Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Derma melalui pertubuhan berdaftar bagi pastikan wang tidak digunakan untuk biaya aktiviti keganasan

Masyarakat awam digesa untuk menyalurkan sumbangan kewangan atau derma melalui badan-badan amal yang berdaftar dan dikawal selia oleh Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal.

Anggaran Waktu Membaca:
Derma melalui pertubuhan berdaftar bagi pastikan wang tidak digunakan untuk biaya aktiviti keganasan

(Gambar hiasan: Andrey Popov/Canva)

SINGAPURA: Masyarakat awam digesa untuk menyalurkan sumbangan kewangan atau derma melalui badan-badan amal yang berdaftar dan dikawal selia oleh Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal.

Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-undang K Shanmugam dalam jawapan bertulisnya kepada soalan-soalan parlimen yang dibangkitkan AP GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim dan AP GRC Pasir Ris-Punggol, Sharael Taha.

BAGAIMANA UNTUK PASTIKAN WANG DERMA TIDAK DIGUNAKAN UNTUK BIAYAI KEGANASAN?

Encik Zhulkarnain bertanya apakah langkah-langkah yang boleh diambil seseorang individu untuk memastikan bahawa wang derma mereka untuk badan-badan amal di luar negara tidak digunakan untuk membiayai aktiviti keganasan.

Encik Shanmugam menerangkan jika seseorang individu ingin menyokong usaha-usaha pertubuhan amal di luar negara, mereka boleh berbuat demikian dengan badan-badan amal atau entiti berdaftar yang sudah memperoleh permit pengumpulan dana untuk tujuan amal luar negara (FRFCP) daripada Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal.

"Memandangkan lebih banyak usaha pengumpulan dana beralih ke wadah online, ia adalah penting bagi seseorang individu untuk bijak meneliti permintaan mengumpul dana," jelas Encik Shanmugam.

Dalam pada itu, demi mewujudkan ekosistem yang lebih selamat, Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal juga bekerjasama dengan platform-platform mengumpul derma utama di Singapura untuk mengeluarkan Kod Amalan industri bagi Rayuan Pengumpulan Dana Amal Dalam Talian.

Encik Shanmugam berkata, "Kod ini menetapkan amalan terbaik yang disarankan untuk wadah mengumpul derma agar menjadi perantara yang dipercayai antara penderma dan penerima. Saya menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila menyahut rayuan kutipan dana dalam talian"

Beliau juga menggalak agar masyarakat awam berusaha untuk memastikan derma mereka digunakan bagi tujuan amal yang tulen.

"Tanya soalan bagaimana wang derma mereka itu akan dimanfaatkan, siapakah penerima bantuan bagi kutipan derma itu dan bagaimana mereka boleh menerima perkembangan terkini tentang para penerima bantuan. Periksa sama ada pertubuhan amal itu adalah tulen."

Untuk itu, para penderma boleh melungsuri Portal Amal (www.charities.gov.sg) untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenainya.

10 PEKERJA ASING DIDAKWA

Di samping itu, AP GRC Pasir Ris-Punggol, Sharael Taha juga menanyakan sama ada terdapat pekerja asing yang disyaki menjadi radikal atau membiayai keganasan.

Encik Shanmugam mendedahkan bahawa setakat ini, 10 pekerja asing sudah didakwa di bawah Akta Keganasan (Menyekat Pembiayaan).

"Sebarang sokongan untuk aktiviti atau entiti berkaitan keganasan, tidak kira sumber atau jumlahnya, mengancam keselamatan negara kita. Orang ramai yang ingin menyokong tujuan amal harus berhati-hati apabila menderma kepada badan-badan amal yang tidak sahih atau menyahut rayuan bagi kutipan dana yang tidak jelas, dalam talian dan luar talian," ujar Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa ia boleh jadi sukar untuk mengesahkan sama ada badan-badan amal luar negara adalah pertubuhan yang tulen dan tiada kepastian bahawa wang derma yang terkumpul itu digunakan untuk tujuan yang diuar-uarkan.
 

Sumber : BERITAmediacorp/HK/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa