian selama sekurang-kurangnya tiga bulan dalam subjek itu.

Ditanya wartawan mengapa dana disediakan khusus buat subjek Matematik, ini jawapan Encik Ismail:

"Satu fungsi sangat penting di sini ialah  mengenai Matematik. Saya rasa ramai anggota masyarakat lain mendapat sistem sokongan yang baik dan ada keupayaan menghantar anak-anak mereka ke Darjah 2 dan Darjah 3 mengikuti kelas-kelas bimbingan Matematik.

"Saya rasa ada pelajar dalam masyarakat kita tiada peluang sedemikian dan saya mahu anak-anak kita mempunyai asas kuat sebegitu."

Selain itu, Encik Ismail juga melahirkan rasa bimbangnya terhadap kanak-kanak yang tidak suka akan subjek itu dari usia yang muda.

"Saya percaya Matematik itu menyeronokkan tetapi jika kanak-kanak tidak suka akan subjek itu dan menjauhkan diri daripadanya, ia bermakna bahawa mereka boleh terlepas peluang dari segi masa depan," ujar Encik Ismail.

Encik Zaqy pula berharap inisiatif itu akan menjana "lebih banyak pelajar kita yang mencatat kelulusan bermutu dalam matematik".

PELUANG PELAJAR MELAYU/ISLAM LANJUT PELAJARAN, IMPIAN

Perjanjian kerjasama antara Yayasan MENDAKI dan Encik Ismail itu ditandatangani pada Selasa (28 Dis). 

Di bawah perjanjian itu, biasiswa dan dermasiswa baru dilancarkan untuk menyediakan peluang bagi pelajar Melayu/Islam melanjutkan pelajaran mereka dan mencapai impian mereka.

Bantuan itu akan berjalan antara tahun 2022 hingga 2025.

"Saya berasa gembira menerusi skim-skim ini, pelajar Melayu/Islam kita dan para penerima bantuan dari setiap peringkat daripada peringkat sekolah rendah kepada pelajar Politeknik dan ITE serta mahasiswa dapat menerima bantuan dan lebih banyak peluang dalam akademik," ucap beliau yang hadir menyaksikan pemeteraian  perjanjian itu.

Menurut beliau, ini selaras dengan misi MENDAKI untuk memperkukuh lagi masyarakat Melayu/Islam kepada kejayaan.

Beliau juga berharap agar lebih banyak sumbangan seperti ini dapat dilakukan. 

"Kita juga melihat lebih ramai karyawan dan juga usahawan kita yang lebih maju hari ini yang boleh membantu masyarakat dengan lebih baik dan mendalam," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan. 

"Kami akan cuba dalam tahun-tahun yang akan datang, meluaskan lagi usaha kami dengan mendekati lebih ramai usahawan dan karyawan supaya kita dapat memberi lebih banyak kepada masyarakat," tambahnya lagi. 

BAPA SEBAGAI INSPIRASI UNTUK SUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Encik Zaqy turut menarik perhatian kepada kisah hidup Encik Ismail yang pada awal kehidupannya sangat sederhana.

"Beliau merupakan seorang penghantar suratkhabar dan hari ini, meskipun sudah menjadi satu tokoh yang terkemuka sebagai CEO PropNex, beliau masih meneruskan usahanya untuk meningkatkan kehidupan masyarakat dalam pelbagai cara," kongsi Encik Zaqy.

Bapa Encik Ismail Gafoor, Encik Abdul Gafoore. 

Menurut Encik Ismail pula, beliau mendapat inspirasi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi ayahnya sendiri, Encik Abdul Gafoore, yang sering berbakti kepada masyarakat.

"Tahun ini, ayah saya sudah berumur 97 tahun jadi saya ingin beliau turut serta dengan saya dalam perjalanan ini agar kita boleh meneruskan sumbangan ini bersama untuk tempoh yang lebih lama," kongsi Encik Ismail. 

LATAR BELAKANG ETF

Dana Amanah Pendidikan (ETF) dimulakan oleh para anggota Parlimen Melayu/Islam pada tahun 2002 dalam usaha mahu meningkatkan pendidikan anak-anak Melayu/Islam dari keluarga berpendapatan rendah. 

Dana itu berusaha memastikan peluang kanak-kanak untuk mendapat permulaan yang baik di sekolah tidak dihalang oleh kerana keadaan kewangan keluarga mereka. 

Sejak dilancarkan, ETF sudah menyokong keperluan pendidikan lebih 100,000 pelajar Muslim dari keluarga berpendapatan rendah.

Para penerima bantuan ETF lazimnya datang dari keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita tidak melebihi S$650 setiap bulan. 

Setiap tahun ia mengagihkan sekitar S$2 juta dalam bentuk kewangan untuk membantu sekitar 10,000 pelajar Muslim.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan