Denmark negara VTL pertama kuarantin pelawat S'pura
Para pelawat dari Singapura kini perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya empat hari di Denmark setelah Singapura baru-baru ini digugurkan daripada senarai negara Kesatuan Eropah (EU) di mana sekatan perjalanan harus ditarik balik.
(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Para pelawat dari Singapura kini perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya empat hari di Denmark setelah Singapura baru-baru ini digugurkan daripada senarai negara Kesatuan Eropah (EU) di mana sekatan perjalanan harus ditarik balik.
Pada Selasa (9 Nov), senarai EU itu, yang disemak setiap dua minggu, dikemas kini untuk mengeluarkan Singapura dan Ukraine daripada senarai tersebut. Menurut senarai itu, kriteria untuk disenaraikan mengambil kira "situasi epidemiologi dan respons keseluruhan sesebuah negara terhadap COVID-19".
Senarai itu tidak terikat secara sah dan negara-negara anggota EU dibenarkan untuk menyesuaikan sekatan mereka sendiri bagi pelawat yang mengunjungi negara mereka.
Dalam satu catatan Facebook pada Rabu (10 Nov), Kedutaan Denmark di Singapura menyatakan bahawa Singapura "kini dianggap sebagai sebuah negara berisiko tinggi bagi perjalanan ke Eropah".
Menurut catatan itu, kecuali kumpulan tertentu seperti warga Denmark "yang sudah lengkap divaksin tidak kira di mana mereka divaksin", kesemua pelawat dari Singapura mesti menjalani ujian sebaik tiba di negara itu dan menjalani pengasingan kendiri selama 10 hari. Jika hasil negatif diperolehi daripada ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), tempoh pengasingan kendiri itu akan berakhir pada hari keempat.
Ini dikenakan ke atas semua pelawat tanpa mengira status vaksinasi mereka kerana Denmark tidak mengiktiraf sijil vaksinasi Singapura.
LALUAN PERJALANAN PENUMPANG SUDAH DIVAKSIN
Denmark adalah salah satu daripada beberapa negara Eropah yang dimasukkan ke dalam skim VTL Singapura. Skim itu membolehkan perjalanan bebas kuarantin bagi mereka yang mengunjungi Singapura menerusi penerbangan khusus VTL.
Syarat-syarat lain termasuk para pelawat harus lengkap divaksin dan tinggal buat tempoh minimum 14 hari berturut-turut di salah satu atau lebih negara VTL sebelum berlepas ke Singapura.
Setakat Khamis, Denmark kekal dalam senarai negara di bawah skim VTL.
Skim itu kini mempunyai 12 negara, yang dijangka meningkat kepada 13 apabila ia diperluaskan untuk merangkumi Korea Selatan pada 15 November. Malaysia, Finland dan Sweden juga akan ditambah ke dalam skim VTL pada lewat bulan ini.
Singapura melaporkan 3,481 kes baru COVID-19 pada Rabu, sekali gus menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 227,681 kes sejak pandemik mula melanda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.