Skip to main content

Singapura

‘Dendam’ Lee Hsien Yang cemar nama baik SG

Encik Lee Hsien Yang menjadikan 'dendam kesumatnya' satu kempen antarabangsa untuk mencemarkan nama baik 'bapanya, keluarganya dan negaranya', kata Pemerintah Singapura pada Khamis (31 Okt).
 

Anggaran Waktu Membaca:
 ‘Dendam’ Lee Hsien Yang cemar nama baik SG

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 31 Oct 2024 09:52PM Dikemas Kini : 31 Oct 2024 10:14PM
SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang menjadikan 'dendam kesumatnya' satu kempen antarabangsa untuk mencemarkan nama baik 'bapanya, keluarganya dan negaranya', kata Pemerintah Singapura pada Khamis (31 Okt).

Pemerintah menyatakan demikian selepas anak lelaki kepada perdana menteri pengasas Singapura memberikan satu lagi wawancara media - iaitu yang kedua dalam tempoh seminggu - untuk mengkritiknya.

Dalam wawancara dengan The Associated Press (AP), Encik Lee Hsien Yang membuat beberapa tuduhan termasuk mengatakan Singapura telah menjadi semakin mengongkong.

Rencana yang diterbitkan pada Khamis (30 Okt) yang bertajuk 'Luaran mewah Singapura selindungkan pengongkongan dan rasuah, kata anak lelaki kepada pengasas Singapura' (Singapore’s affluent veneer hides repression and corruption, says son of its modern-day founder) - ia juga menukil Encik Lee Hsien Yang sebagai berkata bahawa isu rasuah bertambah buruk dalam sedekad sejak kematian bapanya iaitu perdana menteri pengasas Lee Kuan Yew.

Dalam respons kepada pertanyaan media oleh AP, Pemerintah Singapura menyatakan Encik Lee Hsien Yang merupakan 'penerima manfaat utama sistem Singapura'.

Namun setelah dia didapati mengelirukan bapanya oleh mahkamah dan Tribunal Disiplin, Encik Lee Hsien Yang 'memutuskan untuk menjadikan dendam kesumatnya satu kempen antarabangsa untuk mencemar nama bapanya, keluarganya dan negaranya'.

Pemerintah Singapura dalam responsnya menyatakan bahawa AP perlu mengambil kira fakta dan huraian dari Tribunal Disiplin apabila menilai kredibiliti dakwaan yang dibuat oleh Encik Lee Hsien Yang.

Pertama, pihak tribunal mendapati beliau dan isterinya, Cik Lee Suet Fern mengemukakan 'pembohongan rumit' dalam pelaksanaan surat wasiat terakhir mendiang Encik Lee.

Kedua-dua Tribunal Disiplin dan Mahkamah Tiga Hakim, iaitu badan disiplin tertinggi yang berurusan dengan salah laku peguam, mendapati Encik Lee Hsien Yang dan isterinya telah mengelirukan Encik Lee Kuan Yew dalam pelaksanaan wasiat terakhirnya.

Mereka juga didapati telah berbohong selepas mengangkat sumpah.

Hasil dapatan Mahkamah Tiga Hakim dan Tribunal Disiplin itu boleh didapatkan online, kata pemerintah Singapura.

"Saya yakin anda akan menyediakan dokumen ini kepada para pembaca anda, supaya mereka boleh menilai sendiri kredibiliti dakwaan yang dibuat oleh Lee Hsien Yang," dedahnya.

PENDIRIAN TEGAS SINGAPURA TERHADAP RASUAH

Dalam wawancaranya, Encik Lee Hsien Yang juga menukil contoh dakwaan berlaku rasuah melibatkan kes pengubahan wang haram berbilion dolar dan skandal rasuah 1MDB.

"Semua contoh dakwaan berlaku rasuah yang dinukil oleh Lee Hsien Yang sudah pun ditangani sama ada menerusi mahkamah atau di parlimen," menurut pemerintah Singapura.

"Singapura sentiasa bertindak secara tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

"Baru-baru ini, seorang mantan menteri dihukum penjara setahun kerana menerima hadiah.

"Jika dia adalah seorang menteri di tempat lain dia tidak akan dihukum kerana menerima hadiah sedemikian, apatah lagi dihukum penjara setahun," kata pemerintah Singapura, sambil merujuk kepada mantan menteri pengangkutan S Iswaran.

"Sepertimana mendiang Encik Lee Kuan Yew bertindak ketika beliau seorang perdana menteri, Encik Lee Hsien Loong mahupun penggantinya, Encik Lawrence Wong tidak menghalang bekas rakan sekerja mereka daripada disiasat, didakwa dan disabit."

Pemerintah Singapura juga menyatakan Singapura mengambil pendirian tegas terhadap rasuah dan jenayah kewangan serius yang lain.

"Begitu kesnya apabila mendiang Encik Lee Kuan Yew berada di Kabinet. Dan ia kekal seperti begitu selepas beliau meninggal dunia pada 2015, seperti dilihat melalui ranking global."

Singapura berada di tempat ketujuh dalam Indeks Persepsi Ketelusan Rasuah Antarabangsa 2015 apabila Encik Lee Kuan Yew masih hidup, dan di tempat tiga bagi indeks Projek Keadilan Sedunia 2015 kerana tidak mempunyai rasuah dalam sistem penguatkuasaan undang-undang dan guaman.

Setakat 2023, iaitu lapan tahun selepas mendiang Encik Lee meninggal dunia, Singapura berada di tempat kelima dan ketiga dalam indeks pengukur itu, kata pemerintah Singapura.

"Singapura turut tersenarai sebagai negara paling rendah rasuah dalam Laporan Rundingan Risiko Politik dan Ekonomi 2024 mengenai Tanggapan Rasuah di Asia, Amerika Syarikat dan Australia, iaitu kedudukan yang ia kekalkan sejak 1995.

"Sistem kami konsisten dengan piawai antarabangsa yang ditetapkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan. Pada 2024, kami berada di tempat keempat dalam Indeks Pusat Kewangan Global 2024, selepas New York, London dan Hong Kong."

"TIDAK BERDASARKAN PRINSIP"

Satu lagi contoh bagaimana Encik Lee Hsien Yang menjadikan dendam kesumatnya kepada satu kempen pencemaran antarabangsa, adalah dakwaan yang dibuat dalam permohonan suakanya, kata pemerintah Singapura.

"Jelas, dia mendakwa dalam permohonan suakanya di Britain bahawa satu sebab mengapa dia dan keluarganya dihukum oleh pemerintah Singapura adalah untuk menghalang anak lelakinya, Li Shengwu, daripada menjadi seorang perdana menteri.

"Hakikat bahawa beliau tergamak membuat dakwaan itu - walaupun anak lelakinya telah berkali-kali katakan beliau tidak mempunyai hasrat sedemikian - menunjukkan bahawa kempennya terhadap Singapura itu tidak berdasarkan prinsip."

Encik Lee Hsien Yang berkata pada 22 Oktober lalu bahawa beliau kini seorang pelarian politik di Britain selepas memohon perlindungan suaka pada 2022.

Sambil menukil 'serangan' pemerintah Singapura ke atas dirinya, Encik Lee Hsien Yang berkata beliau memohon perlindungan suaka sebagai "pilihan terakhir".

Encik Lee Hsien Yang dan isterinya meninggalkan Singapura sejak 2022 selepas memutuskan untuk tidak menghadiri satu temu bual yang dijadualkan dengan polis berhubung kemungkinan beliau membuat kesalahan kerana memberi bukti palsu dalam sidang mahkamah berkaitan wasiat bapanya.

Kenyataan Pemerintah Singapura juga menukil wawancara terkini Encik Lee Hsien Yang bersama akhbar yang berpangkalan di Britain, The Guardian.

Dia mendakwa Singapura mengekalkan langkah-langkah mengongkong yang bertitik tolak ketika bapanya, mendiang Encik Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri Singapura.

"Namun, selepas digelarkan sebagai anak yang tidak hormat ibu bapa oleh rakyat Singapura kerana mengkritik bapanya, Encik Lee Hsien Yang kini sebaliknya mendakwa undang-undang Singapura menjadi semakin mengongkong sejak kematian mendiang Encik Lee Kuan Yew."

Pemerintah Singapura menyatakan Singapura adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang mengadakan pilihan raya umum secara kerap, tanpa pernah menggantung Perlembagaannya atau sekali-kali menguatkuasakan undang-undang tentera, dalam sejarah selepas kemerdekaan.

"Rakyat Singapura bebas mengundi bagi mana-mana parti yang mereka fikir dapat berkhidmat lebih baik untuk Singapura dan rakyat Singapura. Sekitar 40 peratus rakyat Singapura undi adalah bagi parti-parti pembangkang," kata Pemerintah Singapura yang menambah bahawa kini terdapat lebih ramai anggota parlimen parti pembangkang di Parlimen berbanding sebelum ini dalam sejarah Singapura.

Malah, menurut Pemerintah Singapura, Encik Lee Hsien Yang sendiri secara bebas mengambil bahagian dalam politik.

"Dia menyertai sebuah parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum 2020; dia memutuskan untuk bertanding tetapi selepas itu mengundurkan diri pada saat-saat akhir; dan terus membiayai dan menyokong pihak pembangkang dari jauh.

"Lee Hsien Yang bukan mangsa penganiayaan. Dia dan isterinya tetap rakyat Singapura. Mereka boleh dan sentiasa bebas untuk pulang ke Singapura."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita