Dengan 6 gred 'A', Aadil Jamari antara pelajar Melayu terbaik GCE 'A' tahun ini
Pelajar Raffles Institution, Aadil Jamari, muncul sebagai antara pelajar Melayu terbaik dalam GCE 'A' kali ini setelah berjaya meraih enam gred 'A'.
Gambar: Raffles Institution
SINGAPURA: Pelajar Raffles Institution, Aadil Jamari, muncul sebagai antara pelajar Melayu terbaik dalam GCE 'A' kali ini setelah berjaya meraih enam gred 'A'.
Apabila keputusan peperiksaan nasional itu diumumkan hari ini (22 Feb), Aadil mendapat gred 'A' bagi tiga subjek H2 - Matematik, Ekonomi dan Kimia, serta 'A' bagi lagi tiga subjek H1 iaitu Kertas Am (GP), Bahasa Melayu dan Kerja Projek (PW). Bagi satu lagi subjek H2, Aadil mendapat 'B' bagi Sejarah.
Semua ini dicapai pelajar berusia 19 tahun ini, meskipun dia sebenarnya banyak meluangkan masa dengan pelbagai aktiviti luar darjah.
Aadil misalnya adalah penyelaras KidsREAD, satu program menggalak semangat membaca dalam kanak-kanak, dan juga menjadi Naib Pengerusi bagi Persatuan Melayu Sastera, Drama dan Budaya (MLDCS).
Apabila ditanya bagaimana dia berjaya mengimbangi masanya, Aadil berkongsi satu konsep yang cukup menarik, iaitu 'big rocks' dan 'small rocks' - konsep batu besar dan batu kecil.
'Big rocks' disifatkannya sebagai "aktiviti-aktiviti wajib" termasuk mengulang kaji pelajaran dan aktiviti ko-kurikular.
'Small rocks' pula merupakan "aktiviti meluangkan masa" seperti bertemu kawan, menggunakan telefon bimbit dan media sosial.
"Jadi saya mempercayai bahawa jikalau saya dapat mengisikan 'big rocks' saya dahulu dengan melakukannya, saya akan dapat lebih masa untuk aktiviti 'small' rocks' saya," ujar Aadil.
"Dengan mengamalkan konsep ini, serta membahagikan masa mengikut jadual waktu, saya dapat mengimbangi masa," tambahnya lagi.
INGIN DALAMI BIDANG EKONOMI TINGKAH LAKU
Aadil kini mahu mendalami subjek Ekonomi, khususnya dalam bidang 'behavioural economics' atau ekonomi tingkah laku.
Dia juga menanam impian untuk menceburi kerjaya dalam Perkhidmatan Awam, mengikut jejak langkah ibunya. Ibunya bekerja sebagai seorang guru.
Aadil cukup binat untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik dan dipinggirkan. Dia juga merancang untuk menumpukan perhatiannya kepada projek-projek kemasyarakatan buat masa ini.
Ini termasuk menciptakan satu lagi buku kanak-kanak bersama rakan-rakannya, yang menyentuh tentang isu-isu sosial.
Sebelum ini, dua buku kanak-kanak yang memaparkan perspektif anak pekerja asing, ditulis dan diterbitkan oleh Aadil bersama rakan kerja projeknya dengan dana dari Raffles Community Initiative (RCI).
AYESHA FAIZAL ENGGAN PISANG BERBUAH 2 KALI
Bagi Ayesha Faizal pula, perjalanannya tidak semudah pelajar lain. Setelah mendapat keputusan tidak memuaskan semasa GCE 'O', dia mengambil keputusan menduduki lagi peperiksaan itu.
Pada mulanya, Ayesha malu dan menghadapi masalah keyakinan diri, mentelah lagi dengan persepsi bahawa rakan-rakannya jauh lebih bijak darinya.
Namun, atas dorongan orang tersayang, serta kerja keras Ayesha sendiri, dia akhirnya berjaya meraih keputusan yang baik dan berjaya memasuki Maktab Rendah Victoria.
Ibarat enggan pisang berbuah dua kali, Ayesha menduduki GCE 'A' dengan prinsip dan pendekatan yang berbeza kali ini.
"Saya pelajari bahawa peperiksaan itu tidak mencerminkan diri saya dan pemikiran ini menjadi sesuatu yang menolong saya kerana saya lebih tenang dan tidak terlalu tertekan apabila menduduki peperiksaan," kongsi Ayesha.
"Lagipun, saya sudah mendekati guru-guru untuk mendapatkan pertolongan mereka. Misalnya selepas setiap peperiksaan, saya akan meminta pertolongan mereka dan memastikan bahawa saya sedar akan kesalahan saya," tambahnya lagi.
Dalam keadaan pandemik ini, Ayesha akui bahawa mengulang kaji seorang diri boleh menjadi satu proses yang 'sunyi' dan menjejas motivasinya.
Namun, Pengerusi Kelab Harmonica ini berjaya menyesuaikan diri dengan mencari jalan untuk mengatasi cabaran ini.
"Saya akan membuat panggilan video melalui zoom untuk mengulang kaji bersama kawan-kawan dan ini memberikan motivasi untuk saya belajar," ujar Ayesha.
Pelajar ini juga sanggup kembali ke sekolah untuk belajar walaupun tidak mempunyai kelas pada hari itu, semata-mata untuk belajar bersama rakan-rakannya.
TIDAK SALAH AMBIL LEBIH BANYAK MASA
Kerja keras dan dedikasi Ayesha akhirnya membuahkan hasil. Dia berjaya lulus tiga subjek H2 iaitu Geografi, Ekonomi dan Sastera, selain lulus satu subjek H1 iaitu Matematik.
Ayesha merupakan antara 93.5 peratus pelajar yang menduduki peperiksaan GCE 'A' tahun lalu, yang berjaya lulus sekurang-kurangnya tiga subjek H2 selain Kertas Am (GP) atau Pengetahuan dan Penyelidikan (KI).
Keputusan ini menurut Kementerian Pendidikan, setanding dengan prestasi GCE 'A' pada tahun-tahun sebelumnya, walaupun para pelajarnya terpaksa mengharungi pendidikan di bawah mendung COVID-19.
Bagi Ayesha, antara pendorong baginya melakukan terbaik merupakan ibunya, yang bertugas sebagai seorang jururawat.
"Saya kagum dengan ibu saya kerana dia merupakan seorang yang arif dan pemurah, dan ini adalah nilai-nilai yang saya amat kagumi," kongsi Ayesha.
Ibunya juga pernah memberitahu Ayesha untuk tidak mempedulikan kata-kata orang lain terhadap dirinya. Sebaliknya Ayesha dinasihatkan agar lebih memberi tumpuan pada dirinya sendiri.
"Tidak salah untuk seseorang itu mengambil lebih banyak masa dalam melaksanakan sesuatu. Nilai kejayaan mereka itu tidak akan berkurangan," kata Ayesha berkongsi falsafah pegangannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.