Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dengan perlindungan baharu, bolehkah kerja platform di SG jadi kerjaya sepanjang hayat?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kedua-dua mereka menjadi pekerja platform untuk memperolehi pendapatan sedang mereka menganggur. Kemudian, mereka mendapati ia lebih sukar daripada dijangka untuk mengambil langkah kerjaya mereka seterusnya, di mana kedua-duanya mendapati pengalaman mereka sudah berubah.

Encik Kelvin Lee, 50 tahun, menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai pekerja penghantaran makanan selama empat tahun, manakala Raj (yang meminta agar nama penuhnya tidak didedahkan), 33 tahun, sudahpun bertugas sebagai pemandu kereta sewa privet selama sembilan bulan.

Encik Lee merupakan lulusan diploma yang menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam bidang binaan. Beliau kehilangan pekerjaan kontraknya dalam bidang hospitaliti pada 2020, semasa berlakunya pandemik itu, dan menjangkakan dirinya untuk kembali ke industri tersebut selepas COVID-19 mereda. Namun, Encik Lee mendapati keutamannya berubah, di mana beliau ingin meluangkan masa lebih banyak di sisi keluarganya.

Beliau kini memperolehi pendapatan S$3,000 (AS$2,330) sehingga S$4,000 setiap bulan, dengan bekerja selama lapan jam sehari. Beliau tidak mempunyai hari cuti tetapi menganggarkan beliau bekerja separuh daripada jumlah masa berbanding dengan pekerjaan sebelumnya, dan bagi jumlah wang yang sama.

Encik Lee menganggap pekerjaan penghantaran sebagai pekerjaan bagi jangka sederhana hingga panjang, dan telah menerima kenyataan bahawa beliau mungkin melakukan demikian sehingga beliau bersara, pada usia 60-an atau 70-an tahun seperti yang dijangkakan.

Raj, bagaimanapun, yakin beliau akan memandu untuk jangka pendek selepas meninggalkan pekerjaan bertekanan tinggi dalam penjualan di firma analitik digital. Beliau kini memperoleh kira-kira S$6,000 sebulan memandu setiap hari biasa dan setengah hari pada hujung minggu.

Beliau yakin untuk akhirnya beralih kepada pekerjaan sepenuh masa dalam pemasaran digital atau pembangunan perniagaan. Beliau mengatakan beliau sedang bertahan sebelum menerima gaji yang dijangkakan sebanyak S$10,000 sebulan - jumlah yang sebelum ini diperolehinya.

Raj dan Encik Lee adalah sebahagian daripada kumpulan pelbagai yang terdiri daripada seramai kira-kira 70,000 pekerja platform di Singapura.
Awal September ini, Singapura meluluskan rang undang-undang untuk menjadi salah satu daripada negara yang pertama di dunia, yang mengiktiraf pekerja platform sebagai kategori yang berbeza, dan memperkukuhkan hak mereka.

Perlindungan mereka kini merangkumi caruman yang lebih besar kepada pelan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) wajib – termasuk daripada majikan – serta perlindungan insurans kecederaan kerja mandatori dan perwakilan yang lebih baik dalam rundingan industri.

Dengan langkah-langkah demikian, terutamanya untuk menampung keperluan persaraan dan perumahan dengan lebih baik melalui CPF, beberapa soalan telah dibangkitkan sama ada pekerjaan platform sudah menjadi pilihan kerjaya yang mampan, bahkan sepanjang hayat.

SERTAI DENGAN "PENUH KESEDARAN"

Encik Lee berpuas hati dengan pekerjaan penghantarannya kerana komitmen kewangannya ringan; beliau memperoleh lebih banyak daripada pekerjaan lain; dan beliau tidak mengharapkan banyak kemajuan kerjaya pada usianya. Beliau juga yakin bahawa pekerjaan platform akan sentiasa ada.

Namun, beliau tidak akan mengesyorkan golongan muda menjadi pekerja platform sepenuh masa. "Tiada kemajuan kerjaya, dan sentiasa ada had (untuk apa) yang anda boleh perolehi."

Raj turut menyuarakan keprihatinan yang sama terhadap pekerja platform muda yang berpendidikan lebih baik.

"Saya bimbang tentang orang yang telah menuntut, yang boleh menyumbang dengan cara yang lebih besar kepada ekonomi, tetapi memutuskan untuk terus memandu (kenderaan) sewa privet kerana mereka tertarik kepada fleksibiliti pekerjaan ini," katanya.

Sedang segelintir menyifatkan pekerjaan platform sedemikian sebagai satu peralihan sahaja, sebilangan yang lain pula menganggap ia sebagai satu pilihan kerjaya jangka panjang, jelas Dr Mathew Mathews, zamil penyelidik utama di Institut Kajian Dasar (IPS) dan ketua Makmal Sosialnya.

"Kadangkala disebabkan kurang halangan yang untuk menyertai pekerjaan itu, mereka mendapati pendapatan ... setanding dengan pekerjaan lain, dan mereka mempunyai keutamaan untuk pekerjaan di mana anda tidak perlu melaporkan secara langsung kepada seseorang," tambahnya.

Ditanya mengenai matlamat dasar perlindungan baharu itu, Dr Mathews, yang bidang penyelidikannya termasuk mengenai pekerjaan platform, berkata beliau tidak fikir ia adalah untuk mendorong pekerja menjauhi pekerjaan utama yang memberi manfaat kepada ekonomi.

"Sekalipun demikian, Rang Undang-Undang itu membenarkan beberapa pembetulan sekurang-kurangnya dalam persepsi kepada pekerja muda yang mungkin berminat untuk menceburi pekerjaan platform sepenuh masa berdasarkan idea yang salah bahawa pekerjaan platform jauh lebih menguntungkan daripada kerja tradisional.

Encik Shamil Zainuddin, sekutu penyelidik di IPS dan pelajar PhD di University of California, San Diego, menarik perhatian bahawa perlindungan baharu itu jelas menandakan bahawa pemerintah dan masyarakat mengiktiraf pekerjaan platform sebagai bahagian tetap dalam pasaran buruh.

Masih tidak jelas sama ada perlindungan itu akan menjadikan kerja platform berfungsi lebih atau kurang menarik, tetapi digabungkan dengan lebih banyak perhatian media dan akademik, orang yang memasuki industri "sekarang akan berbuat demikian dengan kesedaran", tambahnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan